Pages

Jom Kita Berkawan

Sunday 1 March 2015

Cuepacs Tidak Setuju Cadangan Pengasingan Klinik Dan Farmasi


KLANG, 26 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS membantah cadangan kerajaan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi kerana ia dilihat akan meningkatkan kos perubatan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pengasingan itu dilihat akan memberi bebanan kepada rakyat termasuk penjawat awam kerana mereka terpaksa menampung kos perubatan yang mahal.

"Ekonomi rakyat termasuk dalam kalangan penjawat awam belum mantap...bila adanya pengasingan, mereka terpaksa membayar caj konsultasi doktor dan kemudian terpaksa pula bergegas ke farmasi untuk membeli ubat...bukankah ini melibatkan banyak kos?,"

"Sebab itu kita tidak bersetuju sekiranya kerajaan mahu melaksanakan dasar pengasingan antara klinik dan farmasi ini...kita sebagai rakyat juga tidak mahu wujud sebarang masalah di kemudian hari," katanya pada sidang media berkaitan isu itu di sini, Khamis.

Beliau berkata kerajaan seharusnya mengekalkan kaedah sedia ada dengan menempatkan farmasi di dalam klinik bagi memudahkan rakyat terutamanya mereka yang berhadapan dengan penyakit kronik mendapatkan rawatan.

Jelasnya, langkah itu bukan sahaja menjimatkan masa malahan mengurangkan kos perubatan yang terpaksa ditanggung pesakit.

Jumaat lepas, Kelab Doktor-doktor Malaysia yang menaungi lebih 8,000 doktor klinik swasta dan badan bukan kerajaan dalam bidang perubatan telah mengemukakan bantahan terhadap cadangan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi.

Bantahan itu dibuat berikutan kerajaan sedang meneliti untuk melaksanakan cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Sementara itu, Azih berkata CUEPACS memohon kerajaan untuk memperhalusi cadangan penambahbaikan 252 skim perkhidmatan penjawat awam bagi membantu mereka menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata perkara itu perlu diteliti berikutan pendapatan penjawat awam terutama bagi mereka yang menyandang jawatan gred U11 masih rendah.

"Kita tidak mahu lagi ada penjawat awam yang masih memegang gred ini kerana dengan tangga gaji maksimum RM2,600 mereka tidak mampu menampung sara hidup yang lebih besar pada masa kini termasuk tidak mampu untuk membeli rumah.

"Kita mahu skim perkhidmatan penjawat awam betul-betul memberi manfaat kepada penjawat awam supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan mereka," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment