Pages

Jom Kita Berkawan

Monday 16 May 2016

Cuepacs Minta MTN Kaji Semula Tempoh Moratorium Rumah PPA1M Dan PR1MA


BUKIT KAYU HITAM, 13 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Majlis Tanah Negara (MTN) mengkaji semula tempoh moratorium sekatan kepentingan hak milik rumah di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Presidennya Datuk Azih Muda berkata tempoh moratorium tersebut agak membebankan penjawat awam atau pembeli rumah di bawah kedua-dua skim itu kerana terpaksa menunggu tempoh sehingga 20 tahun untuk menjual rumah mereka.

Beliau berkata kerajaan dan MTN perlu mengkaji semula syarat tersebut agar dapat mengurangkan tempoh moratorium daripada 20 tahun kepada lima tahun, bagi memberi peluang kepada mereka untuk menjual rumah mereka bagi mendapatkan aset lain.

"Pembeli berhak untuk menjual rumah mereka selepas beberapa tahun memilikinya pada harga yang ditetapkan atau harga pasaran semasa dan ia agak membebankan mereka sekiranya terpaksa menunggu sehingga 20 tahun (dari tarikh pembelian rumah).

"Mugkin ada yang telah bersara dan mereka tidak boleh jual rumah mereka dengan segera kerana terpaksa menunggu tempoh moratorium tamat. Ini agak membebankan mereka," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Kedah 2016-2019 di Dewan Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem), pada Jumaat.

MTN dalam kenyataan pada 28 April lepas menyatakan dalam mesyuarat MTN ke-72 yang dipengerusian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meluluskan moratorium melalui sekatan kepentingan dalam dokumen hak milik bagi PPA1M dan PR1MA sebagai usaha kerajaan untuk membantu pembeli rumah termasuk penjawat awam dan golongan berpendapat rendah.

Keperluan untuk memasukkan moratorium yang seragam menerusi sekatan kepentingan dalam dokumen hak milik adalah penting bagi memelihara kepentingan kerajaan Persekutuan dalam mengelakkan penyalahgunaan faedah penjualan rumah pada harga yang rendah berbanding harga pasaran.

Sementara itu, Azih berkata institusi kewangan perlu melonggarkan syarat pinjaman perumahan kepada kakitangan awam bagi membolehkan mereka membeli rumah dengan mudah.

Katanya terdapat institusi kewangan enggan meluluskan pinjaman perumahan dengan alasan rumah yang dibina tidak siap dan lengkap sekaligus menyukarkan penjawat awam untuk membeli rumah idaman mereka.

Selain itu, katanya kerajaan perlu mengawal harga rumah bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam yang baru berkerja membeli rumah pertama.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment