Pages

Jom Kita Berkawan

Wednesday 20 September 2017

Perlu semak semula gaji profesional perubatan

Oleh Shamsul Kamal Amarudin
shaka@bh.com.my


BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menyemak semula skim dan struktur gaji profesional kesihatan bagi mengelak masalah kehilangan tenaga mahir ke luar negara atau 'brain drain'.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun Kementerian Kesihatan melakukan fleksibiliti tugasan iaitu membenarkan mereka bertugas di sektor awam dan swasta sekali gus, ia masih tidak mampu menghalang masalah 'brain drain'.

"Sudah tiba masanya JPA melihat semula skim dan struktur gaji profesional perubatan.

"Walaupun ia akan membabitkan pelbagai sektor lain dalam perkhidmatan awam, kita tidak mahu kehilangan tenaga pakar dalam bidang kesihatan.

"Kita sudah banyak melabur dalam latihan dan keperluan lanjutan bidang tertentu kesihatan sedangkan negara berkenaan tidak mengeluarkan apa-apa," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

AHMAD Zahid melihat gigi pelajar, Mohd Isyraq Hadif Abd Aziz, 15, yang menjalani pemeriksaan gigi ketika melawat pameran selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di Bagan Datuk, hari ini. - Foto Abdullah Yusof'


Ahmad Zahid berkata, ketika ini tawaran imbuhan dan gaji bagi profesional perubatan termasuk doktor serta jururawat di luar negara adalah tinggi.

Bagaimanapun, katanya, wujud kekangan sektor awam untuk menawarkan imbuhan sama kerana profesional dalam bidang lain akan menuntut perkara sama.

Justeru, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan JPA melakukan penilaian dan semakan semula itu bagi melihat semula keperluan demi mengekalkan tenaga pakar dan profesional kesihatan dalam negara.

Katanya, tenaga pakar dan profesional kesihatan harus dikekalkan dalam negara kerana wujud besar pelancongan kesihatan di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggalakkan pelancongan kesihatan kerana caj serta bayaran perkhidmatan di Malaysia adalah rendah sedangkan kualiti perubatan di negara ini adalah lebih tinggi atau setara dengan negara lain.


--- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment