Jom Kita Berkawan

Monday, 10 February 2014

Penyakit Sifilis

Sifilis: Peniru yang hebat!

SIFILIS merupakan sejenis penyakit jangkitan kelamin - sexually transmitted infections (STI) yang disebarkan, terutama melalui hubungan seks, berpunca daripada sejenis bakteria spirocete iaitu Treponema Pallidum.

Sifilis juga terkenal dengan gelaran ‘Peniru Yang Hebat’ (Great Imitator) kerana mempunyai simptom yang pelbagai menyerupai penyakit-penyakit kulit lain.

Antara penyakit-penyakit STI biasa yang lain seperti gonorrhea, chlamydia, genital herpes, genital wart, hepatitis B dan HIV.

Peringkat pertama (primary syphilis) penyakit ini berlaku pada hari ke-9 hingga 90 selepas jangkitan, iaitu akan timbul satu lepuh (ulser) kemerahan yang biasanya tidak sakit, tidak gatal pada zakar, vagina, dubur atau mulut.

Ulser ini dipanggil primary chancre dan akan hilang dalam tempoh tiga hingga enam minggu walaupun tanpa rawatan, tetapi kebiasaannya pesakit tidak perasan kehadiran chancre kerana tidak berasa sakit walaupun pada masa sama kelenjar limfa mungkin membengkak.

Manakala, pada peringkat kedua pula, (secondary syphilis) ia berlaku pada minggu keenam hingga enam bulan selepas jangkitan.

Ketika ini, ruam akan timbul pada bahagian badan termasuk tapak tangan dan kaki, malah ulser juga boleh timbul pada bibir, mulut, kerongkong, vagina serta dubur selain turut mendapat gejala seperti selesema, demam dan sakit badan yang mungkin berlaku.


Remaja lebih terdedah

Sekiranya pesakit masih tidak melakukan rawatan, penyakit ini akan melarat hingga ke peringkat paling serius (tertiary syphilis).

Pada peringkat ini, kuman sifilis telah merebak ke seluruh badan dan pada masa sama akan menyerang otak, jantung, saraf tunjang dan tulang.

Kesan sampingan lain juga berlaku antaranya sukar berjalan atau lumpuh, kebas, buta secara beransur, sawan, nyanyuk dan boleh menyebabkan kematian dengan kadar mortaliti sebanyak lapan hingga 58 peratus.

Kebiasaannya penyakit ini berlaku kepada golongan remaja dan belia iaitu antara umur 15 hingga 40 tahun kerana mereka lebih terdedah kepada seks bebas, bertukar-tukar pasangan serta tidak mengamalkan seks secara selamat.

Dalam soal ini, nisbah golongan lelaki dua hingga enam kali lebih ramai dijangkiti berbanding perempuan kerana ada di antaranya melakukan seks sesama lelaki (homoseksual) yang mendorong kepada risiko tinggi dijangkiti sifilis.


Saringan awal

Dalam usaha rawatan, tidak dinafikan sifilis adalah penyakit yang boleh diubati dengan mengambil antibiotik yang paling berkesan iaitu suntikan penisilin kepada pesakit sifilis yang didiagnosis.

Namun terdapat beberapa jenis antibiotik oral alternatif bagi pesakit yang mempunyai sejarah alergi terhadap penisilin atau pesakit yang tidak mahu menerima suntikan.

Bagaimanapun, sebagai langkah pencegahan, cara paling baik adalah dengan mengelakkan diri daripada hubungan seks, tetapi sekiranya masih aktif melakukan seks, amalkan hubungan seks yang selamat, setia pada seorang pasangan yang tidak dijangkiti, menggunakan kondom setiap kali melakukan seks serta elakkan dari pengambilan alkohol atau dadah.

Sehubungan dengan itu, saringan awal perlu dilakukan terhadap beberapa golongan berisiko untuk mengesan sifilis. Antaranya, ibu mengandung pada lawatan kali pertama dan minggu ke-28 kehamilan, homoseksual, penghidap HIV, kes konteks (pasangan pesakit), bayi dilahirkan ibu yang dijangkiti sifilis serta golongan yang berisiko tinggi lain seperti pekerja seks dan penagih dadah. Kaunseling dan pendidikan juga sangat penting bagi mendedahkan kepada segenap lapisan masyarakat berhubung penyakit sifilis.


PENGAKUAN

Jangkit daripada suami


Pertama kali mendapati alat kelamin menjadi semakin serius dengan kesan luka (lepuh) dan kemerahan serta bernanah, saya mula mengesyaki sesuatu yang buruk sedang berlaku kepada diri saya.

Ketika itu suami mula menjauhkan diri daripada saya walaupun dia seorang yang aktif seks sehingga kerap kali kami ‘bersama’ ketika saya datang bulan.

Pada mulanya saya berasa amat malu untuk berjumpa doktor, tetapi apabila luka yang disertakan nanah semakin teruk pada kemaluan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor dan mengesahkan saya mengidap sifilis.

Ketika doktor menjelaskan punca-punca penyakit ini dan mendapatkan maklumat melalui internet, saya mula bertanyakan kepada diri, adakah semua itu melibatkan suami yang sering bertukar pasangan.

Saya memberanikan diri bertanyakan kepada suami dan jawapan yang saya terima cukup menyedihkan apabila suami sendiri membuat pengakuan bahawa dia memang curang di belakang saya dan disebabkan sikapnya yang suka bertukar pasangan serta bersama saya ketika dalam keadaan ‘kotor’, penyakit ini terkena pada saya.

Mujurlah, saya cepat melakukan pemeriksaan dan kini saya bebas daripada segala-galanya termasuk suami yang menceraikan saya kerana saya tidak sanggup lagi hidup bersamanya ekoran kecurangan itu.

Di sini, saya ingin menasihati wanita di luar sana, supaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup, carilah yang boleh dipercayai serta setia. - Nani, 31.



Bersama pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu, Dr Puteri Wan Seribani Mat Daud.

SUMBER: SINAR HARIAN

Sunday, 2 February 2014

Pemain bola ke jururawat

ARKIB : 02/06/2013

 HAFIZ dibantu seorang lagi jururawat merawat seorang pesakit yang menjalani hemodialisis.
MELIHAT layanan mesra yang diberikan Mohamad Hafiz Mustafaa, 27, kepada pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di Wad Hemodialisis, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) pasti membuatkan pesakit lebih tenang.

Wajah Hafiz yang sudah menjadi jururawat selama enam tahun di sana sentiasa tidak lekang dengan senyuman serta sentiasa menyapa pesakit dengan ramahnya.

Malah, tidak kurang juga ada pesakit yang begitu menyukai layanan baik yang diberikan jururawat lelaki ini sehingga menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri.

Malah ada juga yang mahu menjodohkan Hafiz dengan anak mereka!

Di sebalik sifatnya yang mesra dengan pesakit, Hafiz tidak memulakan kariernya sebagai seorang jururawat atas cita-cita dari zaman sekolah.

Tidak pernah terfikir di benaknya untuk bergelar jururawat yang semestinya lebih sinonim sebagai pekerjaan wanita.

Hafiz pada asalnya adalah seorang pemain bola sepak, malah kehebatannya beraksi di padang membuatkan dia terpilih menyertai Pasukan Belia Bola Sepak Perak selepas menghabiskan persekolahannya di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.

Ketika itu, dia sudah merangka perjalanan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak yang boleh dikatakan agak cerah di Malaysia dan ia kerjaya yang paling diidamkan Hafiz kerana dapat membina hidup atas hobi iaitu bermain bola sepak.

Namun, langit tidak sentiasa cerah. Baru saja rancak di dalam pasukannya, Hafiz mengalami kecederaan pada buku lali membuatkan dia tidak lagi boleh terlalu aktif, apa lagi bermain bola sepak.
Ketika itu, lelaki berasal dari Ipoh, Perak ini berasa amat sedih umpama dunianya telah berakhir.

Hafiz yang amat mementingkan masa depan yang elok terus merancang untuk mengatur kembali perjalanan hidupnya dan akhirnya memilih untuk menyambung pelajaran di Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Pantai atas nasihat pakciknya.

“Pada mulanya, ibu (Sara Bee Abdul Rahman) agak terkejut dengan keputusan saya kerana kejururawatan dan bola sepak merupakan dua perkara yang jauh berbeza.

“Tetapi dia dapat menerimanya malah bersifat terbuka atas pilihan saya," ujarnya ketika ditemui di Sambutan Hari Jururawat PHKL, baru-baru ini.

Lagipun, tambah Hafiz, dia sudah biasa menjaga ibunya yang merupakan ibu tunggal di hospital atau di rumah sewaktu ibunya terlantar sakit akibat masalah rahim.

Pengalaman menyertai pertubuhan amal ke beberapa buah rumah anak yatim ketika zaman persekolahan turut membuka hatinya untuk menyertai bidang kejururawatan.

Baran

Setelah tiga tahun berada di dalam kolej kejururawatan, Hafiz terus diserap menyertai tenaga kerja PHKL di Wad Hemodialisis.

Ceritanya, dia merasakan agak janggal sewaktu berada di dalam kolej kerana majoriti pelajar merupakan wanita.

Tetapi dia tidak lagi berasa keseorangan apabila mula bekerja kerana semakin ramai lelaki menceburi bidang kejururawatan dan ia bukan lagi perkara yang pelik berbanding dulu.

Mengakui ketika di zaman bermain bola sepak ada tersimpan sedikit sifat baran, ujar Hafiz, sifat buruk tersebut kini hilang sebaik saja mengenali dunia kejururawatan.

“Masa bersukan dulu biasalah ada sifat baran ditambah dengan usia muda.

“Namun, sifat negatif itu tidak ada apabila sudah mula melibatkan diri dengan dunia kejururawatan.

“Malah, saya amat berpuas hati apabila melihat mereka (pesakit) semakin sihat," ujarnya yang merupakan anak tunggal.

Di tempat kerjanya, mereka mengadakan sistem anak angkat dan ia amat menyeronokkan memandangkan Hafiz berada jauh dari ibunya.

Sedih

Ceritanya, pernah sekali dia menitiskan air mata kerana seorang pesakit meninggal dunia.

“Saya mendapat tahu daripada anak pesakit tersebut, sebelum dia (pesakit) menghembuskan nafas terakhir, dia menyebut nama-nama jururawat yang baik dengannya, bukan nama anak-anaknya.

“Antara nama yang disebut ialah nama saya membuatkan saya berasa amat hiba.

“Pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis sememangnya akan menghabiskan hampir setiap hari di wad membuatkan kami seperti sebuah keluarga," ujarnya.

Di sebalik kesedihan, Hafiz turut gembira terutama bila ada pesakit akhirnya dapat bantuan pemindahan buah pinggang membuatkan mereka tidak perlu lagi menjalani rawatan hemodialisis.

Walaupun sudah pulih kira-kira dua tahun lalu, pesakit tersebut sering datang menjenguk mereka dan keluar makan bersama-sama.

“Kepuasan utama jururawat seperti kami apabila dapat melihat mereka semakin pulih," ujar Hafiz.

 Gambar Hiasan

SUMBER: Utusan Malaysia