Pages

Saturday, 29 October 2016

Keluarga bersyukur jururawat HSA cedera selamat

TEMERLOH - Ahli keluarga kepada jururawat yang cedera parah akibat terhidu asap dalam kejadian kebakaran Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kini dalam keadaan stabil.

Dia dikatakan terjatuh ketika sedang berusaha menyelamatkan salah seorang pesakit dalam kejadian itu.

Jururawat terbabit Nurul Ain Zulkalnain 24, terjatuh atas lantai ketika sedang menolak katil seorang pesakit untuk dibawa ke tempat selamat.

Adik mangsa, Nurul Nabila Zulkalnain 23, berkata, dia dimaklumkan perkara itu oleh bapanya yang kini berada di Johor Bahru melihat keadaan kakaknya yang berada dalam keadaan stabil ketika ini.

“Kami sekeluarga rasa syukur sangat apabila tahu kakak selamat sebab dalam media sosial macam-macam maklumat tidak betul ditulis.

“Saya dimaklumkan dia sedang menolak katil seorang pesakit dan dalam keadaan kelam kabut itu dia terjatuh tanpa disedari orang lain, katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Bangau Tanjung di sini semalam.

Nurul Nabila berkata, kakak sulungnya itu bekerja di Hospital Sultanah Aminah sejak empat tahun lalu sebaik sahaja tamat pengajian bidang kejururawatan di Sungai Petani, Kedah.

Menurutnya, dia mempunyai 10 adik beradik bukannya 12 atau tujuh seperti yang disebarkan dalam media sosial.

Nurul Nabila berkata, bapanya Zulkalnain Abdul Razak 50, dan ibunya Norayati Mohd Nor 45, kini berada di Johor Bahru.


--- SINAR HARIAN

Friday, 28 October 2016

Jururawat terlibat kebakaran dalam keadaan stabil


Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Rooshaimi Merican Rahim Merican turut menafikan viral yang tersebar di laman sosial mengenai jururawat, Nurul Ain Zularnain yang melecur dalam kejadian itu dikatakan sudah meninggal dunia.

"Tiga staf dari ICU yang dirawat di sini (Hospital Sultan Ismail) berada dalam keadaan stabil. Saya menafikan mengenai penyebaran viral berkenaan (kematian Nurul Ain), dia berada dalam keadaan stabil.
"Seorang pesakit ICU yang terselamat dari HSA juga dipindahkan ke sini dan turut berada dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi kunjungan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menziarahi mangsa kebakaran HSA, pagi tadi.
Turut mengiringi baginda, isteri Tengku Mahkota Johor, Che Puan Khaleeda Bustaman dan isteri Menteri Besar, Datin Rosni Omar.

HSA dilaporkan terbakar pada kira-kria jam 9 pagi, semalam berpunca dari wad rawatan kecemasan (ICU) selatan, bangunan induk HSA hingga mengorbankan nyawa enam pesakit yang sedang menerima rawatan.
Ketika kejadian terdapat 294 pesakit sedang dirawat serta 193 kakitangan berada dibangunan berkenaan.
Mangsa yang maut termasuk empat pesakit wanita dan dua pesakit lelaki manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan namun dilaporkan melecur 80 peratus.


--- SINAR HARIAN