Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 19 August 2014

Cuepacs Harap Penambahbaikan 171 Skim Perkhidmatan Awam Diumum Dalam Bajet 2015


IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap penambahbaikan 171 skim perkhidmatan awam yang sedang disemak kerajaan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015.

Presidennya Azih Muda berkata Cuepacs kini dalam rundingan akhir dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung penambahbaikan skim perkhidmatan awam dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ijazah.

"Cuepacs berharap kerajaan dapat memberi penjelasan segera mengenai penambahbaikan skim itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat isu-isu semasa bersama Pembantu Tadbir di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Beliau turut meminta kerajaan menyemak gaji minimum kakitangan awam RM800 supaya dinaikkan 30 peratus kerana kos sara hidup yang kini kian meningkat.

"Penjawat awam masih lagi ada yang gaji bawah RM800, mereka ini dikira golongan di bawah garis kemiskinan. Kita minta kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam minimum RM1,200 kerana generasi muda perlukan rumah untuk didiami, membesarkan anak-anak mereka dalam keadaan yang lebih kondusif," katanya.

Dalam Bajet 2015, Azih berkata Cuepacs juga berharap kerajaan memberi lebih peruntukan terhadap aspek kesihatan termasuk menambah mesin hemodialisis.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment