Pages

Jom Kita Berkawan

Monday 16 May 2016

Jururawat Disaran Berdaftar Dengan Persatuan Jururawat Malaysia


KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Semua jururawat disaran berdaftar dengan Persatuan Jururawat Malaysia (PJM) kerana ia merupakan medium perantaraan antara mereka dengan kerajaan bagi menyuarakan pendapat tentang sesuatu isu selain menjaga kebajikan mereka, kata Naib Presiden PJM Zurina Mohamad Saleh.

Menurutnya, PJM memperjuangkan hak seseorang jururawat dengan mengadakan latihan beserta seminar kejururawatan di samping menyediakan biasiswa bagi anggota persatuan yang masih belajar.

"Bukan itu sahaja, PJM turut memberikan sumbangan tenaga dan kewangan sekiranya ahli ditimpa musibah atau bencana.

Ahli-ahli PJM turut dibekalkan dengan ilmu psikologi dan kemanusiaan agar memudahkan cara kerja seseorang jururawat merawat seseorang pesakit sebagai seorang 'kawan' dan bukannya 'pesakit'," kata Zurina ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman 20 tahun dalam bidang kejururawatan, Zurina berkata cabaran yang dihadapi jururawat masa kini tidak banyak bezanya berbanding era 80-an kerana mengikut standard tetap yang telah ditambah baik semasa latihan kejururawatan.

"Tidak dapat dinafikan juga bahawa perkembangan teknologi yang pesat amat membantu tugas harian dengan menjadikannya lebih mudah dengan peralatan serba canggih.

Zurina berkata hanya satu fakta yang perlu dihayati oleh semua jururawat iaitu pesakit datang ke hospital untuk sembuh dan bukan untuk memudaratkan diri.

Kenyataan itu sentiasa mendorong seseorang jururawat untuk sentiasa komited dan berintegriti ketika menjalankan tugas.

"Harapan utama kami adalah agar pesakit segera sembuh dan dapat pulang ke rumah menjalani kehidupan yang sempurna bersama keluarga," katanya.

Mengulas pendapat mengenai jururawat lelaki yang semakin ramai menceburi bidang ini, beliau berkata ia amat membantu dalam bidang perubatan dengan memantapkan lagi penjagaan dan rawatan pesakit lelaki yang inginkan privasi.

"Di samping itu, kewujudan mereka amat diperlukan terutamanya dalam menghadapi tugas-tugas yang berat dan mencabar.

Biarpun mereka merupakan golongan 'minoriti' dalam bidang ini, namun khidmat mereka amat dihargai kerana segala tugas yang dilaksanakan adalah sama seperti jururawat wanita," katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada semua insan yang terlibat dalam profesion ini.

"Sambutan bertemakan 'Jururawat: Tenaga Perubahan: Meningkatkan Ketahanan Sistem Kesihatan' pada tahun ini, dilihat sebagai komitmen jururawat untuk mengukuhkan dan menambah baik sistem kesihatan di seluruh dunia.

"Bagi merealisasikan objektif ini, kita memerlukan penglibatan semua tenaga kerja dalam bidang kesihatan serta kerjasama daripada masyarakat setempat," kata Zurina.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment