Pages

Jom Kita Berkawan

Thursday 22 May 2014

Jasa Jururawat Tidak Terbalas

Oleh Norhayati Mohd Akhir

 
 
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ia satu profesion yang tidak menjanjikan populariti mahupun gaji besar.

Namun jasa dan bakti sebagai jururawat sekadar dibalas dengan kalungan penghargaan atau susunan ayat indah oleh pesakit dan masyarakat.

Meskipun dianggap satu profesion yang mulia, namun kejururawatan bukanlah jawatan yang menjadi pilihan bagi kebanyakan orang.

Apatah lagi apabila perlu menjaga pesakit siang dan malam dengan pelbagai ragam, memerlukan ketabahan dan kesabaran diri.

Bersempena Hari Jururawat Antarabangsa pada 12 Mei baru-baru ini, BERNAMA sempat meluangkan masa menemubual beberapa insan yang berjasa dalam bidang ini, di sebuah hospital swasta ibu negara.

PENGALAMAN BERHARGA TIADA TANDINGAN
 

Pengalaman selama 25 tahun dalam bidang kejururawatan adalah pengalaman terindah dan akan diteruskan buat Jasbal Kaur, 55 tahun.

Antara pengalaman yang paling bermakna sepanjang menjadi jururawat ialah setiap tahun pada tanggal 12 Sept beliau akan menerima kiriman sekotak hadiah berupa coklat daripada seorang pesakit yang pernah dirawatnya beberapa tahun lepas.

Lebih bermakna, pada tarikh itu adalah hari kelahiran Jasbal yang juga ibu kepada seorang anak lelaki.

"Wanita itu bernama Shahrizat. Saya yang menjaganya sepanjang berada di wad akibat sakit kaki.

"Walaupun beberapa tahun berlalu, namun beliau masih menghubungi saya dan setiap tahun pada hari lahir saya, beliau akan hadiahkan coklat," katanya.

Dalam menjalani susur kehidupan di dunia ini, pastinya pelbagai cabaran perlu dilalui apabila memilih profesion ini. Namun kata Jasbal, seseorang itu perlu bijak untuk menanganinya kerana melalui kesabaran menghadapi cabaran, kepuasan bakal dirasai dalam melaksanakan tugasan.

"Saya tidak pernah jemu dengan kerjaya ini malah berbangga mempunyai pengalaman berharga yang tiada tandingan," kata Jasbal.

BERUBAH TEMPAT

Menceritakan pengalaman pertama berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Angkatan Tentera Kem Kinrara 95 di ibu negara, Jasbal berkata beliau bekerja di hospital itu selepas tamat Sijil Latihan Kejururawatan di Sekolah Kejururawatan Hospital Kuala Lumpur 30 tahun lepas.

Selepas lima tahun mencurah bakti di hospiral itu, Jasbal mendapat tawaran untuk menjadi jururawat di Pusat Rawatan KPJ Tawakkal di sini namun ketika baharu lima tahun berkhidmat beliau terpaksa mengikut suaminya ke Ipoh.

"Sebelum ke Ipoh, saya nekad untuk terus berkhidmat dalam bidang yang sama. Saya mohon jawatan sama di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan diterima berkhidmat," katanya.

"Selama 10 tahun di sana, saya menimba pelbagai pengalaman dan menerima cabaran sebagai suatu proses pembelajaran bagi meningkatkan kualiti kerjaya selain memberi khidmat terbaik kepada pesakit.

"Bagi saya walau terpaksa berpindah randah, namun semua itu tidak pernah patahkan semangat untuk terus berbakti kepada pesakit," katanya yang kini kembali berkhidmat di Pusat Rawatan KPJ Tawakkal.

SATU DALAM SEJUTA

Bagaikan permata di tengah lautan, begitulah diibaratkan bagi kaum Adam yang memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejururawatan dan kemudian menjawat jawatan sebagai jururawat.

Statistik terkini menunjukkan hanya 1.7 peratus daripada 117,000 jururawat di seluruh negara ini terdiri daripada jururawat lelaki.

Anak muda berusia 22 tahun ini adalah antara yang berada dalam peratusan kecil itu. Beliau berasal dari Negeri Sembilan pada mulanya bertarung dengan diri sendiri memilih jurusan sesuai selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2009.

Insan ini bernama Mohamad Fakhrulrazi Mohd Redzuan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Perakaunan namun beliau buntu untuk membuat pilihan.

Situasi itu mendorong anak sulung daripada tiga beradik itu untuk mendapatkan pandangan daripada kedua-dua ibu bapa serta saudara-mara terdekat bagi membuat pilihan tepat yang bakal menentukan masa hadapannya.

"Merekalah insan yang menyebabkan saya berada di sini menjawat jawatan mulia ini. Tanpa mereka saya mungkin tidak memilih kerjaya yang sememangnya memberi kepuasan kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia dan tidak siapa mampu memikul tanggungjawab ini jika mereka tidak nekad serta kuat," katanya.

Pelajar lulusan diploma Kejururawatan Kolej Universiti KPJ itu kini tidak segan silu malah berbangga apabila ditanya mengenai kerjayanya sekarang.

"Saya bangga memilih kerjaya ini yang adalah satu bidang istimewa dan bermakna bagi saya," katanya yang baru setahun berkhidmat di hospital berkenaan.

IKTIRAF KERJAYA JURURAWAT

Dua lagi jururawat turut berkongsi pengalaman ialah Maimon Md Ramli, 49, dan Chua Seok Chin, 48, yang masing-masing berkhidmat selama 22 tahun dalam bidang kejururawatan dan merawat ratusan pesakit dari pelbagai lapisan umur, keturunan dan latar belakang.

Bagi mereka, penghargaan bukanlah sesuatu yang diharapkan tetapi mereka berharap agar jururawat diiktiraf sebagai satu kerjaya yang mampu membawa kejayaan serta memberi kepuasan kepada mereka yang memilih profesion itu.

"Ramai yang masih teragak-agak memilih profesion ini lebih-lebih lagi kaum Adam. Tidak salah jadi jururawat lelaki malah patut bangga sebab dapat bantu insan lain yang dalam kesakitan," kata Chua ibu kepada tiga anak.

Kenyataan Chua diakui Maimon dan rakan-rakan jururawat lain demi memberi dorongan serta semangat terutama kepada pelajar yang masih mencari bidang sesuai bagi melanjutkan pelajaran selepas SPM.

Keempat-empat jururawat itu mewakili beribu jururawat di negara ini menyimpan hasrat mahu memartabatkan profesion jururawat, meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit serta menjalin hubungan baik dengan pesakit.

Mereka mengakui profesion ini bukanlah mudah kerana jururawat adalah orang pertama yang menemui pesakit apabila datang ke klinik atau hospital.

"Kami sebenarnya boleh diibaratkan orang kedua penting selepas doktor", kata Maimon mengakhiri sesi temubual.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment