Jom Kita Berkawan

Wednesday, 16 July 2014

Ibu mati jururawat cuai



IPOH - Seorang ahli perniagaan mendakwa kematian ibunya yang menghidap penyakit akibat radang paru-paru pada 16 Mac lalu berpunca daripada kecuaian jururawat ketika warga emas itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital, di sini.

Wong Kok Yew, 49, berkata, jururawat terbabit membuka wayar elektrokardiogram (ECG) di tubuh mendiang ibunya, Agnes Liu Soo Thye, 76, secara kasar.

Menurutnya, ketika insiden pada kira-kira jam 5 petang itu, dia sendiri melihat perbuatan jururawat tersebut yang kemudiannya memindahkan wayar berkenaan kepada pesakit di katil sebelah ibunya.

“Ketika itu, ibu saya terus menjerit kesakitan dan kira-kira 10 minit selepas itu saya dapati pergerakan ibu menjadi perlahan sebelum dia terus diam (tidak bernyawa),” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, di sini.

Kok Yew berkata, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya dan keluarga yang menganggap secara tiba-tiba, meskipun sedar ibunya mempunyai penyakit.

Katanya, insiden seumpama itu mampu dielakkan jika pihak hospital menggunakan pendekatan yang betul dan tidak terburu-buru dalam melakukan rawatan terhadap pesakit.

“Kita kesal dengan apa yang berlaku, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak hospital berhubung kecuaian tersebut.

“Bukan untuk mengejar wang ringgit sebaliknya saya tidak mahu kejadian sama berulang kepada pesakit lain yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan,” katanya.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah  berkata, pihaknya akan menghantar surat aduan kepada pihak hospital bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, berdasarkan siasatan awal, kematian wanita berkenaan tiada kaitan dengan kecuaian seperti didakwa.

Katanya, apa yang dilakukan kakitangan hospital, adalah prosedur biasa yang dijalankan sama pada pesakit lain.

“Kita dapati, mendiang menghidapi pelbagai penyakit termasuk kencing manis, masalah paru-paru dan pernah  mengalami strok selama 10 tahun.

“Lagipun mesin berkenaan hanya monitor, tiada kaitan dengan punca kematian,” katanya.
 
SUMBER: SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment