Pages

Wednesday, 2 October 2013

Wani pilih jururawat

ARKIB : 18/09/2013

Noor Zawani Che Shop atau lebih mesra disapa wani. 
 
KERJAYANYA tidak sekadar menuntut kesabaran dan kecekalan yang tinggi tetapi perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ragam dan kerenah pesakit.

Kesabaran yang ada kadangkala diuji tetapi memikirkan semula kerjaya yang disandangnya kini adalah pilihannya sendiri, maka anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang, ini terus menanam niat untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan.

Kini setelah lima bulan menjalani kehidupan sebagai seorang jururawat di Wad Bersalin sebuah hospital swasta di ibu negara, Noor Zawani Che Shopi teruja dan gembira kerana dia sememangnya gemarkan kanak-kanak.

Mengakui pada awal pengajian dia sememangnya takut kepada darah, tetapi bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa' kini Noor Zawani atau lebih mesra disapa Wani sudah lali dengan situasi tersebut.

Baru mencecah usia 22 tahun, dia sesekali tidak pernah menyesal dengan kerjaya pilihan malah mampu membuatkan dirinya insaf apabila melihat ibu-ibu bertarung nyawa melahirkan anak.

Begitu tersentuh dengan pengorbanan seorang ibu serta 'penderitaan' yang ditanggung seorang wanita hamil, Wani memberitahu bahawa pengalaman yang paling bermakna sepanjang lima bulan kerjayanya bermula, apabila dia berpeluang menyambut kelahiran seorang bayi bersama seorang jururawat kanan.

Menceritakan detik tersebut, Wani berkata, ketika itu doktor dalam perjalanan untuk melihat keadaan ibu tersebut tetapi kuasa tuhan, ibu tersebut telah melahirkan anaknya tanpa sempat doktor sampai. dia yang bertugas ketika itu bersama seorang jururawat kanan telah menyambut bayi tersebut.

"Alhamdulillah, kenangan tersebut tidak mungkin akan luput dari ingatan kerana itulah kali pertama saya menghadapi situasi seperti itu (menyambut kelahiran bayi tanpa doktor) walaupun pada hakikatnya gemuruh dalam dada tuhan sahaja yang tahu.

"Ini kerana sebelum ini saya hanya membantu doktor yang menyambut kelahiran bayi dan tidak pernah pula menyambut bayi yang baru lahir.

"Bagaimanapun ia satu memori sungguh indah untuk diingati selama-lamanya," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Atas alasan tersebut juga, gadis yang memiliki ketinggian 151 sentimeter ini berazam untuk lebih berdedikasi dalam kerjayanya hari ini.

Begitupun, dia yang masih bujang mengakui sedikit fobia melihat ibu-ibu bersalin dan mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mengembalikan semangat apabila tiba harinya kelak.

Yang pasti, setiap kali selesai menjalankan tugas (menyambut kelahiran bayi), dia pasti menghubungi ibunya untuk berbual dan secara tidak langsung melepaskan sayu di hati.

Wani yang juga bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, bagaimanapun terpaksa menangguhkan dahulu keinginannya kerana syarat untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah memerlukan seorang jururawat itu memiliki pengalaman sekurang-kurangnya setahun.

Untuk itu, Wani berazam untuk mencari pengalaman sejauh mungkin dan pasti akan mengotakan janji kepada dirinya satu hari nanti.

Juga amat berterima kasih kepada keluarga yang cukup menyokong dan menjadi pendorong utama dalam menentukan masa depannya, Wani memberitahu bahawa dia tidak akan menghampakan harapan mereka untuk melihat kejayaan dirinya.

Kegigihan serta kesanggupannya untuk menjadi seorang jururawat seharusnya diberi pujian kerana hari ini generasi muda kurang berminat menceburi bidang tersebut dan menjadikannya sebagai pilihan terakhir.

Namun jelasnya, kerjaya tersebut telah berjaya merubah dirinya menjadi seorang individu yang lebih bertanggungjawab dan menghargai pengorbanan seorang ibu.

Perkembangan fesyen

Selain bercerita tentang kerjaya, seperti remaja lain, Wani juga gemar mengikuti perkembangan fesyen.

Seorang individu yang gemar mengumpul beg tangan, kasut, dan aksesori, dia turut memasang keinginan untuk bergelar seorang pelakon satu hari nanti.

Gadis yang murah dengan senyuman ini sememangnya kini bergelar model sambilan dan kerjaya tersebut telah bermula sejak berada dalam semester dua pengajian kejururawatannya.

Turut mengakui suka mengambil gambar sendiri, Wani juga pernah menyertai peraduan Gadis iPad melalui laman sosial Facebook pada tahun 2011.

Bermula daripada situ dia mula berjinak-jinak dalam dunia peragaan, malah pernah berlakon sebagai pelakon tambahan dalam drama bersiri Si Capik dan Cahaya Cinta.

Yang pasti, anak sulung daripada dua beradik ini pandai membahagikan masa agar ia tidak bertembung dengan tugasnya.

"Saya hanya menerima tawaran untuk memperagakan fesyen hanya pada hari minggu kerana pada hari itu saya tidak bekerja.

"Seboleh-bolehnya saya tidak akan mencampur-aduk kerjaya peragaan dengan kerjaya tetap dan disebabkan itulah saya hanya menerima tawaran peragaan pada hari minggu.

"Saya sayangkan kedua-dua kerjaya ini dan kalau boleh biarlah ia seiring," katanya lagi.

Berbicara pula mengenai rutin hariannya dalam penjagaan kulit wajah, Wani menjelaskan dia tidak pernah berpeluang untuk ke salon atau spa bagi memanjakan diri.

Ini kerana jadual kerjanya yang tidak menentu, membuatkan dia hanya berpeluang mengamalkan penggunaan bahan-bahan asas dalam penjagaan kulit.

"Setakat ini saya amat bersyukur kerana kulit wajah tidak mempunyai masalah serius.

"Jadi buat masa sekarang saya memang tidak mengamalkan apa-apa petua dalam penjagaan kecantikan malah menggunakan bahan-bahan asas seperti orang lain," tuturnya menutup bicara.

sumber: utusan.com.my

No comments:

Post a Comment