Pages

Monday, 7 December 2015

PPIM Gesa Jakim, KKM Keluarkan Garis Panduan Pakaian Jururawat Muslim

foto hiasan: Foto Harian Metro

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan digesa supaya mengeluarkan garis panduan yang jelas berkenaan pemakaian jururawat beragama Islam di hospital kerajaan dan swasta negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata ini berikutan terdapat banyak aduan berkenaan diskriminasi terhadap jururawat beragama Islam yang melarang kakitangannya mengenakan pakaian menutup aurat.

"Kita menerima 20 aduan berkenaan isu yang sama dalam masa setahun. Masalah ini tidak wajar dibiarkan berterusan kerana melibatkan diskriminasi kepada golongan muslimah di negara ini," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Seorang jururawat di hospital swasta, Naziah Sauni Samat, 24, yang hadir pada sidang media itu mendakwa beliau diberhentikan kerja setelah enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek.

Katanya, arahan supaya mengenakan pakaian seragam itu dikeluarkan selepas dua bulan dia bertugas di hospital swasta tersebut atas faktor kebersihan.

"Saya telah dimarahi dan dihalau dari hospital berkenaan, malah saya juga tidak boleh mendapat pekerjaan baharu kerana Sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) saya ditahan oleh pihak hospital itu dan terikat dengan kontrak selama setahun," katanya.

Dakwanya lagi, dia turut dilarang memasuki kawasan hospital dan tidak dibenarkan melakukan sebarang tugas sekiranya tidak mengenakan baju berlengan pendek.

"Pihak pengurusan juga memberikan amaran bahawa saya akan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 kerana melanggar kontrak," katanya.

Gadis berkelulusan Diploma Kejururawatan itu sebelum ini bertugas di sebuah klinik sebelum bekerja di hospital swasta berkenaan pada 1 Sept lepas, sekembalinya dia dari Jepun sebagai jururawat peribadi selama setahun empat bulan.

Naziah berkata susulan kejadian itu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, di sini pada 24 Nov lepas.

-- BERNAMA

2 comments:

  1. Kalu la uniform putih skrg ni boleh ditukar pd bju yg lbih simple n xterang... juga ttup aurat..skdr dr hati..

    ReplyDelete
  2. Kalu la uniform putih skrg ni boleh ditukar pd bju yg lbih simple n xterang... juga ttup aurat..skdr dr hati..

    ReplyDelete