Jom Kita Berkawan

Sunday, 2 March 2014

Gelagat lucu penderma darah

 
 
HASMI menutup muka ketika jururawat memberi suntikan sambil dipujuk rakannya di Hospital Changkat Melintang, Bota semalam.


BOTA – Gelagat seorang konstabel yang ‘takut’ disuntik bagi menderma darah buat kali pertama menggelikan hati sebahagian pesakit, jururawat dan anggota polis lain di Hospital Changkat Melintang di sini semalam.

Hasmi Abdul Razak, 23, yang bertugas di Cawangan Am, Balai Polis Seri Iskandar di sini kelihatan cemas dan pucat sambil mencengkam gigi serta menutup muka dengan tangan ketika jururawat mencucuk jarum di tangan kirinya bagi mengambil darah.

“Saya memang takut lihat saiz jarum yang agak besar itu dan minta agar dipercepatkan proses pengambilan darah dari badan saya.

“Pada 2004 ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis di Kuching, Sarawak, saya pernah disenaraikan untuk menderma darah, tetapi bertindak melarikan diri semata-mata mahu mengelak daripada dicucuk jarum suntikan,” katanya dengan reaksi muka yang cemas.

sumber: kosmo.com.my

Kerana gaji doktor Filipina jadi jururawat

ARKIB : 05/08/2005

MANILA 4 Ogos - Kira-kira 6,000 doktor di Filipina sedang belajar menjadi jururawat bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan bergaji tinggi di luar negara.

Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque berkata, angka tersebut merupakan satu peningkatan berbanding 2,000 tahun lalu.

Katanya, perkembangan tersebut merupakan ancaman kepada sistem penjagaan kesihatan dan satu pasukan bertindak telah ditubuhkan bagi mengkaji kesannya.

Pasukan tersebut mengkaji peruntukan undang-undang yang mewajibkan doktor Filipina berkhidmat di negara ini terlebih dahulu untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun sebelum dibenarkan bekerja di luar negara.

``Saya fikir masalah sebenar adalah penghijrahan keluar para doktor. Kami ada ramai jururawat pada masa sekarang, lebih daripada memenuhi kekosongan yang ada, tetapi doktor ramai yang meletakkan jawatan,'' kata Duque.

Seorang doktor yang bekerja di hospital kerajaan hanya mendapat gaji sebanyak 25,000 peso sebulan (RM1,650), dan mereka boleh mendapat gaji RM29,600 sebulan jika bekerja sebagai jururawat di luar negara.

Malah peguam, akauntan dan jurutera di negara tersebut turut mendaftarkan diri untuk mendapat latihan sebagai jururawat memandang permintaan yang tinggi dari Eropah, Amerika Syarikat, Asia Barat dan Singapura untuk profesion itu. - AFP

Sumber: utusan.com.my