Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 27 September 2016

Penjenayah pura-pura minta tolong


 
Noni melakonkan semula adegan apabila mukanya ditekup dan lehernya diacukan dengan pisau oleh penjenayah sebelum disamun.
 
BATU PAHAT - Niat seorang jururawat di sebuah klinik desa, di sini, untuk membantu seorang lelaki bertukar menjadi episod malang apabila disamun lelaki terbabit.

Kejadian kira-kira jam 6.15 petang, Ahad lalu itu berlaku ketika mangsa didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dan meminta pertolongan untuk membantu rakannya yang terlibat dalam nahas di kawasan berhampiran.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Noni, 35, berkata, ketika kejadian, dia sedang membersihkan kawasan sekitar klinik kerana dia bertugas pada sebelah malamnya.

"Tiba-tiba saya didatangi lelaki itu yang meminta bantuan kerana rakannya kemalangan. Tanpa berfikir panjang, saya terus bersiap-siap menyediakan peralatan perubatan untuk dibawa ke lokasi kejadian.

"Tetapi sebaik sahaja saya megambil ubat di dalam almari, lelaki yang memakai jaket, bertopi keledar serta bersarung tangan itu terus mengugut saya dengan mengacukan pisau lipat di leher. Saya yang ketakutan hanya menurut sahaja kehendaknya," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Noni, suspek seolah-olah pernah datang ke klinik kerana tahu di mana dia meletakkan beg tangannya.

"Dia terus heret saya ke bilik itu dan arahkan saya untuk serah semua barangan berharga, termasuklah beg tangan, barang kemas dan barangan lain bernilai kira-kira RM3,000.

"Lima minit selepas itu, dia terus bergegas keluar meninggalkan klinik," katanya yang masih trauma.

Dalam pada itu, Adun Parit Ya’ani, Aminolhuda Hassan berkata, dia kesal dengan kejadian itu dan berharap pihak berkaitan dapat meningkatkan tahap keselamatan di kawasan yang berisiko seperti di klinik desa.

“Saya berharap kawalan keselamatan dapat dilakukan seperti menyediakan pengawal keselamatan, memasang gril pada pintu dan tidak membenarkan pemakaian topi keledar di premis kerajaan, selain jururawat tidak bertugas sendirian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan kejadian itu dan menyatakan kes terbabit masih lagi dalam siasatan.


Sumber: SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment