Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 12 April 2016

Penggiat Penjagaan Kesihatan Mungkin Perlu Naikkan Gaji Pekerja


Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Penggiat industri penjagaan kesihatan tempatan mungkin perlu mengkaji kemungkinan menaikkan gaji pekerja masing-masing bagi mengelak kehilangan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Bhd Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata permintaan dunia ke atas modal insan berkualiti dalam industri penjagaan kesihatan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, dengan gaji tinggi yang ditawarkan oleh hospital di luar negara, beliau berkata kebanyakan bakat tempatan kini memilih untuk berhijrah.

"Realitinya, kita memiliki sistem yang sangat baik, yang membolehkan kita melatih dan melahirkan profesional penjagaan kesihatan berkelas tinggi, bukan sahaja doktor malah jururawat dan anggota penjagaan kesihatan yang lain.

"Isunya ialah apabila ada tempat di pasaran global yang memerlukan keperluan yang sama (diukur secara objektif), pendapatan atau gaji akan menjadi faktor yang mewujudkan kekurangan tenaga manusia," katanya kepada Bernama.

Sebagai contoh, Ahmad Shahizam berkata jururawat baharu di hospital kerajaan atau swasta tempatan, pada puratanya memperoleh gaji sekitar RM3,000-RM4,000, manakala di negara asing, mereka boleh meraih pendapatan dua atau tiga kali lebih tinggi.

"Ada banyak penggiat industri antarabansga yang memang mencari golongan seperti ini di negara mereka, namun mereka tidak mempunyai sumber.

"Tahap pendapatan di luar negara lebih tinggi berbanding di Malaysia. Di negara Asia Barat, pendapatan mereka bebas cukai. Ini mewujudkan masalah kepada kami kerana kami sentiasa kehilangan pekerja yang berhijrah ke sana," katanya.

Turut berkongsi pandangan ialah Presiden Persatuan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail yang menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan tenaga kerja dalam industri kesihatan.

"Memang kami menghadapi masalah berkenaan tenaga kerja yag mahir bagi kategori jururawat, kerana mereka mendapat peluang yang lebih baik di negara Asia Barat, khususnya Arab Saudi dan Oman.

"Masalah yang sama turut dialami bagi kumpulan doktor pakar, khususnya di pantai timur, berikutan terdapat persepsi bahawa kawasan berkenaan kurang berpotensi," katanya.

Walaupun ditawarkan gaji yang lebih lumayan, Shukri berkata tanggungjawab yang dipikul lebih besar memandangkan kesedaran dan pengetahuan pesakit di sana lebih tinggi, di samping perbezaan budaya yang ketara.

Sambil mengakui bahawa agak mustahil untuk industri tempatan membayar gaji seperti di luar negara, Ahmad Shahizam berkata penggiat industri itu boleh mula mencerminkan hakikat bahawa industri penjagaan kesihatan sebenarnya merupakan satu perkhidmatan.

"Kita mesti terus mencerminkan kos semasa (industri) dalam harga pasaran global. Kita tidak dapat mencapai tahap yang sepadan serta-merta. Namun kita mesti memastikan standard yang tinggi setiap tahun. Kos penjagaan kesihatan secara kelak akan meningkat.

"Antara faktor utama yang menaikkan kos tidak melibatkan peralatan dan bangunan hospital. Ya, ia hanya sebahagiannya, malah kos terbesar mengurus hospital ialah kos pekerja," katanya.

Pada tahap gaji semasa, beliau berkata industri tempatan kehilangan pekerja memandangkan mereka mendapat peluang yang lebih baik di tempat lain.

Perbelanjaan industri penjagaan kesihatan tempatan berjumlah US$11.73 bilion (US$1=RM3.917) tahun lepas. Angka ini dijangkakan meningkat kepada US$20 bilion menjelang 2020, antara lain didorong oleh peningkatan penyakit koronik dan kos urbanisasi yang semakin tinggi.

Ahmad Shahizam turut menekankan mengenai kualiti pusat latihan yang melatih jururawat bertaraf antarabangsa.

"Malangnya, kita lihat banyak kolej ditubuhkan tanpa keupayaan sebenar dalam melatih jururawat.

"Tiba-tiba jumlah jururawat berkelayakan meningkat mendadak tetapi tidak mempunyai pekerjaan. Ini tidak baik untuk profesion kejururawatan secara umumnya memandangkan tugas jururawat bukalah mudah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment