Pages

Jom Kita Berkawan

Sunday 21 September 2014

Profesional Malaysia Dihormati Dan Mendapat Permintaan Di Arab Saudi

Daripada Hafizah Kamaruddin


JEDDAH, 21 Sept (Bernama) -- Golongan profesional Malaysia dihormati dan mendapat permintaan di Arab Saudi bukan hanya professionalisme dan dedikasi dalam kerjaya masing-masing, tetapi juga kerana disiplin mereka.

Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata pada masa ini lebih 1,000 profesional Malaysia bekerja di zon barat Saudi, meliputi Tabuk di utara sehingga Jizan di selatan, termasuk Makkah dan Madinah.

Majoriti profesional Malaysia bekerja di dalam sektor kesihatan seperti jururawat yang berkhidmat di hospital kerajaan dan menikmati pendapatan dua ke tiga kali ganda daripada gaji mereka di Malaysia, beliau memberitahu media selepas melancarkan sambutan Hari Malaysia di Konsulat Malaysia di sini, Sabtu.

Lebih daripada 400 warga Malaysia menghadiri majlis itu, termasuk kumpulan "Malaysia-Jeddah Bikers" dan 40 penuntut Malaysia dari Universiti Madinah yang melakukan perjalanan sejauh 400 km untuk turut bersama rakan senegara yang lain.

Selain menyanyikan lagu Negaraku, acara itu turut diisi dengan sebuah forum "Penghayatan Kemerdekaan Dalam Kehidupan Setiap Insan" yang melibatkan dua anggota panel Mohd Hishammuddin dan Edeey Ameen daripada Tabung Haji sementara Pengurus Ibadah Haji Musim 1435 Hijrah bagi Makkah, Shahrul Azam Noorzeli, selaku moderator.

Mohd Khalid berkata khidmat jururawat Malaysia disukai oleh pesakit-pesakit di hospital kerana kelembutan dan keprihatinan mereka semasa bertugas dan banyak pesakit yang melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Beliau berkata sekarang ini banyak profesional Malaysia terlibat dalam projek pembangunan di negara ini di dalam pelbagai sektor termasuk kejuruteraan, telekomunikasi dan perbankan Islam.

Antara faedah yang dinikmati profesional Malaysia yang bekerja di sini ialah gaji yang lebih tinggi dan tiada cukai pendapatan, katanya.

Sementara itu jururawat bertauliah Lalita Palaniappan, 35 dari Tapah, Perak yang bekerja di King Abdulaziz Universiti Hospital di sini berkata kira-kira 200 jururawat Malaysia bekerja di hospital itu sekarang.

Lalita yang telah bekerja di Malaysia dan Singapura berkata masalah beliau hanyalah bahasa kerana tidak boleh bertutur Bahasa Arab dan budaya di sini.

Sementara untuk makan, mereka selalunya memasak sendiri, katanya.

Bagi Zuriayati Zulkifly, 38 dan Norsheilaiza Abdul Razak, 29, yang baharu berpindah ke sini enam bulan lepas mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dengan baik biarpun menghadapi kejutan budaya.

Walaupun tidak tahu bertutur Bahasa Arab, mereka memilih Arab Saudi atas faktor keagamaan dan persekitarannya yang bercirikan Islam.

Zuriyati dari Pahang telah bekerja di Singapura selama enam tahun sebelum berpindah ke Jeddah dan sebelum itu dia bekerja di Hospital Gleaneagles, Kuala Lumpur.

Sementara Norsheilaiza dari Johor pernah bekerja di Hospital Pakar Ampang Puteri di Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke sini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment