Jom Kita Berkawan

Saturday, 23 May 2009

Jururawat Malaysia di tanah Arab

Oleh AMREE AHMAD

Lebih 25,000 jururawat Malaysia kini berkhidmat di negara-negara Asia Barat kerana faktor gaji.

 
SIKAP profesional dan persamaan agama memudahkan jururawat Malaysia diterima di negara-negara Arab.

JIKA tidak kerana penampilannya, mungkin ramai terkejut apabila mengetahui Ridzwan Shoib bukan daripada latar belakang perubatan.

Beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Kejururawatan Murni yang terkenal di Negeri Sembilan.

Namun hakikatnya, graduan perakaunan dan pernah bertugas sebagai akauntan di sebuah universiti tempatan itu ada alasan tersendiri apabila ditanya kenapa beliau menubuhkan sebuah sekolah latihan kejururawatan moden.

"Ini bukan sekadar tuntutan fardu kifayah tetapi bidang ini ada masa depan kerana negara kita masih kekurangan jururawat," katanya. Hakikatnya beliau bercakap berdasarkan realiti fakta dan congak angka.

Selasa lalu, seluruh dunia menyambut Hari Jururawat Antarabangsa yang dianjurkan Majlis Kejururawatan Antarabangsa (ICN) berpusat di Geneva sejak tahun 1899.

Tarikh itu diraikan bersempena dengan tarikh lahir pengasas jururawat moden, Florence Nightingale.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam ucapannya di ibu negara memberi jaminan kerajaan berusaha untuk mencapai sasaran nisbah seorang jururawat bagi setiap 200 orang penduduk menjelang 2015. Kini nisbahnya ialah 1:375 orang.

Kementerian itu yakin kerana setakat ini terdapat 90 buah kolej kejururawatan di seluruh negara yang melatih sejumlah 6,000 bakal jururawat setiap tahun. Malaysia hari ini mempunyai 78,944 orang jururawat termasuk 461 jururawat lelaki.

Ironi, tidak ramai tahu negara kita mengalami defisit 7,000 orang jururawat setiap tahun.

Selain bersara awal kerana berkahwin pada usia muda, sebahagian besar jururawat kita berhijrah ke luar negara terutama rantau Asia Barat.

Dengan tawaran gaji lebih RM10,000 sebulan dan pelbagai insentif lain, ratusan hospital di Asia Barat tidak ubah seperti berada di Malaysia sendiri.

Senario itu sama seperti jutaan jururawat Filipina yang 'membanjiri' Amerika Syarikat (AS).

"Difahamkan ada lebih 25,000 jururawat Malaysia berkhidmat di negara-negara Arab dengan alasan faktor gaji berbanding tempat sendiri. Isu penghijrahan mereka menyebabkan kita kehilangan ramai anak muda berbakat," jelas Ridzwan.

Beliau sendiri berpengalaman melawat beberapa hospital di Arab Saudi dan terkejut mendapati sebahagian besar jururawat ialah rakyat Malaysia.

Lebih lucu, doktor juga mampu berbahasa Melayu kerana selalu berbual dengan jururawat kita.

Kekurangan 70,000 jururawat

Tidak hairanlah data ICN mengunjurkan Malaysia bakal kekurangan 70,000 jururawat menjelang 2020. Di sebalik usaha kerajaan melatih ribuan jururawat, Malaysia menjadi antara kilang terbesar 'mengeksport' jururawat ke serata dunia.

Bayangkan, statistik ICN juga menunjukkan langsung tiada pengangguran di kalangan jururawat Malaysia.

Ini berbeza dengan nasib Taiwan, Korea Selatan dan Indonesia yang menyaksikan masing-masing mengalami 50, 30 dan 10 peratus jururawat yang menganggur.

Ia berlaku kerana negara-negara terbabit mengeluarkan terlalu ramai jururawat baru tanpa mengambil kira permintaan pasaran semasa.

Malaysia pula sebaliknya, kekurangan jururawat menyebabkan tekanan kerja yang amat tinggi dan akhirnya ramai berhijrah ke negara lain.

Asia Barat menjadi pilihan utama kerana faktor persamaan agama yang membolehkan jururawat negara ini khasnya beragama Islam mudah diterima baik.

Senario penghijrahan jururawat berpengalaman turut mengakibatkan purata umur jururawat Malaysia sekitar 23 tahun iaitu paling muda di dunia. Untuk rekod, purata usia jururawat di Thailand disenaraikan ICN sebagai paling tua iaitu 41 tahun.

Bagaimanapun, kajian ICN mendedahkan kebanyakan jururawat Malaysia bersara pada umur 45 tahun.

Ini masih dianggap terlalu awal berbanding rakan mereka di Filipina yang pencen ketika umur 60 tahun dan Singapura pula 55 tahun.

"Usah terkejut, graduan kejururawatan sudah 'disambar' banyak hospital tempatan ketika mereka masih dalam semester akhir pengajian.

"Tidak kira krisis ekonomi atau perang, permintaan terhadap jururawat sentiasa ada," tegas Ridzwan penuh yakin.

--- KOSMO