Pages

Friday, 17 October 2014

Bonus Kakitangan Awam Akan Dibayar Bersama Gaji Januari - KSN


PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Bonus kakitangan awam yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2015 minggu lalu akan dibayar bersama gaji Januari 2015, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata bonus berkenaan tidak boleh diawalkan atau dibayar pada tahun ini atau tahun sebelumnya.

"Bonus ini diluluskan dalam Bajet 2015. Jadi kalau kita lihat dari segi peraturan kewangan ia sepatutnya bermula (dibayar) pada 1 Jan 2015.

"Bonus akan masuk dalam gaji bulan Januari," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Isnin supaya kerajaan membuat pembayaran bonus kepada penjawat awam pada 15 Dis, dan bukannya Januari depan.

Presiden Cuepacs Azih Musa berkata langkah itu bagi membolehkan penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak sekaligus meringankan beban kewangan mereka.

"Memandangkan musim baharu persekolahan bermula pada Januari, kita minta supaya bayaran bonus dibuat lebih awal iaitu pada 15 Dis untuk membantu ibu bapa menyediakan persiapan persekolahan anak-anak," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2015 pada Jumaat lepas, mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, kepada kira-kira 1.5 juta penjawat awam pada Januari.

Pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment