Jom Kita Berkawan

Wednesday, 25 February 2015

Cuepacs Mohon Pencen Dibayar Sebaik Pesara Tamat Perkhidmatan



KOTA BAHARU, 14 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon supaya pembayaran wang pencen dibayar sebaik sahaja pesara menamatkan perkhidmatan berikutan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pesara memerlukan wang pencen kerana mempunyai pelbagai komitmen termasuk membayar pinjaman perumahan.

"Sebaiknya seminggu selepas bersara terus dapat wang itu (pencen) kerana pesara memerlukan wang berkenaan untuk membayar pinjaman rumah dan lain-lain.

"Kami minta tindakan proaktif diambil oleh pihak berwajib dan kita harap proses ini dapat disegerakan dan diambil perhatian serius," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan bencana banjir kepada kakitangan awam di sini, Sabtu.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Azih berkata pesara pada masa ini hanya menerima wang pencen selepas tiga bulan menamatkan perkhidmatan dalam sektor awam.

Justeru, beliau memohon kerajaan supaya melihat semula kaedah pembayaran wang pencen berkenaan bagi mengurangkan beban dihadapi penjawat awam yang telah kehilangan pendapatan selepas bersara.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata pihaknya juga mencadangkan supaya kerajaan dapat memanjangkan lagi tempoh penurunan tarif elektrik kepada setahun.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini mengumumkan, pengguna di Semenanjung Malaysia akan menikmati penurunan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen setiap per kilowatt-jam (kWj).

Sementara purata kadar tarif bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20/kWj berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment