Pages

Jom Kita Berkawan

Wednesday 6 August 2014

Peranan jururawat - Menjaga ibu bersalin amat penting



Pengalaman pertama menjadi ibu bagi seorang wanita cukup mendebarkan terutama untuk berdepan dengan pelbagai situasi yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Tangisan bayi, kerenahnya menjadi penyeri dalam rumah tangga sebaik sahaja seseorang wanita itu selesai melahirkan.

Pun begitu pengalaman tersebut adalah sesuatu yang indah dan pengorbanan yang tiada bandingnya di dunia ini.

Ketika ibu masih di hospital, tanggungjawab menjaga bayi yang baru lahir, terpikul di bahu para jururawat.

Peranan jururawat semasa ibu dalam rawatan di hospital amat penting. Jururawat terbabit harus bertanggungjawab sebagai penasihat dan `penjaga' kepada ibu yang baru melahirkan bayi.

Mereka perlu membantu memulakan rutin yang sesuai untuk bayi yang baru lahir dan memberi nasihat kepada ibu-ibu dalam semua aspek termasuk penjagaan, kebersihan dan pemakanan.

Justeru, sebagai langkah berterusan untuk meningkatkan kualiti dan penjagaan selepas bersalin, Pampers dan Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (Mamaneh) telah menganjurkan Program Pendidikan Kejururawatan Berterusan, untuk para jururawat.

Program itu meliputi pelbagai topik penting untuk mengemaskini kemahiran dan pengetahuan jururawat dalam penjagaan selepas bersalin bagi ibu dan bayi baru lahir.

Kira-kira 160 jururawat dari pelbagai hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang telah menyertai program berkenaan yang turut ditaja oleh Pampers.

Sebanyak lima topik telah disediakan dalam program setengah hari itu.

Para jururawat diberi maklumat mengenai penemuan baru dan tips tentang kepentingan tidur untuk perkembangan bayi, kulit yang sihat untuk bayi, kelahiran sebelum tempoh, bahaya pendarahan sebelum kelahiran dan penjagaan ibu yang menghidap kencing manis ketika mengandung.

Para jururawat juga berpeluang untuk bertanya soalan berkaitan isu-isu penjagaan selepas bersalin malah sebahagian daripada jururawat telah berkongsi pengalaman mereka semasa bekerja.

Ada juga yang mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil untuk membaiki keadaan pusat penjagaan bayi.

Antara cadangan yang ditimbulkan ialah memindahkan bilik rawatan bayi ke tempat lebih selesa dan tidak bising agar si bayi dapat tidur selesa.

Pada masa yang sama beberapa peralatan dan juga kawalan pencahayaan dan sistem penyaman udara perlu juga ditukar.

Presiden Mamaneh 2000, Profesor Dr. Nik Mohd. Nasri Ismail berkata, peranan jururawat semasa ibu mendapat rawatan selepas bersalin adalah amat penting.

``Para doktor juga bergantung kepada jururawat untuk mendapatkan maklum balas penting berdasarkan pemerhatian mereka beberapa hari selepas bayi dilahirkan. Ini membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

``Sehubungan itu, amat penting para jururawat dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan terkini supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan cekap,'' katanya.

Sementara itu Pengurus Perhubungan Awam Pampers, Shahira Bazari berkata, program seperti ini sentiasa mendapat sambutan. Ini kerana ia bertindak sebagai kursus ulang kaji kepada para jururawat dan juga memberi peluang kepada mereka untuk bertukar-tukar pengalaman.

Terdapat jumlah yang seimbang antara jururawat muda dengan jururawat yang berpengalaman, satu kombinasi yang diperlukan dalam kes bersalin.

``Sokongan Pampers dalam program ini adalah sebahagian daripada komitmen Pampers untuk menjaga kepentingan bayi. Kami berharap supaya program ini dapat membantu para jururawat memberi penjagaan yang lebih berkualiti kepada ibu dan anak yang baru lahir,'' katanya.

Dalam pada itu, Adiletchimi, jururawat dari Hospital Kuala Lumpur yang berpengalaman 32 tahun dalam bidang kejururawatan menyifatkan program berkenaan memberi peluang kepadanya mengenal kaedah kejururawatan terkini.

Program itu padat dengan pengetahuan dan amat berguna kepada golongan berkenaan yang sentiasa sibuk dengan kerja-kerja harian sehingga tidak mempunyai masa yang cukup untuk mendapatkan maklumat terkini.

``Kejururawatan, seperti juga pekerjaan lain memerlukan kami sentiasa mengetahui maklumat dan kaedah yang terkini supaya kami dapat memberi penjagaan yang lebih baik,'' tambahnya.

SUMBER: Forum Paramedik

No comments:

Post a Comment