Jom Kita Berkawan

Sunday, 14 May 2006

Memperingati sumbangan jururawat

ARKIB : 13/05/2006

Oleh NURHANANI ABDULLAH


MEI sememangnya sarat dengan hari-hari bagi memperingati insan istimewa yang jasanya tidak terbilang kepada kita.

Walaupun sumbangan mereka perlu diingati sepanjang hayat tetapi pemilihan bulan tertentu untuk menunjukkan penghargaan kepada golongan ini pastinya membuatkan mereka berasa amat istimewa.

Ibu, jururawat dan guru antara insan yang mendapat penghormatan untuk diraikan pada bulan istimewa ini.

Dan semalam, 12 Mei merupakan Hari Jururawat Sedunia - satu profesion yang menuntut ketabahan dan pengorbanan.

Bagaimanapun, tidak seperti hari-hari lain, sambutan Hari Jururawat kelihatan sepi, semacam memberi gambaran bahawa profesion murni ini tidak mendapat perhatian.

Sedangkan kelahiran seseorang insan itu bermula di tangan jururawat dan dalam banyak ketika, manusia mengakhiri hayatnya juga di samping jururawat.

Florence Nightingale

Hari Jururawat Sedunia disambut sempena hari kelahiran tokoh jururawat, Florence Nightingale, yang amat dikenali sebagai ‘Lady with the lamp’.

Wanita bangsawan yang dilahirkan di Florence, Itali ini hakikatnya menjadi sumber inspirasi bagi setiap jururawat kerana sumbangannya yang bukan sedikit.

Profesion jururawat yang satu ketika dulu dipandang rendah telah diangkat kemudiannya oleh Nightingale sehingga membuka mata semua pihak betapa pentingnya peranan jururawat.

Nightingale paling diingati kerana sumbangan beliau bersama sekumpulan 38 jururawat merawat tentera sewaktu Perang Crimea pada tahun 1854.

Dan kegigihan Nightingale ini sewajarnya diteruskan sehingga kini dan menjadi titik tolak untuk para jururawat mendalami tugas mereka.

Sesungguhnya, tugas jururawat menuntut kesabaran kerana hubungan mereka yang amat rapat dengan pesakit sehingga ke satu peringkat menjadi pengganti kepada ahli keluarga pesakit

Jururawat juga menjadi tempat pesakit yang tidak mempunyai ahli keluarga menumpang kasih malah tidak dinafikan ada jururawat yang menjadi sebutan di kalangan pesakit.

Justeru, ruang lingkup dunia kejururawatan yang kini tiada sempadan sepatutnya mendorong para jururawat untuk meningkatkan profesionalisme masing-masing.

Luka-luka tentera di Crimea terubat dek kesabaran Nightingale sehingga dia diabadikan sebagai memori indah.

Perkara yang sama juga sepatutnya tersimpul di benak setiap pesakit di negara kita setiap kali mereka mendapat rawatan terutama di hospital-hospital kerajaan.


Sumber: UTUSAN MALAYSIA