Pages

Jom Kita Berkawan

Sunday 10 August 2014

Kerjaya jururawat tetap di hati

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar | fatin@bh.com.my

2014/08/04
Sharifah Asiah tidak pernah berhenti curah bakti kepada masyarakat

Tugas dan bebanan dipikul bekas Ketua Bahagian Jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada keluarga yang sentiasa memahami kesibukan kerjaya itu.

Berpegang kepada prinsip bekerjasama dalam menguruskan tugasan tidak kira di rumah atau di tempat kerja, Timbalan Presiden Pertubuhan Jururawat Malaysia (MNA), Sharifah Asiah AlJunid diberikan kepercayaan memimpin kakitangan lain di tempat kerjanya.

Kata penerima Anugerah Khas Pengarah 2014 itu, tugas sebagai jururawat tidak hanya tersenarai dalam soal menjaga pesakit, tetapi turut mencurahkan kudrat memberikan perkhidmatan terbaik.

Pernah menghabiskan masa seharian dalam bilik pembedahan, kata beliau yang berusia 60 tahun, tugas jururawat menguji kesabaran dan mencabar dari segi mental dan emosi.

Sehubungan itu, akui ibu kepada tiga cahaya mata itu, beliau pernah melalui dilema apabila ditawarkan melanjutkan latihan sebagai penyelia bilik pembedahan (ORP), di Jerman yang perlu meninggalkan keluarga selama setahun.

Baginya, tawaran itu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang itu adalah peluang untuk meningkatkan ilmu dan pengalaman bekerja di negara asing.

Dengan sokongan ibu dan suami menguatkan lagi semangatnya untuk meneruskan latihan dan kembali sebagai jururawat lebih berdedikasi.

“Jika dibanding 30 tahun dulu, peluang kerjaya tidak banyak dibuka untuk wanita. Namun untuk anak gadis keluar melanjutkan pelajaran dan bekerja dianggap tradisi baharu.

“Berkat bantuan ibu yang sanggup menjaga anak ketika saya melanjutkan latihan banyak membantu meringankan bebanan.

“Suami juga sangat memahami kepadatan jadual tugas saya dan banyak membantu dalam soal menguruskan hal rumah tangga serta pembelajaran anak,” katanya yang turut dianugerah darjat Ahli Mangku Negara (AMN) dari Yang di-Pertuan Agong, pada tahun 2011.


Hospital rumah kedua


Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembabitannya dalam dunia kejururawatan, kata beliau baharu saja menamatkan perkhidmatan, pada 8 Mac lalu dan segala pengalaman dalam bidang itu bukan saja menjadikan dirinya lebih cekal, tapi sabar berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup.

Mengakui tugas dalam bilik pembedahan dan mengendalikan berpuluh petugas di bawahnya bukan perkara senang, tetapi berkat kerjasama ibarat sebuah keluarga besar menjadikan semua operasi berjalan lancar.

“Tempat kerja iaitu hospital ibarat rumah kedua jururawat. Kami bukan saja membantu doktor dalam menjalani operasi atau pembedahan, tapi kami juga banyak menghabiskan masa bertugas dalam bangunan ini.

“Adakalanya, jika jadual kerja terlalu sibuk kami tidak pulang ke rumah hingga berhari-hari. Sebab itu, bagi saya kerjaya ini tidak boleh dipandang rendah.

“Ini kerana banyak perkara yang kami korbankan demi menjaga kesihatan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya


Sibuk jadi penceramah

Masih tidak pernah jemu memperjuangkan perkembangan profesion jururawat sedunia, beliau turut banyak menghabiskan masa mengendalikan seminar antarabangsa termasuk Persidangan Kejururawatan Bilik Operasi Asia (Asiorna) di Malaysia.

Beliau juga berjaya membina imej dan amat dihormati dalam kalangan pekerjanya sehingga dilantik menerajui Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) pada peringkat antarabangsa melalui kepimpinan beliau dalam Kumpulan Minat Khas (SIG).

“Mungkin dulu kerjaya jururawat hanya dipandang sebagai penjaga pesakit, tetapi berbeza pada zaman sekarang ia lebih jauh melangkau daripada apa yang difikirkan.

“Tanpa kepakaran, pengalaman dan bantuan daripada jururawat, proses serta perkhidmatan pembedahan dan kesihatan akan lumpuh.

“Melihat kejayaan profesion ini semakin berkembang dan mendapat sambutan bukan saja di kalangan wanita tapi lelaki, saya amat bangga dan terharu,” katanya.
 
SUMBER: BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment