Jom Kita Berkawan

Tuesday, 17 May 2016

Tiada beza jururawat lelaki, wanita


Jururawat lelaki tidak kekok dalam melaksanakan tugas mereka.

SEGAMAT - Persepsi masyarakat yang beranggapan bahawa profesion kejururawatan hanya khusus untuk wanita sahaja, kini ia mungkin boleh ditepis apabila ramai golongan lelaki mula menceburi kerjaya tersebut.

Ini kerana, ramai golongan Adam di luar sana yang mula menyedari bahawa khidmat mereka juga amat diperlukan, sekali gus mahu turut serta bersama golongan Hawa mencurahkan bakti dalam bidang kejururawatan.

Seorang jururawat lelaki, Mohd Thaqib Mohd Khalid, 28, berkata, dia yang telah tiga tahun berkhidmat sebagai jururawat tidak menafikan pada awalnya ramai rakan-rakannya mempersendakan keputusannya untuk menjadi seorang jururawat.

Menurutnya, selain minat untuk mencuba bidang pekerjaan yang berbeza dan tidak ramai diceburi oleh golongan lelaki, ibunya, Junaidah Tahar, 58, yang juga pesara jururawat menjadi inspirasi untuk dia yakin memilih  bidang ini.

“Sebenarnya kerjaya jururawat ini tidak pernah ada dalam kamus hidup saya, bagaimana pun bila dapat tawaran untuk ke Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sungai Buloh pada 2009, saya enggan mensia-siakannya.

“Ketika itu, ada rakan-rakan yang memerli mengatakan kerjaya jururawat hanya untuk wanita sahaja dan mereka berjiwa ‘lembut’ serta  tidak sesuai untuk lelaki seperti saya. Namun ia tidak mematahkan semangat saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia yang kini bertugas di Wad Psikiatri Hospital Daerah Segamat (HDS) sejak tahun 2012 juga tidak pernah berasa terpinggir dan malu dengan kerjaya tersebut, malah bangga kerana mampu berkhidmat dan mencurahkan bakti kepada masyarakat.

Ikut nasihat ibu jadi jururawat

Bagi Arif Amirul Semail, 30, yang hampir sembilan tahun menjadi jururawat berkata, pada 2008, dia yang sedang mengikuti kursus pradiploma Sains Fizik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak sanggup menamatkan pengajiannya selepas ditawarkan menjadi jururawat.

Menurutnya, perasaannya ketika itu berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan pengajian yang berada di semester kedua atau bekerja sebelum ibunya, Ramlah Ayub, 60, memintanya menjadi jururawat ekoran kesukaran mendapat kerja ketika itu.

“Tambahan pula, ibu yang menghidap penyakit tiroid berharap sangat saya menjadi jururawat agar dapat menjaganya ketika sakit dan itu menjadi penguat kepada saya sewaktu belajar kejururawatan di KSKB Sungai Buloh.

“Saya juga tidak menyesal untuk berhenti belajar di UiTM ketika itu kerana sewaktu di KSKB saya belajar mengenai ilmu baharu terutamanya bidang kesihatan dan kejururawatan yang sebelum ini terlalu asing bagi saya,” katanya.

Katanya, dia yang kini bertugas di Wad Psikiatri HDS sejak tahun 2012 mengakui ‘soft skill’ dan ‘sentuhan’ jururawat lelaki lebih lembut atau setanding dengan jururawat wanita menguruskan pesakit.

Menurutnya, walaupun jururawat lelaki masih minoriti, dia kini berbangga dengan uniform putihnya dan menyifatkan penglibatannya dalam dunia kejururawatan sebagai perkara berharga pernah dilakukan sepanjang hidupnya.

“Tambah manis, dengan menjadi jururawat saya bertemu jodoh dan berkahwin dengan isteri saya, Rosmayati A Manan berusia 25 tahun pada 30 Ogos tahun lalu dan dia juga seorang jururawat di HDS,” katanya.

Kerja untuk gaji, pahala

Bagi Abdul Hazam Hafezuddin Abdul Hamid, 25, dia yang merupakan pemegang Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) menjadikan kerjaya jururawat sebagai ibadah.

Menurut anak kedua dari lima beradik itu, dia mengaplikasikan pengetahuannya dalam bidang usrah dan dakwah sebagai kekuatan untuk dirinya bagi membantu pesakit khususnya beragama Islam.

“Selain melakukan kerja-kerja jururawat, pada masa sama saya turut mengingatkan pesakit supaya banyak bersabar, menjaga solat serta hubungan dengan ALLAH walaupun ketika sakit.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika mula-mula menjadi jururawat dua tahun lalu apabila saya mengajar pesakit yang sedang nazak mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HDS, Dr Aman Rabu berkata, HDS mula menerima jururawat lelaki sejak tahun 2008 seramai tiga orang sebelum bilangan tersebut bertambah kepada 23 orang.

Menurutnya, kesemua mereka bertugas secara profesional dan ditempatkan di wad-wad lelaki dan pihaknya juga tidak pernah membezakan antara jururawat lelaki dan wanita kerana masing-masing mempunyai kecekapan tersendiri.

“Bagi saya, jika pesakit rasa selesa dan yakin dengan ciri maskulin seorang jururawat lelaki, maka tiada masalah bagi pesakit serta pihak pengamal perubatan menerima kehadiran jururawat lelaki bertugas di hospital,” katanya.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment