Jom Kita Berkawan

Tuesday, 23 September 2014

Jururawat kita jadi ‘rebutan’

Sehingga, kini terdapat lebih 600 jururawat terlatih menabur bakti di beberapa hospital di Jeddah dan mereka ditawarkan dengan imbuhan dua hingga empat kali ganda berbanding apa yang dinikmati di negara asal.
 
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata, selain boleh berbahasa Inggeris, pesakit juga dikatakan lebih selesa untuk mendapatkan khidmat jururawat warga Malaysia yang lebih baik dan terlatih.

Beliau berkata, peranan profesional Malaysia seperti arkitek, pegawai teknikal dan jurutera memang sentiasa diiktiraf Kerajaan Arab Saudi, malah masih banyak ruang boleh diisi oleh warga Malaysia di dalam sektor berkenaan di negara ini, Mengulas lanjut, beliau meminta rakyat Malaysia di negara ini terus mengekalkan imej positif bagi memastikan warga Malaysia terus dihormati bukan saja oleh rakyat tempatan, malah pihak berkuasa Arab Saudi.

“Imej baik membolehkan setiap usaha yang hendak dilakukan akan mendapat kerjasama mudah daripada kerajaan Arab Saudi dan pada masa sama menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

“Malah, saya mengalu-alukan kehadiran lebih ramai rakyat Malaysia berkelayakan untuk menaburkan khidmat dalam pelbagai bidang yang masih kosong di negara ini,” katanya selepas majlis sambutan Hari Malaysia di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, semalam.

SUMBER: HARIAN METRO

Sunday, 21 September 2014

SPA Terima 1.4 Juta Permohonan Sejak Januari-Ogos

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menerima 1.4 juta permohonan untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Setiausahanya Datuk Ramli Juhari berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 115,007 orang dipanggil menghadiri temu duga dan 21,381 calon dilantik menjawat beberapa jawatan.

Beliau berkata setakat ini 15,737 calon yang dilantik adalah Melayu, 1,531 (Cina), 1,180 (India), 1,300 (Bumiputera Sabah), 1,160 (Bumiputera Sarawak) dan 473 (lain-lain).

Ramli berkata pihaknya menjangkakan hingga akhir Disember tahun ini jumlah permohonan akan meningkat kepada 2.5 juta permohonan berbanding tahun lepas dengan jumlah permohonan 2.2 juta.

"Kita lihat trend permohonan calon meningkat setiap tahun. Dengan adanya kempen yang dibuat oleh SPA, minat terhadap perkhidmatan awam sangat tinggi," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pelantikan dan Urusan Perkhidmatan Awam di Pusat Temu Duga SPA di sini hari ini.

Ramli berkata pihaknya akan membuat lantikan sebanyak 60,000 hingga 70,000 pemohon berdasarkan kekosongan dan jumlah persaraan kakitangan awam dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya tahun lepas SPA membuat lantikan 60,059 orang dengan 45,392 adalah calon berbangsa Melayu, 2,901 (Cina), 2,018 (India), 4,478 (Bumiputera Sabah), 4,083 (Bumiputera Sarawak) dan 1,187 (lain-lain).

Sementara itu, beliau berkata calon yang dipanggil temu duga perlu melakukan persiapan dengan baik bagi membolehkan mereka lulus dan layak untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.

"Kita sediakan kursus percuma kepada calon untuk sesi temu duga kerana ia mustahak. Kita lihat sebelum ini calon mempunyai akademik amat baik tetapi gagal pada sesi temu duga," katanya.

Mengenai peperiksaan SPA secara dalam talian, beliau berkata masalah teknikal yang berlaku adalah perkara biasa dan pihaknya berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki masalah sistem dengan cepat bagi membolehkan calon dapat menjawab soalan yang disediakan.

"Kita prihatin beri peluang kali kedua kepada calon Penguasa Kastam untuk menjawab soalan pada 10 Sept lepas dan 30,000 calon lulus," katanya.

-- BERNAMA

Profesional Malaysia Dihormati Dan Mendapat Permintaan Di Arab Saudi

Daripada Hafizah Kamaruddin


JEDDAH, 21 Sept (Bernama) -- Golongan profesional Malaysia dihormati dan mendapat permintaan di Arab Saudi bukan hanya professionalisme dan dedikasi dalam kerjaya masing-masing, tetapi juga kerana disiplin mereka.

Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata pada masa ini lebih 1,000 profesional Malaysia bekerja di zon barat Saudi, meliputi Tabuk di utara sehingga Jizan di selatan, termasuk Makkah dan Madinah.

Majoriti profesional Malaysia bekerja di dalam sektor kesihatan seperti jururawat yang berkhidmat di hospital kerajaan dan menikmati pendapatan dua ke tiga kali ganda daripada gaji mereka di Malaysia, beliau memberitahu media selepas melancarkan sambutan Hari Malaysia di Konsulat Malaysia di sini, Sabtu.

Lebih daripada 400 warga Malaysia menghadiri majlis itu, termasuk kumpulan "Malaysia-Jeddah Bikers" dan 40 penuntut Malaysia dari Universiti Madinah yang melakukan perjalanan sejauh 400 km untuk turut bersama rakan senegara yang lain.

Selain menyanyikan lagu Negaraku, acara itu turut diisi dengan sebuah forum "Penghayatan Kemerdekaan Dalam Kehidupan Setiap Insan" yang melibatkan dua anggota panel Mohd Hishammuddin dan Edeey Ameen daripada Tabung Haji sementara Pengurus Ibadah Haji Musim 1435 Hijrah bagi Makkah, Shahrul Azam Noorzeli, selaku moderator.

Mohd Khalid berkata khidmat jururawat Malaysia disukai oleh pesakit-pesakit di hospital kerana kelembutan dan keprihatinan mereka semasa bertugas dan banyak pesakit yang melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Beliau berkata sekarang ini banyak profesional Malaysia terlibat dalam projek pembangunan di negara ini di dalam pelbagai sektor termasuk kejuruteraan, telekomunikasi dan perbankan Islam.

Antara faedah yang dinikmati profesional Malaysia yang bekerja di sini ialah gaji yang lebih tinggi dan tiada cukai pendapatan, katanya.

Sementara itu jururawat bertauliah Lalita Palaniappan, 35 dari Tapah, Perak yang bekerja di King Abdulaziz Universiti Hospital di sini berkata kira-kira 200 jururawat Malaysia bekerja di hospital itu sekarang.

Lalita yang telah bekerja di Malaysia dan Singapura berkata masalah beliau hanyalah bahasa kerana tidak boleh bertutur Bahasa Arab dan budaya di sini.

Sementara untuk makan, mereka selalunya memasak sendiri, katanya.

Bagi Zuriayati Zulkifly, 38 dan Norsheilaiza Abdul Razak, 29, yang baharu berpindah ke sini enam bulan lepas mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dengan baik biarpun menghadapi kejutan budaya.

Walaupun tidak tahu bertutur Bahasa Arab, mereka memilih Arab Saudi atas faktor keagamaan dan persekitarannya yang bercirikan Islam.

Zuriyati dari Pahang telah bekerja di Singapura selama enam tahun sebelum berpindah ke Jeddah dan sebelum itu dia bekerja di Hospital Gleaneagles, Kuala Lumpur.

Sementara Norsheilaiza dari Johor pernah bekerja di Hospital Pakar Ampang Puteri di Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke sini.

-- BERNAMA

Saturday, 20 September 2014

Peperiksaan Online Bagi Latihan Separa Perubatan Bertaraf Diploma Lancar

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Proses peperiksaan secara online bagi Latihan Separa Perubatan Bertaraf Diploma yang berlangsung hari ini berjalan lancar, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam.

Beliau berkata sebanyak 42,876 calon menduduki peperiksaan itu dengan jayanya termasuk 30 calon yang berada di 16 negara, antaranya Singapura, United Kingdom, Ireland dan Australia.

"Walaupun terdapat masalah teknikal dikesan berlaku kepada 22 'server' daripada 68 'server', dengan sebahagian daripada calon tidak dapat menjawab soalan di seksyen B, namun masalah tersebut telah dapat diatasi segera," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata calon berkenaan dibenar menduduki semula peperiksaan pada 12.30 tengah hari tadi.

Peperiksaan itu untuk latihan bagi jawatan Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-ray, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pergigian, Jurupulih Perubatan Anggota, Jurupulih Perubatan Cara Kerja, Juruteknologi Makmal Perubatan dan Juruteknologi Pergigian.

Mahmood berkata keputusan peperiksaan dijangka pada Isnin (22 Sept), 12 tengah hari menerusi portal SPA www.spa.gov.my.

-- BERNAMA

Friday, 19 September 2014

Ibu terkejut anak bersalin dalam tandas


BERA - Sepasang suami isteri amat terkejut apabila anak perempuan mereka yang baru berusia 16 tahun melahirkan anak lelaki di dalam tandas rumah mereka di Felda Bandar 32 dekat sini awal pagi tadi.

Wanita tersebut mendapati anaknya itu berlumuran darah, ketika dia hendak bersolat Subuh kira-kira 5.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata bapa pelajar berkenaan kemudiannya membawa anaknya ke klinik kesihatan, sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 7.10 pagi.

Pelajar berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Remaja itu dikatakan sudah mengandung sembilan bulan, tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda dia mengandung. - Bernama

Wednesday, 17 September 2014

Cuba Curi Kereta Jururawat

‘Hadiah’ curi kereta jururawat

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, suspek yang berusia 40 tahun cuba melarikan kereta salah seorang penduduk di Taman Putri, Batu 9 di sini.

Tindakan suspek bagaimanapun disedari pemilik kenderaan itu berusia 23 tahun yang baru keluar dari pintu rumah untuk ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa dikatakan terkejut apabila mendapati lampu hadapan kereta Toyota miliknya yang diletakkan di hadapan rumah menyala.

Menurutnya, mangsa kemudian mendapati suspek berada di dalam kenderaannya itu.

Bersalin Dalam Air

Kaedah radikal kini popular

Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Proses kelahiran dalam air yang dilakukan di hospital swasta di Pulau Pinang pada 14 Februari 2008 itu bukan saja berjalan lancar berikutan ibu dan bayi berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang komplikasi, malah mencatat sejarah apabila Wang dipercayai wanita pertama melahirkan bayi de­ngan kaedah itu di negara ini.

Sejak itu, ramai wanita hamil di negara ini memilih kaedah berkenaan sebagai bagi mengurangkan kesakitan melahirkan anak, di samping menempuh sendiri pengalaman berbeza teknik kelahiran berbanding bersalin secara normal di atas katil atau pembedahan ‘Caesarean’.

Kaedah ini bermula pada 1960-an apabila penyelidik Russia, Igor Tjarkovsky, melakukan eksperimen kaitan air dengan kelahiran apabila melatih bayi yang baru saja dilahirkan berenang.
 

PENYELIA jururawat Siaw Seow Sin menunjukkan peralatan dan kolam air khas untuk wanita hamil bersalin dalam air di PHKL.
 
Beliau percaya air dapat mengurangkan kesan kelenyapan graviti pada sel otak bayi ketika dilahirkan dan dengan itu meningkatkan keupayaan psikik bayi berkenaan.

Eksperimennya itu diang­gap radikal terutama kaedahnya meletakkan bayi dalam air beberapa minit selepas dilahirkan. Namun, beliau terus melatih bayi dalam air dengan pengawasan ibu bapa bertujuan membantu bayi membina kesihatan, kekuatan, keseimba­ngan, keyakinan, fleksibiliti dan daya tahan.

Kemudian, pakar perbidanan Perancis, Frederick Leboyer, memperkenalkan kaedah meletakkan bayi yang baru saja dilahirkan dalam air suam kononnya untuk mengurangkan kesan trauma ke dunia luar.

Bagaimanapun, beliau tidak membidankan ibu bersalin dalam air atau menggunakan air untuk mengurangkan kesakitan ibu berkenaan.

Bersalin dalam air benar-benar direalisasikan oleh seorang lagi pakar perbidanan Perancis, Michel Odent, apabila beliau yang membuka Pusat Kelahiran Keluarga menyediakan bilik dengan persekitaran seperti di rumah termasuk kolam mandi khas untuk menenangkan ibu hamil dan mengurangkan kesakitan bersalin.

Beliau secara tidak sengaja menyambut kelahiran bayi dalam air apabila seorang wanita yang berendam dalam kolam khas selepas berjam-jam menanggung kesakitan enggan keluar walaupun tiba masa untuk bersalin.

Odent kemudian percaya kaedah itu dapat membantu ibu mengurangkan kesakitan bersalin terutama mereka yang mengalami masalah kontraksi berpanjangan.

Selepas menyambut 100 kelahiran dalam air, Odent menerbitkan kertas kerja kajian perubatan kaedah berkenaan yang tidak mendatangkan komplikasi kepada ibu dan bayi pada 1983.

Pada 1990-an, kaedah bersalin dalam air menjadi popular dan banyak kajian mengenainya dilakukan di Australia, Britain, Eropah dan Amerika Syarikat.

Di Malaysia, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) menjadi hospital pertama menawarkan kaedah bersalin dalam air di Lembah Klang.

Pihak hospital membuat penyelidikan dan membentuk kumpulan perubatan khusus serta menyediakan kelengkapan yang diperlukan untuk menyambut proses kelahiran dalam air termasuk menyediakan bilik bersalin bersama kolam khas.

Sehingga bulan lalu, seramai 151 bayi dilahirkan dalam air di PHKL sejak perkhidmatan bersalin dalam air diperkenalkan di hospital berkenaan pada 2009.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan PHKL, Dr Idora Mohamed berkata, penggunaan air suam dalam kolam untuk bersalin mampu memberi keselesaan, kelegaan dan mengurangkan kesakitan ketika bersalin, sekali gus mengurangkan pengambilan suntikan ubat penahan sakit epidural.

Air adalah penahan sakit yang berkesan dan di Britain, dilaporkan hanya 10 peratus wanita hamil yang bersalin dalam air mengambil suntikan epidural.

Malah, wanita yang memilih untuk bersalin dengan kaedah ini juga dikatakan tidak memerlukan episiotomi iaitu bahagian organ sulit yang perlu digunting bagi melancarkan kelahiran.

“Air secara semula jadinya menenangkan, memberi keselesaan, keapungan, memudahkan pergerakan, privasi dan kawalan. Oleh itu, bersalin dalam air mampu melancarkan kelahiran. Apabila terapung dalam air, wanita yang ingin melahirkan akan mudah bergerak dan menukar posisi mereka mengikut keselesaan.

“Bagi mengawal kesakitan, wanita hamil akan berendam dalam air separuh badan sehingga berasa selesa dan lega. Mereka boleh terus berendam dalam kolam sehingga tiba masa untuk bersalin tetapi ada juga yang hanya mahu berendam saja untuk mengurangkan kesakitan, sebaliknya bersalin atas katil.

“Biasanya, wanita hamil digalakkan masuk ke dalam kolam selepas me­ngalami kontraksi yang betul untuk bersalin dengan bukaan serviks empat hingga lima sentimeter. Kesakitan untuk bersalin yang berkurang dapat mengelakkan daripada mengambil suntikan epidural,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Idora, sebelum wanita hamil masuk ke dalam kolam, doktor akan memeriksa keadaannya serta denyutan jantung bayinya sama ada normal dan boleh meneruskan proses kelahiran dengan kaedah berkenaan.

“Ketika tiba masa bersalin, air akan diisi paras dada atau kurang sedikit pada paras perut wanita hamil. Selepas bersalin, bayi akan didakap ibunya sebentar sebelum kedua-duanya dibersihkan dengan bantuan jururawat.

“Walaupun kaedah bersalin dalam air tidak ada had umur, wanita yang memilih proses sebegini mesti mempunyai kesihatan yang baik dan tidak mempunyai penyakit lain seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis supaya tidak membawa risiko pada ibu dan bayi,” katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO

Tuesday, 16 September 2014

Cuepacs mahu kerajaan timbang dua bulan bonus

Azih Muda

BATU PAHAT – Cuepacs berharap pada pembentangan Belanjawan Negara 2015, kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus sebanyak dua bulan kepada penjawat awam.

Presidennya, Azih Muda berkata, permintaan berkenaan memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dicatat negara kini antara yang tertinggi.

Menurutnya, pemberian bonus itu diminta berdasarkan indeks penunjuk prestasi (KPI) sektor awam yang menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini.

“Diharapkan dengan kedua-dua sebab berkenaan, kerajaan akan dapat mempertimbang memberikan dua bulan bonus kepada penjawat awam,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak
Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae).

Azih berkata, Ceupacs juga memohon peruntukan pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat dan kakitangan awam ditambah dalam belanjawan berkenaan.

Katanya, jika kerajaan tidak dapat mengumumkan penambahan itu dalam belanjawan kelak, pihaknya berharap perkara itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11).

“Dalam menuju status negara maju menjelang 2020, kerajaan perlu menyediakan perkara ini terlebih dahulu.

“Kerajaan juga perlu meneruskan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan tanpa menggantikannya dengan badan berkanun seperti dirancang.

“Perkara itu perlu diteruskan kerana pertukaran bahagian itu ke badan berkanun lain akan mengganggu kelancaran proses pinjaman perumahan kakitangan awam,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN

Wednesday, 10 September 2014

Jururawat berang kejar peragut 15km


Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, jururawat terbabit dalam perjalanan dari Gurun ke tempat kerjanya di Amanjaya, di sini dengan menunggang sebuah motosikal, namun sebaik tiba di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bedong, dia dihampiri sebuah motosikal Honda EX5 yang dinaiki dua lelaki.
Jururawat itu mengejar suspek hampir setengah jam sejauh 15 kilometer (km) sebelum lelaki yang meragutnya itu dapat ditahan orang ramai di Tanan Bandar Baru, Sungai Lalang.

Jurucakap polis berkata, seorang daripada suspek bertindak merampas beg mangsa yang berada di dalam raga motosikal dan terus memecut ke arah Permaipura, di sini.

“Jururawat terbabit yang terkejut dengan kejadian itu kemudian nekad mengejar dua suspek berkenaan. Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan memasuki kawasan Kongsi 6 dan keluar ke Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, sini sini.

“Sebaik sampai di taman terbabit, jururawat itu menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai yang ada di kawasan itu. Jeritan mangsa didengari beberapa lelaki yang berada di taman berkenaan yang kemudian bertindak menghalang motosikal suspek.

“Seorang daripada suspek berjaya ditahan manakala rakannya berjaya melepaskan diri. Suspek kemudian diserah kepada anggota polis yang kebetulan sedang meronda di kawasan itu,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 20-an itu memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan seorang penagih dadah.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO

Thursday, 4 September 2014

Keluarga jururawat

Oleh NORIAH IDRIS
nori@mediaprima.com.my

Bagi Azizah Ramlee, 56, mengabdikan diri selama 33 tahun sebagai jururawat memberi pengalaman tidak lekang di ingatan.

Malah, Azizah sangat berbangga kerana bidang kejururawatan turut dianggap mulia dalam menaburkan bakti kepada masyarakat.

Bersara pada akhir 2012 kerana mahu ‘berehat’ tetapi dua bulan kemudian Azizah berdepan ujian apabila suaminya Mohd Fauzi Abdullah menghidap strok. Lalu Azizah sendiri yang menjaga dan merawat suaminya selama lapan bulan hingga menghembus nafas terakhir di sisinya.

 
 AZIZAH bangga dengan kerjayanya sebagai jururawat.
 
“Sepanjang persaraan, ada juga tetangga berjumpa saya meminta bantuan, terutama berkaitan perubatan seperti kehilangan kaki akibat kencing manis.

“Pengalaman yang ada saya curahkan dengan melakukan rawatan awal (dressing) sebelum jiran saya itu ke hospital,” katanya.

Menurut Azizah, lebih membanggakan, pengalaman dalam bidang perubatan, terutama kejururawatan, turut mendapat perhatian anak keduanya yang kini bergelar pegawai perubatan siswazah dan bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Anak sulung, Faardian mengikut jejak saya kerana memperoleh sarjana dalam pengurusan pejabat dan kini bertugas di syarikat pembuatan sebagai pegawai tadbir dan perolehan.

“Begitu juga anak ketiga, Faarzana, 21, penuntut di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

“Namun, saya tak pernah memaksa anak mengikuti bidang yang pernah saya ceburi. Saya percaya mereka ada minat tersendiri dan sebagai ibu, saya sekadar memberi galakan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh bagi mengecapi impian,” katanya.

Kini, Azizah berharap anak bongsu, Mohamad Faarhan, 11, dapat meneruskan legasinya kerana ada tanda menunjukkan anak itu cenderung mengetahui sesuatu berkaitan bidang perubatan.

Pun begitu, Azizah tersentuh jiwa mengenangkan adiknya, Rosniza, 44, sudah beberapa tahun bertugas sebagai jururawat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kini di hospital Dubai.

Begitu juga adik iparnya, Nor Maheran Abdullah, 43, adalah jururawat di Hospital Baling, Kedah dan sepupu suaminya, Masyuhaida Che Ayub, 24, adalah Pembantu Perubatan di Hospital Ipoh, Perak.

Yang mengharukan, kata Azizah, kerjaya jururawat turut menambat dua anak saudara, Ainun Naim Zulkifli, 26, yang pernah menuntut di Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu dan kini bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.

Manakala seorang lagi anak saudaranya, Nur Afthelyana binti Zolkeply, 20, kini menjalani latihan pergigian di Pusat Pergigian Kanak-kanak dan Kolej Latihan Pergigian Malaysia di Pulau Pinang.

Bagi wanita ini, anak dan saudara mara mencintai bidang berkenaan, menyebabkan mereka layak digelar ‘keluarga perubatan’ kerana komitmen kerjaya itu menuntut kegigihan serta tanggungjawab menjaga dan merawat pesakit yang tidak ternilai harganya.

Katanya, apabila berkumpul beramai-ramai, terutama dengan anak atau saudara-mara pada Aidilfitri misalnya, topik perbincangan berkisar pengalaman lucu dan sedih pesakit yang ditemui dan dia turut menjadi tempat rujukan.

Mengimbau kerjaya kejururawatan, dia tidak menafikan sepanjang tiga dekad bertugas di wad bersalin di pelbagai hospital termasuk HKL, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dan Hospital Tumpat, Kelantan, banyak pengalaman pahit manis ditempuhinya.

Dia tidak menafikan ada yang mengatakan kerjaya itu nampak senang, sedangkan hakikatnya terpaksa bekerja keras hinggakan pada hari raya harus bertugas walaupun orang lain gembira beraya bersama keluarga.

Pengalaman tidak dapat dilupakan wanita ini adalah ketika merawat seorang ibu hendak bersalin pada Ramadan dan pada masa sama, waktu berbuka sudah tiba.

“Ketika itu saya dan dua lagi jururawat akan membantu bakal ibu hendak melahirkan bayi.

“Saya pernah berdepan pengalaman ketika hendak berbuka puasa dan si ibu hendak bersalin, menyebabkan terpaksa meninggalkan makanan yang hendak disuap.

“Saat membantu ibu itu bersalin, tiba-tiba air ketuban pecah dan saya tertelan air itu hinggakan tidak lalu makan.

“Namun itulah pengalaman yang harus ditempuh kerana lebih kurang 30 minit selepas itu baru saya dapat berbuka puasa. Bila diingat kembali, ia menjadi bahan lucu dalam perbualan,” katanya.

Namun, ada kalanya agak melucukan ketika membantu wanita hendak bersalin anak kedua yang gementar sepanjang di wad bersalin.

“Seminggu selepas itu, kebetulan saya tidak bekerja dan wanita yang saya bantu itu bersama suaminya datang ke hospital memandu lori yang dipenuhi buah- buahan kerana hendak diberi kepada saya sebagai tanda terima kasih.

“Apabila saya dihubungi hospital mengatakan wanita dan suaminya mahu berjumpa semata-mata hendak menyerahkan satu lori buah-buahan, menyebabkan saya terkejut.

“Saya enggan menerimanya kerana terlalu banyak dan meminta pasangan itu memberi buah-buahan kepada semua kakitangan hospital. Walaupun dia sedikit kecewa tapi bila diterangkan kami tidak boleh terima rasuah, mereka memahaminya,” katanya.

Azizah menyimpan kenangan manis sepanjang bertugas di Hospital Tumpat pada 1991 hingga 2012 kerana pada 1994 mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dek komitmennya yang tidak berbelah bahagi pada tugas serta dikenali sebagai jururawat dedikasi.


INFO

NAMA: Azizah Ramlee
USIA: 56 tahun
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
AKADEMIK: Sijil Latihan Jururawat
KERJAYA: Pesara jururawat
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Faardian (30), Mohd Faarzali (28), Faarzana (21) dan Mohamad Faarhan (11)
 
SUMBER: HARIAN METRO

Cuepacs Minta Kerajaan Selaras Elaun Tetap Perumahan Kumpulan Pelaksana


MELAKA, 29 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan melaksanakan penyelarasan elaun tetap perumahan kumpulan pelaksana kakitangan awam melibatkan gred 40 dan ke bawah dalam Bajet 2015.

Presidennya Azih Muda berkata penyelarasan elaun dari RM180 ke RM450 itu perlu dipertimbangkan dan dilaksanakan dengan segera kerana ia merupakan isu tertunggak yang memberi kesan langsung kepada kira-kira 700,000 kakitangan pelaksana di negara ini.

Beliau berkata kadar elaun tersebut tidak dikaji lebih 11 tahun dan sudah masanya ia dipertimbangkan dalam bajet akan datang selaras dengan taraf ekonomi yang kian menigkat.

"Kenaikan ini wajar dipertimbangkan kerana harga sewa rumah sama ada di kawasan bandar atau luar bandar tidak dapat lagi pada harga RM180.

"Justeru kumpulan pelaksana ini terpaksa memperuntukkan sejumlah besar gaji yang diperoleh bagi menampung sewa rumah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali-26 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak berkuasa Tempatan di sini, Jumaat.

Azih berkata dianggarkan lebih 50 peratus daripada 1.5 juta penjawat awam di negara ini terutama kumpulan pelaksana terpaksa menyewa kerana tidak mampu membeli rumah disebabkan harga yang tinggi.

Beliau berkata isu tersebut jika tidak ditangani dengan baik mampu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada golongan penjawat awam malah kepada negara.

"Kita bimbang golongan ini tidak mempu memiliki rumah sehingga mereka bersara dan akhirnya menjadi gelandangan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula tindakan pemotongan elaun sara hidup (Cola) penjawat awam yang tinggal di kuarters kerajaan bagi meringankan beban golongan tersebut.

"Pemotongan ini tidak wajar kerana kuarters merupakan kelebihan yang diberikan kepada kakitangan awam dan elaun Cola itu tidak seharusnya dipotong dengan pemberian kelebihan itu," katanya.



-- BERNAMA