Jom Kita Berkawan

Monday, 16 May 2016

Kolej Jururawat Bakal Naik Taraf Kepada Kolej Universiti Tawarkan Pengajian Peringkat Ijazah


PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang menaik taraf sebuah daripada kolej jururawat kepada kolej universiti yang menawarkan pengajian sehingga peringkat ijazah dalam masa setahun akan datang, kata Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata rancangan itu dilakukan bagi meningkatkan kebolehan dan pengetahuan para jururawat di hospital kerajaan yang majoritinya memiliki kelulusan di peringkat diploma.

"Kita telah mempunyai fasiliti yang mencukupi untuk menawarkan pengajian peringkat ijazah termasuk tenaga pengajar sama seperti di pusat pengajian swasta," katanya kepada media selepas acara sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Susulan itu, katanya, Kementerian Kesihatan akan mengadakan pertemuan dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk mendapatkan kelayakan dan kelulusan bagi pengiktirafan kolej universiti kepada salah satu kolej jururawat di bawah seliaannya dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam mengakui penjawatan untuk jururawat yang memiliki ijazah adalah terhad buat masa ini iaitu 362 jawatan untuk gred U41 berbanding lebih 2,000 jururawat yang memiliki kelulusan peringkat ijazah.

"Ramai yang memiliki ijazah namun kerana perjawatan yang terhad kebanyakan mereka yang menjawat jawatan peringkat diploma sahaja dan menyukarkan mereka untuk meningkat tahap perjawatan mereka," katanya.

Justeru, katanya, permohonan untuk penambahan perjawatan kini dalam peringkat perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment