Pages

Jom Kita Berkawan

Monday 30 June 2014

Jalan TAR, Masjid India Antara 'Syurga' Beli-Belah Pada Bulan Puasa

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan sekitar Masjid India sinonim sebagai kawasan membeli-belah di ibu negara, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menyambut Ramadan yang bermula hari ini dan seterusnya Aidilfitri sebulan lagi.

Pengunjung dilihat sanggup meredah kesesakan lalu lintas di ibu negara terutama pada hujung minggu untuk ke Jalan TAR bagi mendapatkan apa yang diidamkan diri sendiri dan anggota keluarga.

Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, Nur Nazihah Mazlan, 28, berkata beliau lebih gemar membuat persiapan awal sebelum Ramadan bermula kerana tidak sanggup bersesak dengan lautan manusia menjelang 1 Syawal.

"Saya suka berkunjung ke sini kerana terdapat baju dengan fesyen terkini. Juga ada banyak pilihan barangan dan saya boleh dapatkan apa yang diperlukan di satu tempat sahaja," katanya ketika ditemui Bernama.

Antara produk 'wajib beli' yang mudah didapati di sekitar Jalan TAR-Masjid India ialah kurma untuk berbuka puasa yang menyaksikan penjual mampu mengaut pendapatan lumayan.

Peniaga kurma, Normala Abdullah, 40, berkata nilai jualan yang diraihnya boleh mencecah sehingga RM3,000 sehari.

"Pelbagai jenis kurma dijual termasuk jenis Safawi dan Mariami yang mendapat sambutan ramai. Tetapi saya terpaksa kurangkan kuantiti kurma yang dijual di gerai saya kerana ruang berniaga yang agak terhad," jelasnya.

Roslina Yusuf, 40, peniaga kain pelikat dan kain batik selama hampir 18 tahun di sekitar Jalan TAR, berkata beliau teruja dengan sambutan menggalakkan daripada pembeli.

Menurutnya mereka bukan sahaja dari Kuala Lumpur dan Selangor, tetapi ada yang datang dari negeri seperti Kedah dan Johor untuk membeli barangannya secara pukal.

"Kebetulan ini merupakan minggu gaji masuk," katanya sambil menambah sambutan menggalakkan pembeli juga dapat dilihat sejak pagi di gerai-gerai lain.

Bagi Hasibah Abdul Kadir, 43, dari Port Dickson, Negeri Sembilan, beliau sanggup memandu jauh ke Jalan TAR sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri kerana kepelbagaian barangan yang ditawarkan pada harga berpatutan.

"Kebiasaannya kami sekeluarga berkunjung ke sini untuk melihat perhiasan rumah dan pakaian yang menyediakan banyak pilihan serta harga yang murah," jelasnya.

Beliau bagaimanapun berharap peniaga memperbanyak pilihan pakaian kanak-kanak kerana mendapati tumpuan lebih diberi kepada pakaian orang dewasa.

Dalam pada itu, Penguasa Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Hariyadi Mohd Nor berkata tapak jualan lebih luas kepada peniaga dan penjaja berlesen di Jalan Masjid India dicadang diwujudkan dengan menutup sebahagian daripada kawasan letak kenderaan di situ.

Menurutnya DBKL juga mengadakan kawalan di sekitar Jalan TAR dan Jalan Masjid India sepanjang Ramadan melibatkan kira-kira 400 anggota penguat kuasa DBKL.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment