Jom Kita Berkawan

Wednesday, 16 September 2015

Kerajaan Sasar Bina 70,000 Unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)

Kerajaan Sasar Bina 70,000 Unit PPA1M Tahun Depan - KSN


PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan untuk membina 70,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 30,000 unit rumah PPA1M termasuk 13,362 unit di Putrajaya sedang dalam proses pembinaan sejak projek itu dilancarkan pada 2013.

"Saya tadi baharu sahaja mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan PPA1M dan mesyuarat telah meluluskan untuk membina 70,000 unit rumah pada tahun 2016.

"Dengan melihat kemajuan projek pembinaan PPA1M, saya yakin sasaran 100,000 unit dibina menjelang Disember 2015 dapat dicapai sepertimana hasrat kerajaan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek PPA1M Larai di Presint 16, di sini hari ini.

Pada April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membina 100,000 unit kediaman di bawah PPA1M di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ali merangkap pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berkata kerajaan sentiasa berusaha dengan memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memastikan kakitangan awam dapat membeli kediaman dengan harga berpatutan.

"Kediaman PPA1M yang berkeluasan antara 1,000 sehingga 1,500 kaki persegi dijual kepada penjawat awam dengan harga antara RM150,000 sehingga RM300,000 dan di bawah nilai pasaran semasa iaitu RM700,000," jelasnya.

Mengulas mengenai tinjauan, Ali berkata status kemajuan fasa satu projek PPA1M siap antara 20 hingga 30 peratus dan dijangka 6,000 unit siap menjelang hujung tahun hadapan.

-- BERNAMA

Tuesday, 15 September 2015

Bajet 2016: Cuepacs Mahu Kerajaan Timbang Tiga Bulan Bonus

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus sebanyak tiga bulan kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2016 bulan depan.

Setiausaha Agung Cuepacs Datuk Lok Yim Pheng berkata, permintaan berkenaan dibuat bagi membantu meringankan beban penjawat awam yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

"Kita bukanlah minta kerajaan bagi sekali gus bonus tiga bulan itu, beri secara berperingkat pun tidak mengapa kerana kita faham keadaan kerajaan," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Beliau berkata permintaan bonus itu juga adalah sebagai menghargai jasa penjawat awam yang telah menunjukkan prestasi perkhidmatan yang baik selama ini.

"Selain itu apabila mendapat bonus, mereka akan berbelanja dan sekali gus akan merancakkan lagi ekonomi negara," katanya.

Lok berkata, Cuepacs juga mahu kerajaan menyemak semula dan melakukan penambahbaikan 252 skim gaji dan elaun penjawat awam bagi mengurangkan bebanan mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini.

Beliau berkata perhatian sewajarnya perlu diberikan kerana ia merupakan harapan kepada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

"Mana-mana skim perkhidmatan yang dianggap kritikal seperti pembantu tadbir dan badan beruniform, sudah lima hingga enam tahun tidak disemak, perlu diberi perhatian... kerajaan perlu beri keutamaan kepada mereka yang berpendapatan rendah," katanya.

Lok berkata antara penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah dengan memberi kenaikan gred berdasarkan pengalaman dan kepakaran kakitangan yang telah berkhidmat dalam tempoh yang lama.

"Walaupun mereka hanya memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia boleh diiktiraf berdasarkan pengalaman dan kepakaran bagi membolehkan mereka menerima kenaikan gred.

"Kerajaan juga mungkin perlu menyediakan lebih peruntukan untuk peluang latihan bagi meningkatkan lagi kemahiran dan kepakaran mereka," katanya.

-- BERNAMA

Kementerian Kesihatan Sasar Tambah Pusat Latihan Kejururawatan Endoskopi Pasca Asas


KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan yakin dapat mewujudkan lebih banyak pusat latihan kejururawatan endoskopi pasca asas di seluruh negara, kata Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatannya, Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Beliau berkata langkah itu penting bagi menambah jumlah jururawat yang terlatih dalam bidang endoskopi untuk menjadi pakar sebagai pembantu endoskopi gastrolintestinal kepada pegawai perubatan.

Menurut beliau, ketika ini, Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu adalah satu-satunya pusat yang menyediakan latihan itu bagi melahirkan jururawat dan pembantu endoskopi.

"Kami mempunyai pakar di seluruh negara, tetapi tidak banyak pusat yang berkemampuan menyediakan latihan seperti itu.

"Jadi kami berharap dapat mengadakan pusat latihan ini di peringkat wilayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Endoskopi Antarabangsa Sabah Kedua di sini hari ini.

Bengkel empat hari itu turut dihadiri Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi, Pengarah QEH, Dr Heric Corray dan Presiden Persatuan Gastroenterelogi dan Hepatologi Malaysia, Dr Akhtar Qureshi.

-- BERNAMA

Saturday, 5 September 2015

Penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan

Cuepacs Mahu Kerajaan Beri Perhatian Terhadap Penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan


SANDAKAN, 1 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan memberi perhatian sewajarnya ke atas penambahbaikkan 252 skim perkhidmatan awam.

Timbalan Presidennya Zainal Ismail berkata pelaksanaan skim tersebut sepertimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2015, merupakan harapan kepada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepenggunaan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sini Selasa, Zainal berkata pihaknya juga memohon agar kerajaan mengkaji semula peruntukan bahagian pinjaman perumahan.

"Ini penting agar kakitangan awam dapat memiliki rumah sendiri melalui projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Kita juga harap kerajaan dapat mengurangkan harga rumah pada kadar RM150,000 ke bawah bagi keluasan 1,000 kaki persegi untuk keselesaan rakyat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan perlu memberi latihan kemahiran tinggi dan peluang pendidikan kepada penjawat awam bagi menghasilkan pekerja yang berkualiti.

Mengenai GST, Zainal berkata CUEPACS meminta agar empat golongan iaitu warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak dan kumpulan pelaksana yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 dikecualikan daripada cukai itu.

-- BERNAMA