Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 12 August 2014

HRPZII Adakan Kerjasama Dengan HUSM Untuk Tempatkan Pesakit Demam Denggi



KOTA BAHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) akan mewujudkan kerjasama dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini bagi mengatasi masalah kekurangan tempat untuk pesakit demam denggi.



Pengarahnya, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata mesyuarat kerjasama dengan HUSM itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai penempatan pesakit dan menambah bilangan katil berikutan jumlah pesakit demam denggi yang semakin meningkat di negeri ini.

"Kita telah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri untuk HRPZII dan HUSM mengadakan perbincangan memandangkan kita sekarang ini boleh dikatakan sudah sampai tahap merawat iaitu seramai 180 pesakit demam denggi dalam masa sehari," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit demam denggi di HRPZII di sini, Isnin.

Katanya sehingga hari ini seramai 174 pesakit ditempatkan di hospital berkenaan dan daripada jumlah tersebut seramai 22 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata bilangan kes di hospital daerah turut meningkat tetapi ditahap yang terkawal.

"Hospital daerah Tumpat merupakan bilangan kes yang kedua tertinggi selepas Kota Baharu iaitu seramai 12 pesakit," katanya.



Dr Ghazali Hasni berkata pihaknya turut mendapatkan kakitangan termasuk doktor dan jururawat di jabatan lain hospital itu untuk bertugas di jabatan perubatan bagi membantu merawat pesakit demam denggi.

"Lebih kurang empat atau lima orang daripada satu jabatan akan bertugas secara berkala dan ditukarkan setiap dua minggu," katanya.

Sabtu lalu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir dilaporkan berkata kes wabak denggi di Kelantan terus meningkat apabila tujuh kematian dicatatkan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding tiada kes kematian pada 2013.

Katanya dalam tempoh tujuh bulan itu sebanyak 5,367 kes dicatatkan berbanding 756 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment