Pages

Jom Kita Berkawan

Saturday 5 November 2016

Seronok jadi jururawat

Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


 
 Ketika hari pernikahan

Asalnya dia tidak minat berkhidmat sebagai jururawat namun memikirkan pekerjaan mulia dan boleh merawat ibu bapanya, Nor Ernie Azreen Mohd Ghazali, tidak lagi menoleh kebelakang.

Apatah lagi disokong suami dan keluarga mentua yang bekerja di Kementerian Kesihatan banyak memberi inspirasi kepada Nor Ernie dalam mengendalikan tugasnya.

Bercerita mengenai pembabitan awal sebagai jururawat, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu berkata, dia sudah empat tahun berkhidmat sebagai jururawat U29 di Klinik Kesihatan Runchang, Pekan, Pahang.

“Saya seronok bertugas sebagai jururawat walaupun ia bukan cita-cita asal. Cuma mencabar apabila saya perlu duduk berasingan dengan suami bermula lapan minggu usia kandungan.

“Namun ia bukan penamat cita-cita sebaliknya membuatkan saya lebih kuat dan berdikari. Kini selepas melahirkan anak, setiap dua minggu sekali saya akan pulang berjumpa anak dan suami di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Mengenai skop pekerjaannya, Nor Ernie berkata, tugasnya lebih kepada memberi perkhidmatan kepada ibu dan anak, melakukan lawatan ke rumah pesakit, menyimpan serta melakukan rutin perkhidmatan kesihatan keluarga.

“Di sini saya menjaga pesakit Orang Asli. Tiada beza mereka dengan kita malah tidak banyak kerenah dan lebih mudah diuruskan.Tetapi ada juga sesekali rasa ‘down’ namun selepas berbual dan meluahkan masalah yang dihadapi kepada suami, semua tekanan akan hilang dan berasa lega,” katanya.

Mengenai kepuasan sebagai jururawat, Nor Ernie menjelaskan dia berasa seronok dapat membantu golongan pesakit apatah lagi melihat keluarga pesakit gembira.

“Antara pengalaman manis yang saya masih ingat apabila membantu ibu yang mahu melahirkan anak di rumah. Meskipun tidak cukup kelengkapan seperti di hospital, tetap berjaya melahirkan anak dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:03 AM


Sumber: HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment