Jom Kita Berkawan

Monday, 11 August 2014

Usah prejudis dengan pesakit

Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my

SATU demi satu bilik wad di Hospital Rawatan Lanjutan Columbia Asia kami lawati dan setiap kali itulah jelas terpancar wajah gembira pesakit serta ahli keluarga mereka yang ceria menerima kunjungan kami.
Ditambah dengan adanya Liyan Abdullah dalam kumpulan kami, sesi lawatan wad ke wad di hospital itu makin rancak apabila pesakit dan ahli keluarga mereka saling galak bertanya khabar serta bertukar cerita.

Nyata, wanita berasal dari Pulau Pinang itu bukan sekadar jururawat yang bertugas di hospital terbabit tetapi dianggap seperti salah seorang ahli keluarga sendiri yang saban hari hadir menghulurkan bantuan fizikal dan mental bagi mengurangkan bebanan mereka.

“Karier sebagai jururawat ini bukanlah semata-mata membantu doktor atau merawat pesakit dengan menyediakan ubat-ubatan kerana kami turut bertindak sebagai kaunselor serta penenang apabila pesakit mula rasa gelisah dan tidak selesa.

“Seiring dengan masa, tugas jururawat hari ini amat mencabar kerana kami bukan hanya memberi tumpuan dalam merawat pesakit tetapi pada masa sama perlu memberi kepuasan serta perkhidmatan berkualiti,” ujarnya.

Pengalamannya lebih 35 tahun dalam bidang itu juga banyak mencoretkan memori pahit manis dalam hidupnya dan walaupun kini bergelar Pengurus Perkhidmatan Jururawat di hospital itu, Liyan tidak betah duduk di pejabat dengan melakukan tugasan pentadbiran sepanjang hari.

“Secara asasnya, saya masih seorang jururawat dan sukar untuk saya duduk diam di pejabat tanpa meronda melihat pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini.

“Setiap pagi, saya pasti akan meronda dan melihat perkembangan pesakit. Dengan cara ini, saya dapat berbual serta mengenal pasti apa yang mereka perlukan, sekali gus membantu meningkatkan motivasi mereka.

“Memandangkan hospital ini lebih terarah kepada rawatan lanjutan dan susulan, di mana pesakit akan tinggal lebih lama bagi mendapatkan rawatan, cara, teknik dan pendekatan kami amat berbeza daripada pusat perubatan biasa.

“Di sini saya lihat pentingnya untuk saya dekatkan diri dengan pesakit kerana saya sentiasa menganggap mereka sebahagian daripada ahli keluarga yang memerlukan bantuan serta sokongan untuk kembali pulih dan cergas.

“Pada masa sama, dapat juga memantau aktiviti serta tugasan jururawat di bawah kendalian saya supaya kami dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk pesakit dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Tegas Liyan, kerjaya jururawat tidak glamor seperti bidang lain dan hanya mereka yang benar-benar yakin serta kuat semangat mampu melakukannya.

“Seorang jururawat sama sekali tidak boleh prejudis dengan pesakit dan perlu menerima keadaan mereka seadanya. Bermacam kerenah dan perangai manusia perlu dihadapi dan seorang jururawat mesti bijak menanganinya.

“Di sinilah pentingnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan isu semasa, selain kelebihan berkomunikasi lebih daripada dua bahasa,” ujarnya yang menguasai bahasa Mandarin, Kantonis dan Hokkien selain bahasa Melayu serta Inggeris.

Mengimbau pembabitan awalnya dalam bidang ini, minat Liyan mula bercambah ketika di bangku sekolah apabila sering terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah.

Bekas pelajar Sekolah Perempuan St George, Pulau Pinang itu nekad melanjutkan pelajaran di Sekolah Kejururawatan Rochdale di Lancashire, England pada awal 1970-an hingga ditauliahkan sebagai jururawat berdaftar pada 1975.


 
Sejurus mendapat pentauliahan sebagai bidan berdaftar dari Sekolah Perbidanan Rochdale pada 1976 dan Sijil Pelawat Kesihatan dari Institut Teknologi Bolton, setahun selepas itu, Liyan mengambil keputusan bertugas di sana selama tiga tahun yang lebih menjurus kepada penjagaan kesihatan awam.

“Ketika menjadi bidan di sana, saya banyak didedahkan dengan komuniti luar bandar yang memilih untuk bersalin di rumah secara normal berbanding di hospital.

“Jadi secara tidak langsung saya banyak membabitkan diri dengan kempen kesedaran serta aktiviti kesihatan dalam komuniti, yang mana tugasnya sama seperti jururawat masyarakat di negara ini.

“Selain memberi tumpuan kepada golongan ibu, skop tugasan kami juga membawa kepada penjagaan kesihatan di kalangan warga emas. Di sana, golongan warga emas dijaga sepenuhnya oleh jururawat sejak awal mengalami masalah kesihatan sehinggalah mereka dikebumikan,” katanya.

Liyan kemudiannya kembali ke tanah air pada pertengahan 1978 dan berkhidmat di Hospital Penang Adventist sehingga 1983. Sepanjang tempoh itu, beliau turut ditempatkan di Ealing Health Authority, London, selama setahun.

Teruja dengan tawaran yang diterimanya pada lewat 1983, Liyan berangkat pula ke bumi Arab bagi meneruskan kariernya di Hospital King Abdul Aziz, Jeddah.

Namun, tempoh khidmatnya tidak lama apabila Liyan pulang ke Malaysia pada awal 1986 dan bertugas di beberapa hospital tempatan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sehinggalah menyertai Hospital Rawatan Lanjutan Columbia Asia di Shah Alam sejak Januari tahun lalu.


PROFIL

NAMA: Liyan Abdullah
TARIKH LAHIR: 29 Julai 1953
ASAL: Georgetown, Pulau Pinang
JAWATAN: Pengurus Perkhidmatan Jururawat di Hospital Rawatan Lanjutan Columbia Asia

PENDIDIKAN:
  • Institut Teknologi Bolton (1977)
  • Sekolah Perbidanan Rochdale (1976)
  • Sekolah Kejururawatan Rochdale (1975)

    PENGALAMAN:
  • Pengurus Jururawat di Pusat Perubatan Darul Ehsan (1998-2008)
  • Pengajar Klinikal di Pusat Perubatan Selangor (1997)
  • Jururawat Didikan Diabetes, Unit Pendidikan Kesihatan di Hospital Penang Adventist (1995-1996)
  • Jururawat separuh masa dan Lokum di Pusat Perubatan Pantai (1986-1991)
  • Jururawat (Bidan/Jagaan Bayi) di Hospital King Abdul Aziz, Jeddah (1983-1985)
  • Jururawat (Perubatan/Wad Pembedahan) di Hospital Penang Adventist (1982-1983)
  • Pelawat Kesihatan di Ealing Health Authority, London (1981-1982)
  • Jururawat di Hospital Penang Adventist (1979-1981)
  • Pelawat Kesihatan di Rochdale Area Health Authority (1977-1979)

  • SUMBER : HARIAN METRO

    No comments:

    Post a Comment