Pages

Monday, 10 February 2014

Penyakit Sifilis

Sifilis: Peniru yang hebat!

SIFILIS merupakan sejenis penyakit jangkitan kelamin - sexually transmitted infections (STI) yang disebarkan, terutama melalui hubungan seks, berpunca daripada sejenis bakteria spirocete iaitu Treponema Pallidum.

Sifilis juga terkenal dengan gelaran ‘Peniru Yang Hebat’ (Great Imitator) kerana mempunyai simptom yang pelbagai menyerupai penyakit-penyakit kulit lain.

Antara penyakit-penyakit STI biasa yang lain seperti gonorrhea, chlamydia, genital herpes, genital wart, hepatitis B dan HIV.

Peringkat pertama (primary syphilis) penyakit ini berlaku pada hari ke-9 hingga 90 selepas jangkitan, iaitu akan timbul satu lepuh (ulser) kemerahan yang biasanya tidak sakit, tidak gatal pada zakar, vagina, dubur atau mulut.

Ulser ini dipanggil primary chancre dan akan hilang dalam tempoh tiga hingga enam minggu walaupun tanpa rawatan, tetapi kebiasaannya pesakit tidak perasan kehadiran chancre kerana tidak berasa sakit walaupun pada masa sama kelenjar limfa mungkin membengkak.

Manakala, pada peringkat kedua pula, (secondary syphilis) ia berlaku pada minggu keenam hingga enam bulan selepas jangkitan.

Ketika ini, ruam akan timbul pada bahagian badan termasuk tapak tangan dan kaki, malah ulser juga boleh timbul pada bibir, mulut, kerongkong, vagina serta dubur selain turut mendapat gejala seperti selesema, demam dan sakit badan yang mungkin berlaku.


Remaja lebih terdedah

Sekiranya pesakit masih tidak melakukan rawatan, penyakit ini akan melarat hingga ke peringkat paling serius (tertiary syphilis).

Pada peringkat ini, kuman sifilis telah merebak ke seluruh badan dan pada masa sama akan menyerang otak, jantung, saraf tunjang dan tulang.

Kesan sampingan lain juga berlaku antaranya sukar berjalan atau lumpuh, kebas, buta secara beransur, sawan, nyanyuk dan boleh menyebabkan kematian dengan kadar mortaliti sebanyak lapan hingga 58 peratus.

Kebiasaannya penyakit ini berlaku kepada golongan remaja dan belia iaitu antara umur 15 hingga 40 tahun kerana mereka lebih terdedah kepada seks bebas, bertukar-tukar pasangan serta tidak mengamalkan seks secara selamat.

Dalam soal ini, nisbah golongan lelaki dua hingga enam kali lebih ramai dijangkiti berbanding perempuan kerana ada di antaranya melakukan seks sesama lelaki (homoseksual) yang mendorong kepada risiko tinggi dijangkiti sifilis.


Saringan awal

Dalam usaha rawatan, tidak dinafikan sifilis adalah penyakit yang boleh diubati dengan mengambil antibiotik yang paling berkesan iaitu suntikan penisilin kepada pesakit sifilis yang didiagnosis.

Namun terdapat beberapa jenis antibiotik oral alternatif bagi pesakit yang mempunyai sejarah alergi terhadap penisilin atau pesakit yang tidak mahu menerima suntikan.

Bagaimanapun, sebagai langkah pencegahan, cara paling baik adalah dengan mengelakkan diri daripada hubungan seks, tetapi sekiranya masih aktif melakukan seks, amalkan hubungan seks yang selamat, setia pada seorang pasangan yang tidak dijangkiti, menggunakan kondom setiap kali melakukan seks serta elakkan dari pengambilan alkohol atau dadah.

Sehubungan dengan itu, saringan awal perlu dilakukan terhadap beberapa golongan berisiko untuk mengesan sifilis. Antaranya, ibu mengandung pada lawatan kali pertama dan minggu ke-28 kehamilan, homoseksual, penghidap HIV, kes konteks (pasangan pesakit), bayi dilahirkan ibu yang dijangkiti sifilis serta golongan yang berisiko tinggi lain seperti pekerja seks dan penagih dadah. Kaunseling dan pendidikan juga sangat penting bagi mendedahkan kepada segenap lapisan masyarakat berhubung penyakit sifilis.


PENGAKUAN

Jangkit daripada suami


Pertama kali mendapati alat kelamin menjadi semakin serius dengan kesan luka (lepuh) dan kemerahan serta bernanah, saya mula mengesyaki sesuatu yang buruk sedang berlaku kepada diri saya.

Ketika itu suami mula menjauhkan diri daripada saya walaupun dia seorang yang aktif seks sehingga kerap kali kami ‘bersama’ ketika saya datang bulan.

Pada mulanya saya berasa amat malu untuk berjumpa doktor, tetapi apabila luka yang disertakan nanah semakin teruk pada kemaluan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor dan mengesahkan saya mengidap sifilis.

Ketika doktor menjelaskan punca-punca penyakit ini dan mendapatkan maklumat melalui internet, saya mula bertanyakan kepada diri, adakah semua itu melibatkan suami yang sering bertukar pasangan.

Saya memberanikan diri bertanyakan kepada suami dan jawapan yang saya terima cukup menyedihkan apabila suami sendiri membuat pengakuan bahawa dia memang curang di belakang saya dan disebabkan sikapnya yang suka bertukar pasangan serta bersama saya ketika dalam keadaan ‘kotor’, penyakit ini terkena pada saya.

Mujurlah, saya cepat melakukan pemeriksaan dan kini saya bebas daripada segala-galanya termasuk suami yang menceraikan saya kerana saya tidak sanggup lagi hidup bersamanya ekoran kecurangan itu.

Di sini, saya ingin menasihati wanita di luar sana, supaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup, carilah yang boleh dipercayai serta setia. - Nani, 31.



Bersama pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu, Dr Puteri Wan Seribani Mat Daud.

SUMBER: SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment