Jom Kita Berkawan

Friday, 31 October 2014

Jururawat gigih naik bot lawat bayi

Oleh Jauhariatul Akmal Johar

 
Nik Nor Aisah menaiki sampan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bayi di Kampung Tersang

Rantau Panjang: Demi memenuhi tanggungjawabnya, seorang jururawat masyarakat sanggup menaiki sampan meredah banjir untuk ke rumah seorang penduduk Kampung Tersang, di sini, yang baru tiga hari melahirkan bayi lelaki.

Nik Nor Aisah Nik Zul Azhar, 33, dari Klinik Kesihatan Gual Periok, di sini, terpaksa menggunakan sampan ke rumah Nazarina Abdullah, 33, disebabkan kediaman wanita itu yang dinaiki air akibat limpahan Sungai Golok, sejak kelmarin.

Malah, Kampung Tersang adalah antara beberapa kampung yang terputus jalan masuk dan penduduk perlu menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh kerana digenangi air.

Nik Nor Aisah berkata, sudah menjadi rutin kerjanya untuk melawat pesakit yang baru melahirkan anak dan tugasan itu perlu dipikul walau dalam keadaan apa sekali pun.

"Ini tanggungjawab saya, rawatan dan pemeriksaan perlu diberi kepada ibu serta bayi yang baru dilahirkan supaya kesihatan mereka terjamin.

"Walaupun takut juga pada mulanya untuk menaiki sampan ini, bagi memastikan keadaan ibu dan bayi itu benar-benar sihat, saya kuatkan juga semangat, katanya ketika ditemui dalam perjalanan ke rumah Nazarina yang terletak kira-kira 150 meter dari kawasan tidak dinaiki air.

Katanya, kunjungan itu juga adalah lawatan berkala memastikan bayi bebas daripada jangkitan jaundis atau demam kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:02 AM


Sumber: HARIAN METRO

Friday, 17 October 2014

Bonus Kakitangan Awam Akan Dibayar Bersama Gaji Januari - KSN


PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Bonus kakitangan awam yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2015 minggu lalu akan dibayar bersama gaji Januari 2015, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata bonus berkenaan tidak boleh diawalkan atau dibayar pada tahun ini atau tahun sebelumnya.

"Bonus ini diluluskan dalam Bajet 2015. Jadi kalau kita lihat dari segi peraturan kewangan ia sepatutnya bermula (dibayar) pada 1 Jan 2015.

"Bonus akan masuk dalam gaji bulan Januari," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Isnin supaya kerajaan membuat pembayaran bonus kepada penjawat awam pada 15 Dis, dan bukannya Januari depan.

Presiden Cuepacs Azih Musa berkata langkah itu bagi membolehkan penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak sekaligus meringankan beban kewangan mereka.

"Memandangkan musim baharu persekolahan bermula pada Januari, kita minta supaya bayaran bonus dibuat lebih awal iaitu pada 15 Dis untuk membantu ibu bapa menyediakan persiapan persekolahan anak-anak," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2015 pada Jumaat lepas, mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, kepada kira-kira 1.5 juta penjawat awam pada Januari.

Pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250.

-- BERNAMA