Pages

Friday, 2 May 2014

Tokoh Jururawat Malaysia




TEMPOH 43 tahun dalam bidang kejururawatan merupakan satu pengalaman hebat buat seorang wanita bernama Professor Dr Hjh Rohani Hj Arshad.

Wanita yang pernah dinobatkan sebagai  Tokoh Jururawat Malaysia pada 2008 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini menyulam pelbagai nostalgia pahit manis sepanjang 25 tahun bergelar jururawat di bidang perkhidmatan kesihatan dan 18 tahun dalam dunia akademik.

Beliau telah menulis empat buah buku profesional, yang terbaru bertajuk Effective Communication in Nursing dan sedang memuktamadkan buku bertajuk The Impact of being a NURSE.

Seorang yang sentiasa fokus dan berorientasikan pencapaian ini berpegang teguh untuk sentiasa cemelang, bermoral dan beretika dalam setiap tugas dan perbuatannya Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang berwawasan, seorang mentor yang disegani, jurulatih berinspirasi, penceramah hebat dan sukarelawan yang murah hati.

Yang paling penting, Rohani dikenali ramai dengan sifatnya yang prihatin, penyayang dan sentiasa bersedia membantu.
      
Mahu motivasi jururawat

Pada usia 62 tahun, mempunyai empat anak dan bergelar nenek kepada 10 cucu, Rohani berjaya menggenggam scroll pendidikan tertinggi P.hD. dari Open University Malaysia (OUM) meskipun terlalu banyak pancaroba perlu ditempuhi.

“Saya seorang jururawat sejak 1969. Pada 14 Disember 2013, saya dianugerahkan P.hD. Saya mahu memotivasikan semua jururawat di Malaysia. Jangan berhenti belajar. Jadilah jururawat yang berwawasan, hebat di bidang akademik dan beretika tinggi di bidang perkhidmatan.

“Jadi jururawat adalah menjadi sebahagian daripada hidup orang lain. Sabar, ikhlas, cekap dan tanamkan rasa cinta, InsyaALLAH, anda akan berasa profesyen ini suatu kecintaan yang sangat suci,” katanya.

Perkongsian Rohani diharapkan menjadi inspirasi kepada lebih 120,000 jururawat pelbagai latar belakang di luar sana agar mengetepikan halangan dalam usaha mengejar cita-cita. Bagi Rohani, kualiti perkhidmatan seseorang jururawat bergantung kepada peningkatan kognitif. Tinggi kemahiran kognitif, maka tinggilah etika seseorang jururawat itu.

“Ya. Pelajaran mengajar kita menjadi lebih baik, dewasa dan matang. Pada usia bila pun, pembelajaran perlu berterusan untuk mempertingkatkan kemahiran kognitif. Sejarah hidup profesyen saya bermula sebagai jururawat pelatih di St george Hospital, Australia pada tahun 1970.

Selama 25 tahun saya bertugas sebagai jururawat terlatih, Ketua Jururawat dan Penyelia Jururawat, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sebelum saya sambung belajar di peringkat Sarjana di Universiti Edinburgh,UK.

Sekembalinya saya dengan Sarjana Pendidikan Kejururawatan, saya ditukarkan ke Universiti Malaya (UM) sebagai pensyarah. Bertugas selama 15 tahun sebagai pensyarah kanan dan ketua Jabatan. Saya diberi gelaran Professor Madya pada tahun 2004.

“Kini saya di MAHSA Universiti, saya memegang satu jawatan yang tak pernah saya sangka dan mimpikan sebelum ini,” katanya gembira.

Syukur jadi jururawat

Selain doktor, cikgu dan golongan pendidik, kejururawatan merupakan satu bidang dianggap mulia oleh masyarakat. Mereka membantu pesakit dalam meneruskan kehidupan.

Begitulah bagi diri Rohani; apabila seseorang memutuskan untuk menjadi jururawat, dia telah berjanji akan membantu orang dari segi fizikal, mental, emosi, rohani dan sosial.

“Saya merasa sayu dan bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada komuniti jururawat yang telah membuat janji ini kepada masyarakat. Namun untuk menunaikannya bukanlah semudah melafaz janji di bibir. Ia perlu disusuli dengan keikhlasan dan rasa cinta terhadap kerjaya ini dahulu.
“Barulah kita akan menjalankan amanah dengan sebaik mungkin. Ramai jururawat fikir tugas mereka terhad sebagai penyampai perkhidmatan semata-mata.

Sedangkan kalau mereka dapat memenuhi dari sudut spiritual dan emosi pesakit itulah sebenarnya jururawat yang berjaya,” katanya yang bercita-cita mahu mewujudkan akademi kejururawatan suatu hari nanti.

Kerana uniform
Lebih 40 tahun dahulu, di sebuah perkampungan di Singapura. Ketika mendapat keputusan peperiksaan pangkat dua, tiada orang yang mempercayai semangat dan kebolehan yang beliau ada.

“Kawan-kawan saya, cikgu saya, termasuk ibu saya tidak yakin saya boleh berjaya dalam bidang akademik. Mereka give up.

Saya ingat lagi, lepas dapat pangkat dua saya melompat, menari berjoget sebab gembira. Saya nak sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi mak kata, duduk rumah je jaga adik-adik.

“Ya, saya ada 10 adik beradik. Dan menjadi anak ke-dua memikul satu tanggungjawab besar seperti seorang ibu. Saya memasak. Menggiling rempah, membasuh pakaian adik-adik dengan tangan dan macam-macam lagi kerja rumah. Hanya seorang yang percayakan saya dan menjadi sebab serta semangat saya waktu itu. Arwah ayah!.” Imbas Rohani.

Di taman Gunung Faber Singapura, lokasi kesukaan ayah membawa Rohani dan anak-anaknya, di situlah Rohani meluahkan impian menjadi jururawat dengan alasan sukakan uniform semata-mata. Pada era itu, tidak ramai wanita Melayu mahu bergelar jururawat malah, kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka menjadi jururawat.

“Ayah senyap seketika, memandang saya dalam-dalam sebelum melemparkan senyuman manis dengan kata-kata penuh hikmah dan kasih. Kamu boleh jadi nurse, tapi bukan nurse biasa. Kamu mesti jadi Profesor Hjh Rohani Arshad!

“Dan hari ini, selepas 44 tahun mengejar cita-cita, saya berjaya menunaikan janji saya kepada arwah ayah. Walau pun dia tak sempat lihat, tapi sekurang-kurangnya masa saya mendaftar jadi jururawat dulu dia masih ada dan melihat saya bertugas sebagai apa yang saya mahu dahulu,” katanya dengan air mata berlinang.

Usahawan berjaya

Sejak 2007, beliau bersama kawan rapatnya telah menubuhkan sebuah syarikat training, Nursing Professional Group Sdn Bhd yang bermotokan From Nurses To Nurses.

Syarikat ini adalah perintis dan satu-satunya yang berdaftar dengan HRDF Malaysia. Sebagai pengerusi eksekutif, bidang tugasnya adalah menjayakan program yang bermutu.

“Falsafah saya adalah dengan menjadikan ilmu pengetahuan sebagai kuasa. Dan ilmu pengetahuan itu perlu dikongsikan bagi memperkasakan orang lain. Saya mahu mendidik dan menyeru jururawat di Malaysia mempelbagaikan skil dan mempertingkatkan mutu pengetahun. Tidak kira samada di bidang akademik mahupun perkhidmatan.

"Kini ramai jururawat yang telah bergelar Professor, Pro Canselor, Dekan dan pensyarah yang berpendidikan tinggi tapi mereka ini berada di universiti dan kolej.

Visi saya ingin melihat jururawat di kawasan klinikal juga mempunyai pendidikan universiti, agar dapat memberi rawatan kejururawatan selari dengan profesyen lain. Dengan mewujudkan syarikat ini, ramai lagi yang akan dimotivasikan untuk keluar dari comfort zone mereka dan pergi jauh ke depan.

Ditanya rutin hariannya yang tentu sekali sibuk dengan program-program akademik seperti conference dan sebagainya, Rohani berkata; sebagai jururawat beliau menjalani kehidupan yang seimbang dan perlu bijak menguruskan masa.

“Semasa saya buat PhD, saya juga kerja sepenuh masa di MAHSA sebagai Pengarah, Post Graduate Studies Centre, pengerusi syarikat, menjalankan bengkel di seluruh Malaysia, menulis buku, sukarelawan dengan PERKIM dan masjid.

"Sebelah petang dan malam saya mempelajari tajwid dan tafsir Al Qu’ran. Magrib dan Ishak saya suka ke masjid. Namun, saya tak lupa kepada suami (40 tahun berkahwin) Hj Che Omar, Kaum keluarga, sahabat handai dan  jiran tertangga yang juga perlu perhatian dan kasih sayang.

“Sibuk macam mana pun kita, kita jugalah yang menyusun jadual harian sendiri. Kita mesti memastikan kehidupan kita seimbang, berkesan dan berkat," katanya mengakhiri temubual kami.


sumber: sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment