Jom Kita Berkawan

Monday, 28 December 2015

Cuepacs Bantah Panel Peguam LPPSA Untuk Urusan Pembiayaan Rumah Sektor Awam


ALOR GAJAH, 21 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini membantah cadangan dikemukakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk mengadakan panel peguam dalam urusan pembiayaan perumahan sektor awam.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata kongres itu meminta supaya prosedur sebelum ini iaitu pelantikan peguam diuruskan oleh peminjam sendiri dapat dikekalkan.

"Cadangan tersebut (pelantikan panel peguam oleh LPPSA) boleh menyebabkan penjawat awam terutamanya golongan muda tidak mampu memiliki rumah mereka sendiri pada masa akan datang.

"Bukan kata ini panel boleh, ini panel tidak boleh, (tetapi) nanti panel (peguam itu) akan ikut LPPSA dan tidak akan membela peminjam," katanya kepada pemberita selepas Program Taklimat Isu-isu Semasa Bersama Presiden Cuepacs di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah di sini Isnin.

LPPSA akan menggantikan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia (BPP) mulai Januari depan bagi mengambil alih segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pemberian pembiayaan perumahan kepada penjawat awam.

Azih berkata perkara tersebut perlu diberi perhatian kerana 70 peratus penjawat awam adalah daripada golongan muda dan merupakan nadi kepada produktiviti negara kita.

"Setiap penjawat awam ada pinjaman peribadinya, jika ini diambil kira untuk meluluskan pinjaman perumahan, sampai bila penjawat awam nak memiliki rumah sendiri.

"Jadi kita minta pihak kerajaan berunding bersama kita bagi menambah baik dan lihat apa tindakan yang boleh kita lakukan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga meminta kerajaan menambah lagi pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Penjawat Awam (PPA1M) dan rumah PR1MA bagi membolehkan penjawat awam memiliki rumah idaman mereka.



-- BERNAMA

Monday, 21 December 2015

Jururawat dan aurat

Wartawan Sinar Harian

8 Disember 2015

Johari Yap

PROFESION kejururawatan adalah satu pekerjaan yang mulia; sama ada di klinik, hospital mahupun di rumah-rumah. Adalah sukar bagi seorang doktor melakukan tugas tanpa bantuan seorang jururawat. Setiap prosedur atau rawatan yang dilakukan ke atas pesakit memerlukan bantuan jururawat.

Baru-baru ini, berita mengenai seorang jururawat beragama Islam yang dibuang kerja serta dikenakan amaran kompaun sebanyak RM5,000 kerana enggan patuh pada kod pakaian jururawat telah mengejutkan banyak pihak.

Insiden ini tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara, di mana Islam adalah agama rasmi. Penjelasan pengurus kewangan dan pentadbiran sebuah hospital bahawa Naziah Sauni Samat ditamatkan perkhidmatan sebagai

jururawat disebabkan tidak hadir bekerja selama dua hari tanpa sebab bukanlah alasan yang jujur dan kukuh untuk menghalalkan tindakan tersebut.

Hospital swasta tersebut mengatakan bahawa sejak tahun 1989 peraturan hospital dan etika pemakaian seragam untuk semua kakitangan adalah memakai kemeja berlengan pendek. Menurut mereka lagi, jururawat beragama Islam lain yang bertugas tidak mempunyai masalah memakai kemeja berlengan pendek dan ini adalah isu disiplin, bukannya isu agama.

Syabas kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, yang menjamin untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai isu ini. Menurut beliau, semua hospital di bawah Kementerian Kesihatan mewajibkan jururawat beragama Islam menutup aurat dan arahan ini turut diguna pakai untuk hospital swasta.

Alasan peraturan pemakaian seragam berlengan pendek untuk mengelakkan jangkitan kuman pada pesakit serta memudahkan kerja juga tidak dapat diterima kerana hospital-hospital kerajaan tidak pula mempunyai masalah jangkitan kuman walaupun jururawat mereka bertudung dan berlengan panjang.

Malah, jururawat di rantaian hospital swasta KPJ dan beberapa hospital swasta lain juga membenarkan pemakaian lengan panjang dan tudung.

Adakah benar baju berlengan pendek mengurangkan kadar jangkitan? Walaupun pemakaian lengan panjang acap kali dikaitkan dengan jangkitan kuman, tiada bukti saintifik yang mengesahkan bahawa pemakaian baju lengan pendek pula dapat mengurangkan jangkitan kuman.

Malahan, menurut satu kajian di University of Colorado Hospital di Aurora, Amerika Syarikat, yang diterbitkan oleh Journal of Hospital Medicine pada tahun 2011, pemakaian baju berlengan pendek tidak sedikit pun membantu menghalang jangkitan kuman kerana pakaian mereka masih tetap tercemar dengan kuman.

Sebenarnya, pemakaian lengan panjang langsung tidak menjadi masalah selagi jururawat tersebut pandai menjaga kebersihan diri. Mungkin sesetengah prosedur memerlukan tahap steril yang tinggi, contohnya mencuci luka atau prosedur yang boleh membawa jangkitan kuman kepada pesakit; maka keadaan ini mengharuskan mereka menyingsing lengan baju hingga ke siku tetapi selepas selesai prosedur tersebut, lengan baju bolehlah dibuka kembali.

Isu jururawat dan aurat ini bukan perkara baru. Sinar Harian pada 18 Jun 2013 melaporkan, kerajaan negeri Pahang akan menyiasat dakwaan kononnya mereka yang ditemu duga untuk jawatan jururawat di sebuah hospital di Kuantan terpaksa menanggalkan tudung sekiranya mahu diterima bekerja.

Pakaian menutup aurat merupakan hak peribadi seorang yang beragama Islam termasuk yang bekerja sebagai jururawat. Telah banyak negara bukan Islam yang membenarkan jururawat dan doktor wanita beragama Islam menutup aurat sejak sekian lama tanpa sebarang masalah.

Jabatan Kesihatan United Kingdom, pada tahun 2010, telah memberikan kebenaran kepada doktor dan jururawat wanita beragama Islam untuk memakai tudung dan baju berlengan panjang. Manakala Hospital Ontario di Kanada, pada tahun 2013, telah mengeluarkan iklan memaparkan seorang wanita Islam berhijab dalam satu kempen mendapatkan doktor dan jururawat dengan tagline, We don't care what’s on your head, we care what’s in it.

Hakikatnya, diskriminasi sebegini sememangnya masih berlaku di Malaysia dan tidak terhad di hospital sahaja. Semoga semua yang ingin menutup aurat mengikut syariat, bukannya memakai tudung tetapi berbaju lengan pendek, mendapat jalan keluar dari permasalahan mereka.

Tiada masalah yang tiada jalan keluar. Bumi ALLAH luas. Jika majikan berdegil, pilihlah hospital atau klinik yang membenarkan pemakaian patuh syariah atau pilihlah pekerjaan yang lain kerana apa pun alasan kita, hanya reda ALLAH yang kita cari.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


SUMBER: SINAR HARIAN

Tuesday, 8 December 2015

Kementerian Kesihatan Siasat Dakwaan Jururawat Diberhentikan Kerja


GEORGE TOWN, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan seorang jururawat diberhentikan kerja berikutan enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek di sebuah hospital swasta.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata tindakan akan diambil sekiranya hospital terbabit didapati melanggar peraturan di bawah Bahagian Amalan Perubatan Swasta Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata semua hospital di bawah kementerian mewajibkan jururawat beragama Islam menutup aurat dan arahan ini turut diguna pakai untuk hospital swasta.

"(Jururawat) hospital kerajaan semua tutup aurat kecuali dalam dewan bedah yang memerlukan doktor dan jururawat pakai lengan pendek. Namun mereka masih bertudung dan memakai gaun perubatan yang menutup aurat.

"Jururawat yang beragama Islam semua wajib (menutup aurat). Hospital swasta kena ikut kementerian. Dalam hal ini kita pun tidak tahu apa masalah yang sebenarnya, Bahagian Amalan Perubatan Swasta kementerian tengah siasat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran UMNO Bahagian Jelutong melibatkan 45 kanak-kanak lelaki di sini, Ahad.

Pada Jumaat lepas (4 Dis), seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, Naziah Sauni Samat, 24, mendakwa beliau diberhentikan kerja setelah enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek.

Katanya, arahan supaya mengenakan pakaian seragam itu dikeluarkan selepas dua bulan dia bertugas di hospital swasta tersebut atas faktor kebersihan.

Gadis berkelulusan Diploma Kejururawatan itu sebelum ini bertugas di sebuah klinik sebelum bekerja di hospital swasta berkenaan pada 1 Sept lepas, sekembalinya dari Jepun sebagai jururawat peribadi selama setahun empat bulan.

Dalam pada itu, Dr Hilmi menasihatkan mana-mana doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang mempunyai masalah untuk terus membuat laporan kepada pihak kementerian supaya tindakan susulan dapat diambil.

"Semua laporan dan aduan yang diterima tidak kira sama ada melalui media sosial, bertulis dan e-mel serta menerusi WhatsApp berkaitan masalah disiplin, tidak puas hati akan disiasat," katanya.

Mengulas cadangan bayaran tempat letak kenderaan di kawasan hospital awam di seluruh negara, Dr Hilmi berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan dan ia masih di peringkat awal.

Beliau berkata tujuan cadangan itu adalah untuk menyelaras dan mengawal penyalahgunaan tempat letak kenderaan oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menyukarkan kakitangan hospital dan pelawat.

"Ada yang salah guna kerana tempat letak kereta di hospital ini percuma. Ada yang letak kereta di hospital kemudian pergi tempat lain petang baru ambil balik kereta. Kita nak menyelaras dan mengawal supaya tempat meletak kenderaan ini digunakan oleh mereka yang ada kena mengena dengan hospital seperti kakitangan dan pelawat," katanya.

-- BERNAMA

Monday, 7 December 2015

PPIM Gesa Jakim, KKM Keluarkan Garis Panduan Pakaian Jururawat Muslim

foto hiasan: Foto Harian Metro

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan digesa supaya mengeluarkan garis panduan yang jelas berkenaan pemakaian jururawat beragama Islam di hospital kerajaan dan swasta negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata ini berikutan terdapat banyak aduan berkenaan diskriminasi terhadap jururawat beragama Islam yang melarang kakitangannya mengenakan pakaian menutup aurat.

"Kita menerima 20 aduan berkenaan isu yang sama dalam masa setahun. Masalah ini tidak wajar dibiarkan berterusan kerana melibatkan diskriminasi kepada golongan muslimah di negara ini," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Seorang jururawat di hospital swasta, Naziah Sauni Samat, 24, yang hadir pada sidang media itu mendakwa beliau diberhentikan kerja setelah enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek.

Katanya, arahan supaya mengenakan pakaian seragam itu dikeluarkan selepas dua bulan dia bertugas di hospital swasta tersebut atas faktor kebersihan.

"Saya telah dimarahi dan dihalau dari hospital berkenaan, malah saya juga tidak boleh mendapat pekerjaan baharu kerana Sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) saya ditahan oleh pihak hospital itu dan terikat dengan kontrak selama setahun," katanya.

Dakwanya lagi, dia turut dilarang memasuki kawasan hospital dan tidak dibenarkan melakukan sebarang tugas sekiranya tidak mengenakan baju berlengan pendek.

"Pihak pengurusan juga memberikan amaran bahawa saya akan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 kerana melanggar kontrak," katanya.

Gadis berkelulusan Diploma Kejururawatan itu sebelum ini bertugas di sebuah klinik sebelum bekerja di hospital swasta berkenaan pada 1 Sept lepas, sekembalinya dia dari Jepun sebagai jururawat peribadi selama setahun empat bulan.

Naziah berkata susulan kejadian itu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, di sini pada 24 Nov lepas.

-- BERNAMA

Sunday, 6 December 2015

Mak Mudim Masliza Berjaya Khatankan Lebih 1,000 Kanak-kanak

Foto: Harian Metro

Oleh Siti Salwa Shaari

KUANTAN, 1 Dis (Bernama) -- "Mak mudim nak sunatkan saya?" adalah pertanyaan lazim didengar Pegawai Waran 1 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Masliza Mohd Yusop apabila berhadapan dengan kanak-kanak yang akan dikhatankannya.

Masliza, 43, menganggap persepsi masyarakat bahawa "tok mudim" adalah seorang lelaki menyebabkan beliau "dihujani" soalan itu, termasuk daripada ibu bapa, terutamanya apabila melihat beliau berpakaian celoreng seragam tentera.

Beliau yang merupakan jururawat terlatih di Hospital Tuanku Mizan, Kuala Lumpur mula melakukan proses berkhatan sejak tahun 2005 dan sehingga kini lebih 1,000 kanak-kanak pelbagai usia telah "masuk jawi" di tangannya.

"Kanak-kanak paling 'dewasa' saya sunatkan berusia 13 tahun. Awalnya dia agak keberatan kerana fizikal sudah berbeza. Setelah dipujuk dan diterang proses berkhatan, baharulah dia relakan dirinya disunat," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Masliza turut mengambil bahagian pada Majlis Khatan Perdana anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Pekan pada Ahad lalu, yang mencatatkan rekod baharu Malaysia Book of Records dengan penglibatan 1,201 kanak-kanak.

Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Muhammad Rafiq Jasni, 18, dan Nur Nadia, 17, berkata beliau tidak pernah luntur semangat untuk melakukan proses berkhatan, walaupun faktor jantina menyebabkan ada yang mempertikaikan kebolehannya.

"Saya rasa tidak salah kerana yang saya sunatkan adalah kanak-kanak. Saya melihat pekerjaan ini dari sudut perubatan. Sebagai seorang ibu, saya juga memahami perasaan kanak-kanak," katanya yang tidak kisah digelar "mak mudim".

Masliza menambah suaminya Mejar Jasni Omar, 47, yang merupakan jururadiografi di hospital sama memberi keizinan kepadanya untuk melakukan tugas itu.

Masliza berkata antara kenangan yang tidak boleh dilupakan ialah perlu mengejar seorang kanak-kanak di sekeliling masjid yang takut untuk bersunat selepas melihat rakannya dalam satu majlis berkhatan di Lumut, Perak.

"Selepas ditangkap, ibu bapa kanak-kanak itu perlu memegang kaki dan tangannya sementara saya menjalankan prosedur sunat. Sambil 'memotong' saya memujuk dan bercakap dengan kanak-kanak itu supaya proses itu tidak dirasakannya terlalu lama," katanya.

Masliza menambah beliau tidak pernah menyangka akan terlibat dalam bidang perubatan, apatah lagi menjalankan proses berkhatan sehingga beliau menyertai ATM selepas tamat STPM pada tahun 1994 dan ditugaskan sebagai juruteknik di dewan bedah.

"Bekerja di dewan bedah menimbulkan minat dalam bidang perubatan menyebabkan saya menyambung pelajaran di Kolej Kejururawatan Sungai Petani pada tahun 2002 dan layak bergelar jururawat terlatih tiga tahun kemudian.

"Dengan kelayakan ini, saya dibenarkan menjadi 'mak mudim'. Kali pertama mengkhatankan orang, perasaan cemas itu memang sangat kuat... sampai sekarang masih teringat. Bagaimanapun rasa yakin bertambah dengan pengalaman," katanya.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu menambah selain jantina, pakaian seragam ATM antara penyebab ramai tidak mempercayai beliau seorang jururawat terlatih kerana beranggapan tentera hanya terlibat dalam peperangan atau pertahanan.

Persepsi itu juga membelenggu dirinya sehingga beliau memasuki tentera yang membolehkan beliau melihat dunia ketenteraan dari perspektif lebih luas, termasuk melayakkan beliau untuk menyertai beberapa persidangan perubatan di Pakistan, Hawai dan Jerman.

-- BERNAMA