Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 6 May 2014

Kementerian Kesihatan Bakal Perkenal Khidmat Rawatan Kesihatan Di Rumah


KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan bakal memperkenalkan perkhidmatan yang membolehkan pesakit kronik menjalani rawatan pemulihan di rumah dalam usaha memantapkan lagi sistem penyampaian kesihatan awam.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata untuk permulaan program terbabit bakal menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan di rumah meliputi 60 kawasan di seluruh negara dengan penambahan 600 tenaga kerja.

Dr Subramaniam berkata program itu yang dijangka dilaksanakan penghujung tahun ini diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

"Secara ringkasnya setelah dibenarkan pulang seorang pesakit contohnya pesakit angin ahmar yang perlukan penjagaan dan rawatan pemulihan untuk tempoh masa panjang akan didatangi pasukan penjagaan domisil ini.

"Kemudian kumpulan ini akan memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada keluarga pesakit bagaimana untuk terus memberi rawatan dan membantu pesakit itu berlandaskan kepada ciri keselamatan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Batu 8, Gombak di sini, Khamis.

Dr Subramaniam berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh penjagaan kesihatan primer di peringkat komuniti yang lebih kecil.

Kementerian kini sedang merangka pelan induk bagi membolehkan program rawatan kesihatan di rumah dapat direalisasikan mengikut perancangan, jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim berhubung cadangan mewujudkan modul bagi melatih jururawat untuk berhadapan dengan kanak-kanak autisme, Dr Subramaniam berkata pihaknya mengalu-alukan pendekatan itu.

"Perbincangan lanjut mengenai perkara ini boleh diadakan antara kedua-dua kementerian dan ia perlu dijalankan berlandaskan prinsip strategi lautan biru.

"Dalam keperluan perubatan, kita juga mempunyai pakar yang khusus dalam bidang masalah perkembangan tingkah laku, pakar pediatrik dan kita juga mempunyai jururawat yang telah mendapat latihan untuk berhadapan dengan seseorang yang autistik," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment