Jom Kita Berkawan

Thursday, 12 May 2016

Jururawat Perlu Lengkapkan Diri Dengan Pengetahuan, Kemahiran - Dr Subramaniam


KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu jururawat melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran serta komitmen dalam menggalas skop tugas yang meluas dan kompleks ketika ini.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jururawat merupakan kerjaya yang dinamik dan sentiasa berkembang seiring dengan perkembangan teknologi serta keperluan perkhidmatan kesihatan semasa.

"Namun, pada masa sama juga disarankan supaya jururawat dapat mempertingkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam menghadapi bencana dan pengurusan pesakit di klinik.

"Mereka perlu melatih diri supaya kuat dari segi mental dan fizikal serta memperkasakan tahap ketahanan diri dalam menghadapi sebarang kemungkinan," katanya dalam perutusan beliau bersempena sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2016, di sini hari ini.

Sambutan Hari Jururawat peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok bersempena Hari Jururawat Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 12 Mei.

Tema Hari Jururawat Antarabangsa tahun ini adalah 'Nurse: A Force for Change: Improving Health System Resilience' (Jururawat: Kuasa untuk Perubahan: Menambah baik Ketahanan Sistem Kesihatan).

Dr Subramaniam berkata jururawat juga perlu bijak mendidik masyarakat melakukan perubahan ke arah gaya hidup lebih sihat demi kesejahteraan bersama.

Katanya golongan itu seharusnya menjadi medium mendidik masyarakat dalam aspek penjagaan kesihatan yang menyeluruh berikutan peningkatan situasi penyakit berjangkit yang serius ketika ini.

Mengimbas perkembangan sistem penjagaan kesihatan yang mula berkembang di negara ini pada 1951, beliau berkata evolusi perkhidmatan kejururawatan berkembang selaras kepesatan pembangunan negara.

"Jururawat merupakan barisan hadapan yang membuat saringan dan menjadi pasukan penyelamat ke tempat kejadian selain penggerak Perkhidmatan Penjagaan Asas di sektor kesihatan awam," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment