Pages

Sunday, 21 September 2014

SPA Terima 1.4 Juta Permohonan Sejak Januari-Ogos

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menerima 1.4 juta permohonan untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Setiausahanya Datuk Ramli Juhari berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 115,007 orang dipanggil menghadiri temu duga dan 21,381 calon dilantik menjawat beberapa jawatan.

Beliau berkata setakat ini 15,737 calon yang dilantik adalah Melayu, 1,531 (Cina), 1,180 (India), 1,300 (Bumiputera Sabah), 1,160 (Bumiputera Sarawak) dan 473 (lain-lain).

Ramli berkata pihaknya menjangkakan hingga akhir Disember tahun ini jumlah permohonan akan meningkat kepada 2.5 juta permohonan berbanding tahun lepas dengan jumlah permohonan 2.2 juta.

"Kita lihat trend permohonan calon meningkat setiap tahun. Dengan adanya kempen yang dibuat oleh SPA, minat terhadap perkhidmatan awam sangat tinggi," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pelantikan dan Urusan Perkhidmatan Awam di Pusat Temu Duga SPA di sini hari ini.

Ramli berkata pihaknya akan membuat lantikan sebanyak 60,000 hingga 70,000 pemohon berdasarkan kekosongan dan jumlah persaraan kakitangan awam dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya tahun lepas SPA membuat lantikan 60,059 orang dengan 45,392 adalah calon berbangsa Melayu, 2,901 (Cina), 2,018 (India), 4,478 (Bumiputera Sabah), 4,083 (Bumiputera Sarawak) dan 1,187 (lain-lain).

Sementara itu, beliau berkata calon yang dipanggil temu duga perlu melakukan persiapan dengan baik bagi membolehkan mereka lulus dan layak untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.

"Kita sediakan kursus percuma kepada calon untuk sesi temu duga kerana ia mustahak. Kita lihat sebelum ini calon mempunyai akademik amat baik tetapi gagal pada sesi temu duga," katanya.

Mengenai peperiksaan SPA secara dalam talian, beliau berkata masalah teknikal yang berlaku adalah perkara biasa dan pihaknya berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki masalah sistem dengan cepat bagi membolehkan calon dapat menjawab soalan yang disediakan.

"Kita prihatin beri peluang kali kedua kepada calon Penguasa Kastam untuk menjawab soalan pada 10 Sept lepas dan 30,000 calon lulus," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment