Pages

Thursday, 30 August 2012

Jururawat tabur bakti

Bersempena dengan lebaran ini, kebanyakan umat Islam sedang bergembira bersama keluarga masing-masing apabila dapat beraya bersama di kampung halaman dengan kunjungan sanak saudara untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Tatkala ini, sebilangan mereka bertungkus lumus menunaikan tanggungjawab demi masyarakat dengan mengorbankan masa bersama keluarga dan tidak berkesempatan memakai baju raya di pagi Aidilfitri.

Bagi yang tidak biasa dengan keadaan tersebut pasti merasa sedih dan janggal apabila sambutan kali itu kurang meriah kerana tidak dapat beraya bersama keluarga.

Jururawat Terlatih, Hospital Sungai Buloh, Norfadhila Othman berkata, berkhidmat sebagai jururawat hospital pasti ada kalanya perlu bertugas di hari raya dan menggalas tanggungjawab berkenaan dengan ikhlas.

Menurutnya, sebenarnya jika jururawat tersebut memang ada jiwa dalam bidang tugas mereka pasti tidak menjadi penghalang padanya untuk bekerja pada sebarang hari termasuk hari raya.

“Bukan setiap tahun tidak dapat balik beraya, pasti akan ada penggiliran setiap jururawat. Sebenarnya pengorbanan besar jururawat seperti kami bertugas untuk merawat pesakit yang juga tidak dapat beraya bersama keluarga.
“Setiap jururawat pasti akan membawa juadah masing-masing ke hospital untuk dikongsi bersama rakan yang lain dan pesakit yang turut dikunjungi sanak-saudara serta membawa pelbagai juadah hari raya,” katanya.

Bagaikan sekeluarga

Sejak berkhidmat di wad kanak-kanak, kata Norfadhila, pelbagai kenangan manis dan pengalaman berharga diperoleh kerana menganggap kanak-kanak yang menghuni wad berkenaan dianggap seperti adik dan anak sendiri.

“Kelebihan juga kepada saya dan rakan yang lain apabila dapat bertugas di wad ini kerana suasana sentiasa ceria dan meriah dengan suara tawa kanak-kanak yang comel dan petah berkata.

“Sebagai jururawat, kami akan pastikan kanak-kanak yang datang ke wad ini terasa berada di rumah, bukannya di hospital kerana kami tidak mahu mereka muram dan terlantar tanpa keceriaan,” katanya.

Tambahnya, apabila melihat kanak-kanak yang dirawat telah sembuh dan aktif seperti sedia kala, bagi mereka ia amat menggembirakan. Seolah-olah ibu yang berasa gembira apabila anaknya kembali sihat.

“Kami beri layanan sebaiknya kepada pesakit kanak-kanak untuk mereka berasa selesa dan gembira serta melupakan kesakitan dialami.

“Ada sesetengah kanak-kanak ini perlu berada di hospital dalam jangka masa yang lama sehingga berbulan. Justeru jika jururawat seperti kami tidak pandai mainkan peranan, maka susah untuk memujuk mereka melakukan rawatan atau memakan ubat,” katanya.

Dia menambah, sepanjang berkhidmat di wad kanak-kanak, rasa sejuk hati apabila melihat telatah kanak-kanak yang comel.

Pengalaman indah

Sementara jururawat di wad sama, Nur Syafeza Shaharudin berkata, mula-mula memang rasa janggal jika tidak dapat beraya di kampung. Apabila sudah biasa maka perkara itu boleh terima dan turut meraikan bersama rakan yang turut bertugas.

“Jika rindu dan nak ucap salam kepada keluarga, saya selalu akan buat pesanan ringkas kepada keluarga atau gunakan teknologi kini buat 3G.

“Dengan kemudahan ini, walaupun tidak bersama secara fizikal tetapi dapat berkomunikasi melalui videocall bolehlah terubat sikit kerinduan ketika hari lebaran. Tetapi syukur tahun ini saya cuti beraya kerana tahun lepas telah bertugas,” jelasnya.

Nur Syafeza telah berkhidmat sebagai jururawat selama lapan tahun sebagai jururawat dan sememangnya ia adalah cita-citanya sejak kecil untuk membantu pesakit. Dan apabila ditugaskan bahagian kanak-kanak, peluang itu amat disukai kerana gembira berada di wad itu yang perlu menjaga anak comel.

Satu lagi kelebihan menjaga wad kanak-kanak ini kata Nur Syafeza, mereka boleh uruskan anak sendiri sekiranya sakit dan tidak perlu hantar ke hospital. Melainkan jika sakit yang serius baru hantar ke hospital yang memerlukan rawatan lebih rapi.

“Pengalaman manis sepanjang bertugas sebagai jururawat apabila sempat menguruskan kembar siam Nur Badrishah dan Nur Bahiyah ketika di Hospital Kuala Lumpur yang berjaya dipisahkan.

“Ketika itu, usia kembar itu dalam enam hingga lapan bulan dan selama berada di hospital saya sempat menjaga dan mengawasi tahap kesihatannya,” katanya.

Justeru, pada hari lebaran ini, sepatutnya masyarakat perlu mengingati serta menghargai pengorbanan jururawat yang memikul tugas bertugas di hari raya menjaga pesakit atau sanak-saudara tanpa rasa jemu atau mengeluh.

SUMBER: SINAR HARIAN