Pages

Wednesday, 16 September 2015

Kerajaan Sasar Bina 70,000 Unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)

Kerajaan Sasar Bina 70,000 Unit PPA1M Tahun Depan - KSN


PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan untuk membina 70,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 30,000 unit rumah PPA1M termasuk 13,362 unit di Putrajaya sedang dalam proses pembinaan sejak projek itu dilancarkan pada 2013.

"Saya tadi baharu sahaja mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan PPA1M dan mesyuarat telah meluluskan untuk membina 70,000 unit rumah pada tahun 2016.

"Dengan melihat kemajuan projek pembinaan PPA1M, saya yakin sasaran 100,000 unit dibina menjelang Disember 2015 dapat dicapai sepertimana hasrat kerajaan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek PPA1M Larai di Presint 16, di sini hari ini.

Pada April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membina 100,000 unit kediaman di bawah PPA1M di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ali merangkap pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berkata kerajaan sentiasa berusaha dengan memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memastikan kakitangan awam dapat membeli kediaman dengan harga berpatutan.

"Kediaman PPA1M yang berkeluasan antara 1,000 sehingga 1,500 kaki persegi dijual kepada penjawat awam dengan harga antara RM150,000 sehingga RM300,000 dan di bawah nilai pasaran semasa iaitu RM700,000," jelasnya.

Mengulas mengenai tinjauan, Ali berkata status kemajuan fasa satu projek PPA1M siap antara 20 hingga 30 peratus dan dijangka 6,000 unit siap menjelang hujung tahun hadapan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment