Jom Kita Berkawan

Tuesday, 23 February 2016

Cerita dunia jururawat

Kerjaya jururawat kini membuka peluang kepada golongan lelaki untuk menceburinya. Fenomena ini dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dalam memberi pekerjaan kepada golongan Adam yang masih tercari-cari kerjaya bersesuaian buat mereka.

Daripada mereka tidak buat apa-apa, lebih baik ikuti kursus kejururawatan di mana-mana universiti tempatan dan kolej kejururawatan, tamat pengajian, akan terus dapat pekerjaan.

Selain berkhidmat di hospital atau klinik, mereka boleh menjadi jururawat persendirian untuk menjaga pesakit, sama ada di rumah atau di lokasi yang diinginkan oleh keluarga pesakit.

Selain itu, bagi mereka yang berminat untuk menjadi pensyarah, boleh memohon untuk menjadi pengajar atau pensyarah kejururawatan di universiti dan kolej yang menawarkan program kejururawatan.

Permintaan dari negara luar yang inginkan khidmat jururawat Malaysia juga terbuka luas. Kini ramai jururawat tempatan bekerja di negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Qatar, Abu Dhabi, Dubai dan Bahrain.

Berita ini sememangnya amat membanggakan kita kerana bukan mudah bagi negara luar mahu mengiktiraf kepakaran dan kemahiran yang ada pada jururawat Malaysia.

Kursus jururawat tetap diminati

Bidang kejururawatan merupakan bidang yang mencabar kerana mencurahkan bakti kepada pelbagai latar belakang pesakit.

Namun, bidang ini masih menjadi pilihan utama generasi muda sekarang. Ini terbukti apabila institusi yang menawarkan kursus ini mendapati pertambahan bilangan anak muda sertainya dari masa ke masa.

Ketua Program Kejururawatan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms), Patimah Abdul Hamid berkata, permintaan penuntut terhadap program ini di Picoms, sering meningkat setiap tahun.

Dahulu, hanya sekitar 70 penuntut, tetapi setelah penjenamaan semula Picoms pada 2010, bilangan tersebut meningkat dan yang terkini seramai 550 orang.

Selain mendapat permintaan yang berterusan dalam kalangan penuntut, peluang pekerjaan yang terbuka luas, antara faktor mengapa program ini kian diminati.

Hospital atau klinik kesihatan kerajaan, sedang menanti khidmat anak muda lulusan kejururawatan.

Sektor swasta yang telah membuka hospital sendiri juga menunggu mana-mana individu yang layak untuk bekerja dengan mereka. Jadi, inilah sebab mengapa mudahnya mendapat kerja kalangan mereka yang berkelulusan dalam dunia perubatan.

Bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan bidang kejururawatan, Isu Kampus membawakan pembaca Sinar Harian berkenaan mengapa program kejururawatan menjadi pilihan warga kampus.

Turut disertakan perkongsian dan pandangan beberapa penuntut lelaki dan perempuan berkenaan minat mereka terhadap kursus ini.

Jangan tidak tahu, jururawat sekarang bukan hanya tertumpu kepada golongan wanita sahaja, sebaliknya makin ramai jururawat kini terdiri daripada lelaki.

Dapat tempat di hati penuntut

Kerjaya sebagai jururawat merupakan kerjaya mulia dan dihormati masyarakat kita. Ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia meminati kursus ini dan ada antaranya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan, bermula peringkat diploma hinggalah ke peringkat ijazah kedoktoran di Malaysia.

Mereka yang mengikuti pengajian ini dilihat mudah untuk menembusi pasaran kerjaya. Mereka boleh memohon untuk bekerja di sektor awam seperti di hospital kendalian Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi seperti di Pusat Perubatan UM dan Pusat Perubatan UKM.

Graduan tersebut boleh memohon untuk bertugas di sektor swasta di mana lebih ramai keperluan jururawat terlatih diperlukan jika dibandingkan dengan hospital kerajaan.

Pusat perubatan dan kesihatan kendalian pihak swasta banyak menawarkan perkhidmatan seperti hemodialisis untuk pesakit renal, penjagaan geriatrik/rumah orang tua, perkhidmatan rumah ke rumah dan penjagaan ibu dan anak yang baru dilahirkan. Ini bermakna peluang kerja kejururawatan ada di mana-mana.
Ketua Program Kejururawatan, Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms), Patimah Abdul Hamid berkata, tugas jururawat sangat luas kerana perkhidmatan kesihatan diperlukan oleh individu, keluarga dan masyarakat yang memerlukan perkhidmatan bukan sahaja semasa mereka sakit, tetapi semasa mereka sihat di mana tugas jururawat lebih kepada preventive/mengelakkan daripada mendapat sakit dengan memberi pendidikan kesihatan kepada golongan sasaran.

Picoms kini menawarkan program Diploma Sains Kejururawatan bagi tempoh tiga tahun pengajian. Kemudahan disediakan termasuk asrama dan pengangkutan. Penuntut mendapat bantuan berupa wang saku sebanyak RM300 - RM500 sebulan dari Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun bantuan itu tertakluk kepada terma dan syarat Baitulmal itu sendiri. Satu kursus pos basik iaitu Sijil Pos Basik Renal akan ditawarkan tahun hadapan dan Program Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan akan ditawarkan dalam masa terdekat.  

Patimah berkata, sekitar 10 peratus jumlah lelaki di Malaysia dan bilangan ini harus dipertingkatkan kerana dunia perubatan memerlukan khidmat mereka dalam banyak aspek.

"Kita mahukan lebih ramai jururawat lelaki kerana bertambah permintaan kalangan pesakit lelaki yang memerlukan penjagaan.

Ada juga unit yang memerlukan tenaga lelaki seperti di unit kemalangan dan kecemasan bagi memindahkan pesakit dalam masa kecemasan misalnya dari kereta ke troli," katanya.

Jadi pilihan ramai sejak dahulu

Sekitar 1970-an dan lewat 1980-an, kursus kejururawatan mendapat tempat kalangan ibu bapa. Ini disebabkan ia adalah profesion murni dan menjamin pekerjaan dalam kerajaan dan juga pilihan kedua yang hampir dengan program kedoktoran.

Dekan Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan Unisel, Prof Madya Dr Mohd Nazil Salleh, 43, berkata, ibu bapa melihat, program kejururawatan dapat menjamin masa depan anak melalui peluang pekerjaan yang tersedia untuk mereka.  

Menurut beliau, program kejururawatan kini tidak lagi dimonopoli penuntut perempuan sebaliknya penuntut lelaki dilihat mula cenderung untuk mengikuti kursus berkenaan di pusat pengajian tinggi.

"Di Unisel sendiri, lebih kurang lima hingga lapan penuntut lelaki yang mengikuti kursus kejururawatan pada setiap pengambilan.

"Ini cukup membanggakan di saat kita sememangnya memerlukan tenaga lelaki dalam kerjaya ini," katanya yang merupakan Saintis Pertama Negara yang dianugerahkan Chartered Scientist (CSci).

Dr Nazil berkata, ibu bapa perlu beri sokongan padu kepada anak yang meminati bidang kejururawatan, seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah, sarjana atau doktor falsafah.

Kata Dr Nazil, program kejururawatan boleh dimohon oleh sesiapa sahaja yang berminat, cuma mereka mestilah mempunyai perawatan yang baik termasuk sahsiah dan bebas daripada rabun warna.

Perkara ini amat penting kerana rabun warna boleh menyebabkan kesilapan dalam pemberian ubat. Cabaran dalam pekerjaan kejururawatan sememangnya berisiko kerana ia membabitkan nyawa manusia ketika menjalani rawatan.

Bagi menjalankan kursus kejururawatan, setiap pusat pengajian tinggi tertakluk kepada kelulusan Malaysia Qualifying Agency (MQA) dan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM). Kemudahan bagi kursus ini di setiap pusat pengajian tinggi, mestilah mempunyai wad simulasi seperti wad perubatan, surgeri, pediatrik, ortopedik, dan makmal anatomi.

Di Unisel, program kejururawatan yang ditawarkan adalah di peringkat diploma. Antara subjek yang ditetapkan seperti klinikal kejururawatan, epidemiologi dan penyakit berjangkit dan kesihatan kejururawatan setiap sistem badan.
Kursus kejururawatan  sentiasa pemberi penekanan skil pengetahuan dan bertindak cepat serta betul dalam membuat keputusan terutamanya perkara yang melibatkan nyawa.

Cabaran ada di mana-mana

"Saya berpegang kepada konsep IT untuk saya melakukan apa-apa kerja atau tugasan. Konsep ini dapat diamati dan diamalkan oleh sesiapapun, terutamanya jururawat.

Saya yakin dia akan menjadi jururawat cemerlang di sudut kerjaya mahupun individu," kata Pensyarah Perubatan Pelatih DU51P, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Usim, Dr Miqdad Danial.

Beliau berkata, huruf I yang dimaksudkan ialah ilmu. Setiap pekerjaan yang kita lakukan perlu berlandaskan ilmu yang sahih. Kita tidak akan tersimpang jauh sekiranya berlaku kesilapan atau kerosakan.

Bahkan, jika berlaku kesilapan ia akan dapat dicegah dan dirawat sebelum merebak menjadi lebih teruk. Tanpa ilmu tidak mungkin seseorang itu mampu untuk melaksanakan tugasnya dengan betul dan berkesan.

Huruf T pula ialah takwa. Konsep takwa ini sangat penting untuk dihayati setiap daripada kita. Ia merupakan teras kepada segala-galanya.

Jika seseorang itu bertakwa kepada ALLAH SWT, secara automatik dia akan melakukan pekerjaannya dengan sehabis baik, kerana dia sedar setiap apa yang dilakukan sedang diperhatikan dan akan dihitung di akhirat kelak.

Lantas tindak-tanduk dan prestasi individu itu akan lebih menyerlah dan cemerlang.

Dr Miqdad berkata, setiap pekerjaan pasti ada cabarannya, sama ada dari kerja itu sendiri, persekitaran atau luarannya. Kadangkala cabaran yang dihadapi itu seperti tidak masuk akal. Mahu tidak mahu perlu untuk dihadapi dan diselesaikan.

"Jika pekerja itu memahami konsep IT, dia lebih mudah mengharungi cabaran dalam kerjayanya. Dia tahu hakikat sebenar kehidupan ini ialah untuk mendapatkan keredaan ALLAH. Semestinya kesabaran dan kecekalan perlu ketika mana ditimpa musibah dan cabaran," ujarnya.

Mudah dapat kerja

Penuntut, Muhammad Fiqri Firdaus Ali, 19, berkata, peluang pekerjaan yang terbuka luas adalah faktor utama mengapa dia mengikuti kursus kejururawatan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine, Perak.

Fiqri berkata, zaman yang makin mencabar kini sememangnya menyukarkan mana-mana mahasiswa mendapatkan kerja mengikut kelayakan yang ada. Namun tidak bagi penuntut kejururawatan. Selain di hospital kerajaan, mereka boleh bekerja di hospital swasta atau menjadi jururawat peribadi.

"Saya tidak berasa malu mengikuti program ini sebaliknya bangga kerana berpeluang berbakti pada masyarakat kelak. Memang benar, jururawat perempuan sudah sinonim dengan pesakit kerana golongan itu lebih bersifat lembut, prihatin dan penyayang. Namun begitu, jururawat lelaki juga turut bersikap demikian kerana tugas kami tetap sama iaitu merawat pesakit," katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE

Tuesday, 2 February 2016

Jururawat antara mangsa korban terbaharu kes denggi




SEREMBAN - Seorang jururawat dan ahli perniagaan menjadi korban terbaharu kes denggi di negeri ini sekaligus menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga kes dalam tempoh sebulan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) minggu lalu.

"Mangsa kedua berusia 34 tahun dan merupakan seorang jururawat telah meninggal dunia selepas sehari mendapatkan rawatan pada 23 Januari lalu akibat kegagalan organ selepas menghidap denggi.

"Manakala mangsa ketiga pula merupakan seorang lelaki berusia 63 tahun yang juga ahli perniagaan meninggal dunia pada 24 Januari lalu ketika mendapatkan rawatan di HTJS dan siasatan mendapati mangsa mengalami simptom kejutan denggi,"katanya.

Dr Abdul Rahim berkata, sejak awal tahun ini sehingga 28 Januari lalu, pihaknya merekodkan sebanyak 374 kes denggi berbanding 181 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 93.8 peratus dan Seremban mencatatkan kes denggi paling tinggi diikuti daerah Tampin, Kuala Pilah dan Jempol.

"Sehubungan itu saya nasihatkan masyarakat supaya jangan padang remeh mengenai perkara ini dan segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran jika alami simptom denggi," katanya.


--- SINAR HARIAN