Pages

Monday, 21 December 2015

Jururawat dan aurat

Wartawan Sinar Harian

8 Disember 2015

Johari Yap

PROFESION kejururawatan adalah satu pekerjaan yang mulia; sama ada di klinik, hospital mahupun di rumah-rumah. Adalah sukar bagi seorang doktor melakukan tugas tanpa bantuan seorang jururawat. Setiap prosedur atau rawatan yang dilakukan ke atas pesakit memerlukan bantuan jururawat.

Baru-baru ini, berita mengenai seorang jururawat beragama Islam yang dibuang kerja serta dikenakan amaran kompaun sebanyak RM5,000 kerana enggan patuh pada kod pakaian jururawat telah mengejutkan banyak pihak.

Insiden ini tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara, di mana Islam adalah agama rasmi. Penjelasan pengurus kewangan dan pentadbiran sebuah hospital bahawa Naziah Sauni Samat ditamatkan perkhidmatan sebagai

jururawat disebabkan tidak hadir bekerja selama dua hari tanpa sebab bukanlah alasan yang jujur dan kukuh untuk menghalalkan tindakan tersebut.

Hospital swasta tersebut mengatakan bahawa sejak tahun 1989 peraturan hospital dan etika pemakaian seragam untuk semua kakitangan adalah memakai kemeja berlengan pendek. Menurut mereka lagi, jururawat beragama Islam lain yang bertugas tidak mempunyai masalah memakai kemeja berlengan pendek dan ini adalah isu disiplin, bukannya isu agama.

Syabas kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, yang menjamin untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai isu ini. Menurut beliau, semua hospital di bawah Kementerian Kesihatan mewajibkan jururawat beragama Islam menutup aurat dan arahan ini turut diguna pakai untuk hospital swasta.

Alasan peraturan pemakaian seragam berlengan pendek untuk mengelakkan jangkitan kuman pada pesakit serta memudahkan kerja juga tidak dapat diterima kerana hospital-hospital kerajaan tidak pula mempunyai masalah jangkitan kuman walaupun jururawat mereka bertudung dan berlengan panjang.

Malah, jururawat di rantaian hospital swasta KPJ dan beberapa hospital swasta lain juga membenarkan pemakaian lengan panjang dan tudung.

Adakah benar baju berlengan pendek mengurangkan kadar jangkitan? Walaupun pemakaian lengan panjang acap kali dikaitkan dengan jangkitan kuman, tiada bukti saintifik yang mengesahkan bahawa pemakaian baju lengan pendek pula dapat mengurangkan jangkitan kuman.

Malahan, menurut satu kajian di University of Colorado Hospital di Aurora, Amerika Syarikat, yang diterbitkan oleh Journal of Hospital Medicine pada tahun 2011, pemakaian baju berlengan pendek tidak sedikit pun membantu menghalang jangkitan kuman kerana pakaian mereka masih tetap tercemar dengan kuman.

Sebenarnya, pemakaian lengan panjang langsung tidak menjadi masalah selagi jururawat tersebut pandai menjaga kebersihan diri. Mungkin sesetengah prosedur memerlukan tahap steril yang tinggi, contohnya mencuci luka atau prosedur yang boleh membawa jangkitan kuman kepada pesakit; maka keadaan ini mengharuskan mereka menyingsing lengan baju hingga ke siku tetapi selepas selesai prosedur tersebut, lengan baju bolehlah dibuka kembali.

Isu jururawat dan aurat ini bukan perkara baru. Sinar Harian pada 18 Jun 2013 melaporkan, kerajaan negeri Pahang akan menyiasat dakwaan kononnya mereka yang ditemu duga untuk jawatan jururawat di sebuah hospital di Kuantan terpaksa menanggalkan tudung sekiranya mahu diterima bekerja.

Pakaian menutup aurat merupakan hak peribadi seorang yang beragama Islam termasuk yang bekerja sebagai jururawat. Telah banyak negara bukan Islam yang membenarkan jururawat dan doktor wanita beragama Islam menutup aurat sejak sekian lama tanpa sebarang masalah.

Jabatan Kesihatan United Kingdom, pada tahun 2010, telah memberikan kebenaran kepada doktor dan jururawat wanita beragama Islam untuk memakai tudung dan baju berlengan panjang. Manakala Hospital Ontario di Kanada, pada tahun 2013, telah mengeluarkan iklan memaparkan seorang wanita Islam berhijab dalam satu kempen mendapatkan doktor dan jururawat dengan tagline, We don't care what’s on your head, we care what’s in it.

Hakikatnya, diskriminasi sebegini sememangnya masih berlaku di Malaysia dan tidak terhad di hospital sahaja. Semoga semua yang ingin menutup aurat mengikut syariat, bukannya memakai tudung tetapi berbaju lengan pendek, mendapat jalan keluar dari permasalahan mereka.

Tiada masalah yang tiada jalan keluar. Bumi ALLAH luas. Jika majikan berdegil, pilihlah hospital atau klinik yang membenarkan pemakaian patuh syariah atau pilihlah pekerjaan yang lain kerana apa pun alasan kita, hanya reda ALLAH yang kita cari.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


SUMBER: SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment