Pages

Sunday, 26 April 2015

Cabaran jururawat muda

Golongan paling rapat dengan pesakit sepanjang di hospital tuntut kesabaran tinggi


Memilih pekerjaan dalam bidang perkhidmatan memerlukan kesabaran dan jati diri tinggi. Ada pahit manis perlu ditempuhi untuk kukuhkan pengalaman.

SHUHADA MANSOR faham cabaran menanti apa saja pekerjaan pada masa kini, namun bagi jururawat pada usia muda ada kisahnya tersendiri.

Dalam setiap pekerjaan pasti ada cabarannya tersendiri, namun ia akan menjadi lebih sukar apabila bidang kerja membabitkan perkhidmatan kepada pelanggan. Jururawat antara pekerjaan yang tergolong dalam kategori ini.

Bagi jururawat muda, sebelum melangkah ke status profesional dan berpengalaman, mereka perlu menempuh peringkat awal kerja. Pelbagai kerenah dan kemahuan pesakit perlu dituruti dan ia perlu dihadapi dengan penuh sabar.

Profesion jururawat tidak seperti kerja di pejabat, waktu kerja tidak tentu masa yang ada kalanya dalam keadaan tekanan juga perlu melayan kerenah pesakit.

Justeru setahun sekali sumbangan mereka dihargai melalui sambutan Hari Jururawat pada 12 Mei setiap tahun.

LUANG MASA BERSAMA PESAKIT

Sama ada sedar atau tidak, jururawat meluangkan 70 hingga 80 peratus masanya berinteraksi dengan pesakit jika dibandingkan dengan masa pesakit bersama doktor atau ahli keluarga masing-masing.

Ini menunjukkan mereka golongan yang paling rapat dengan pesakit sepanjang di hospital.

Maka, tidak hairanlah jika mereka ini diberikan penghargaan sepatutnya setanding dengan bakti dicurahkan.

FAHAM KEINGINAN PESAKIT

Kerjaya ini memerlukan anda meletakkan diri sebagai pesakit. Pesakit datang ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan segera bagi membolehkan mereka kembali hidup secara normal.

Kerjaya ini memerlukan anda meletakkan diri sebagai pesakit. Pesakit datang ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan segera bagi membolehkan mereka kembali hidup secara normal.

Penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Sempena Hari Jururawat Antarabangsa 2014, Kalaiselvi Kumaresan, ketika ditemu ramah Harian Metro percaya kepuasan bekerja sebagai jururawat hanya boleh diperoleh apabila melihat pesakit yang dirawat bertambah pulih. Lebih menggembirakan apabila mereka berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.

“Kita sendiri pun akan rasa marah apabila lambat mendapatkan rawatan atau dilayan dengan buruk, jadi jururawat perlu sentiasa letakkan situasi itu pada diri apabila berdepan pesakit yang datang dengan pelbagai kerenah.

“Sememangnya sabar memainkan peranan utama dalam kehidupan setiap jururawat, jadi senyum adalah perkara terbaik untuk menanganinya,” katanya yang kini bertugas sebagai pegawai jururawat bagi Unit Pendidikan Dan Kawalan Jangkitan di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

TULANG BELAKANG DOKTOR

Nur Nasirah Maulod, 26
Jururawat wad rawatan bayi
Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)

“Jururawat bukan saja bertugas untuk menjaga pesakit, malah kami juga ibarat tulang belakang doktor bagi membantu memudahkan urusan terutama dalam aspek penjagaan pesakit, menyediakan laporan pesakit, ubat-ubatan dan sebagainya.

“Bagi saya, jururawat yang cemerlang perlu setiap masa meletakkan dirinya dalam situasi pesakit lalu keikhlasan dalam melakukan tugasan. Keikhlasan itu pasti tergambar jelas ketika memberikan perkhidmatan kepada pesakit,” katanya yang berkhidmat di wad rawatan bayi berumur sejak lahir hingga 28 hari.

KAWAL EMOSI

Nur Salihah Wahab, 26
Jururawat HUKM

“Pesakit datang dalam pelbagai keadaan dan situasi, kebanyakannya datang dengan emosi yang tak stabil apatah lagi membabitkan anak kecil. Saya bertugas di wad kanak-kanak, boleh dikatakan ibu bapa di sini sangat emosi. Jadi, di sinilah jururawat perlu bijak menangani mereka dengan banyak bersabar dan berusaha memberikan perkhidmatan sebaik mungkin.

“Cabaran yang dihadapi ketika bertugas bukan saja memerlukan sikap kental dan kesabaran untuk uruskan pesakit, malah pengalaman itu dapat meningkatkan ilmu dan kecekalan dalam diri, “ katanya.

RASA DIHARGAI

Elyanie Ismail, 26
Jururawat HUKM

“Untuk hadapi pelbagai karakter pesakit bukannya mudah apatah lagi mereka yang berusia. Tapi bagi saya, untuk jaga pesakit jantung kategori berusia perlukan kesabaran tinggi sebab mereka mahukan lebih perhatian.

“Akan wujud satu perasaan tersentuh apabila jasa dan pengorbanan kita dihargai pesakit. Ada beberapa pesakit yang pernah saya dirawat masih berhubung sehingga sekarang dan menjadi seperti ahli keluarga baik.

“Ada juga antara pesakit yang menganggap kami seperti ahli keluarga mereka kerana keakraban dan kemesraan yang wujud semasa mereka mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 2:35 PM


Sumber: HARIAN METRO

Sunday, 19 April 2015

Isu Semakan Gaji Penjawat Awam : Kerajaan perlu tubuh Suruhanjaya Semakan Gaji

Tubuh Suruhanjaya Tetap Bagi Semakan Gaji Penjawat Awam - Navaratnam


Tan Sri Ramon Navaratnam 
 
 
 
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Suruhanjaya tetap perlu ditubuhkan bagi membuat semakan gaji dalam perkhidmatan awam setiap lima tahun, kata Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam terutama mereka yang berpendapatan rendah sambil menambah kali terakhir semakan gaji dilakukan adalah pada 1991.

"Saya yakin terdapat rasa tidak puas hati dan kecewa kerana mereka bergelut setiap hari untuk meneruskan kehidupan dengan pendapatan rendah purata antara RM805 dan RM820 sebulan bagi gaji pokok.

"Ini malah di bawah garis kemiskinan yang menetapkan pendapatan RM880 sebulan," beliau menulis dalam ruangan "Letters to the Editor" yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Star, hari ini.

Beliau membuat komen itu susulan pendedahan oleh Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda bahawa kira-kira 800,000 penjawat awam memperoleh pendapatan rendah pada purata RM850 sebulan.

Beliau berkata gaji rendah telah menjejaskan moral penjawat awam dan bersikap negatif dalam melakukan kerja mereka.

Navaratnam berkata orang ramai, khususnya pembayar cukai, yang mendakwa bahawa tidak harus menaikkan gaji walaupun penjawat awam berpendapatan rendah kerana produktiviti mereka rendah, perlu faham bahawa mungkin terdapat hubung kait antara gaji rendah dan produktiviti merosot.

"Justeru, kerajaan perlu melakukan penambahbaikan bagi kakitangan dalam perkhidmatan awam, terutama kumpulan berpendapatan rendah dengan memberi tawaran yang lebih adil," katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan menaikkan gaji minimum purata golongan yang terjejas itu supaya berada di atas garis kemiskinan RM880 sebulan kepada kira-kira RM1,200 sebulan.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta kerajaan mencapai persetujuan dengan Cuepacs dan meminta mereka meningkatkan produktiviti, melaksanakan disiplin yang lebih ketat dan meningkatkan dedikasi supaya perkhidmatan awam dapat memberi perkhidmatan lebih cekap kepada orang ramai.

"Jadi tolong beri tawaran yang lebih baik dengan membayar gaji melepasi paras kemiskinan kepada penjawat awam yang bergaji rendah. Berikanlah maruah dan mereka akan respons dengan komitmen yang lebih besar untuk berkhidmat kepada negara," katanya.

Navaratnam berkata, menaikkan gaji mereka juga akan membantu untuk mengurangkan ketidaksamarataan dan meningkatkan agihan pendapatan.

"Lagipun, anggota Parlimen dengan sebulat suara menyokong bagi kenaikan gaji lebih tinggi untuk diri mereka. Ini berlaku, walaupun ramai daripada mereka menunjukkan prestasi yang baik hanya dalam politiking dan penyebaran skandal dan pada masa yang sama mereka memperoleh pendaparan daripada sumber lain dan terlepas," katanya.

Beliau berkata secara alternatif, kerajaan perlu menswastakan lebih banyak perkhidmatan awam dan mendesak bagi produktiviti lebih tinggi daripada entiti swasta yang perlu bersaing untuk kontrak.

Beliau menambah ini boleh mengurangkan saiz penjawat awam yang sekarang berjumlah 1.4 juta orang.

-- BERNAMA

Saturday, 11 April 2015

Kakitangan Awam dapat 'durian runtuh'?

PPA1M Peluang Penjawat Awam Miliki Kediaman Berkualiti - Najib



KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) menyediakan rumah yang berkualiti dengan harga lebih rendah daripada pasaran bagi memenuhi kemampuan penjawat awam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata contohnya projek PPA1M Bukit Jalil di sini, merupakan satu projek perkongsian awam swasta dengan menggunakan kaedah subsidi bersilang.

"Sebidang tanah telah diluluskan untuk pihak pemaju. Sebahagian daripada tanah ini akan dimajukan secara komersial, (dan) daripada keuntungan komersial itu, maka pemaju bersetuju untuk membina rumah penjawat awam tanpa pembiayaan daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan projek PPA1M Bukit Jalil dan sesi pengundian untuk rumah projek itu di sini hari ini.

Sebanyak 1,536 unit rumah dengan harga jualan antara RM150,000 hingga RM300,000 seunit berdasarkan keluasan rumah antara 1,000 hingga 1,434 kaki persegi telah ditawarkan kepada penjawat awam.

Sebanyak 6,826 permohonan diterima bagi PPA1M sejak tawaran dibuka dari 22 Jan hingga 28 Feb lepas, dengan 4,269 pemohon memenuhi kriteria yang ditetapkan. Najib berkata penjawat awam yang dapat memiliki unit rumah di Bukit Jalil boleh dianggap menerima 'durian runtuh' kerana harga rumah berkenaan lebih murah daripada harga pasaran.

"Inilah bezanya, ertinya bukan sahaja nilai untuk wang, tetapi kalau dapat rumah ini, ia boleh kira 'durian runtuh' jugalah kerana projek ini memberi keuntungan yang besar di mana lima hingga 10 tahun lagi, nilainya akan melonjak lebih tinggi lagi," kata beliau.

Selain itu, beliau berkata PPA1M itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan taman permainan yang menjadikan kehidupan di situ lebih selesa.

Najib berkata kerajaan sentiasa mendengar keluh kesah penjawat awam yang tinggal di bandar yang menghadapi kesukaran memiliki kediaman sendiri berikutan harga pasaran yang tinggi.

Untuk itu, kerajaan melaksanakan projek PPA1M yang menawarkan unit rumah pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran bagi memenuhi kemampuan penjawat awam.

Dalam usaha memastikan seramai mungkin penjawat awam dapat memiliki kediaman sendiri di bandar, Najib berkata kerajaan bersetuju membina sebanyak 100,000 unit rumah PPA1M di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata pada April 2013, kerajaan mengumumkan pembangunan sebanyak 10,336 unit rumah PPA1M di Putrajaya dan PPAIM fasa dua di lokasi sama dilancar baru-baru ini dengan tambahan 4,911 unit rumah.

Susulan permintaan yang amat tinggi terhadap unit rumah itu, beliau berkata PPA1M seterusnya dibuka di Bukit Jalil bagi memenuhi permintaan di mana sebanyak 1,536 unit rumah ditawarkan.

-- BERNAMA