Pages

Wednesday, 11 May 2016

Siti Najiha terima penghargaan

Sikap prihatin penuntut bidang jururawat membantu mangsa kemalangan perlu dicontohi

ABD. RAZAK OSMAN  |  09 Mei 2016 4:00 PM

 
M. RAVICHANDRAN menyampaikan surat penghargaan kepada Siti Najihah

M. RAVICHANDRAN menyampaikan surat penghargaan kepada Siti Najihah Hamid dalam satu majlis di Universiti Aimst di Bedong, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

SIKAP prihatin seorang penuntut Diploma Jururawat Universiti Aimst, Siti Najihah Hamid, 21, yang membantu seorang mangsa kemalangan telah mendapat penghargaan daripada Naib Canselor universiti itu, Prof. Dr. M. Ravichandran dalam satu majlis di Jalan Bedong, Merbok, Kedah, baru-baru ini.

Surat penghargaan itu diberikan kepada penuntut dari Ambangan Height, Sungai Petani ini setelah dia membantu seorang lelaki yang cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan jalan raya berhampiran sebuah masjid tidak jauh dari universiti itu pada 30 Mac lalu.

Pelbagai pihak memuji tindakan yang diambil oleh Siti Najihah setelah ia diviralkan melalui laman sosial Facebook.

“Kebetulan saya sampai di tempat itu dan melihat sendiri seorang lelaki India cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan dengan sebuah lori.

“Pada mulanya, rasa takut juga dan memikirkan satu tanggungjawab untuk menolong orang susah, saya terus tampil membantu,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat penghargaan itu.

Menurutnya, sebagai seorang penuntut dalam bidang jururawat, dia perlu melakukan pertolongan seumpama itu di peringkat awal lagi tanpa mengira kedudukan seseorang, termasuk kaum atau agama masing-masing.

“Kerjaya sebagai seorang jururawat akan terus dipandang mulia di mana-mana sahaja jika seseorang itu pandai menyesuaikan diri.

“Sebagai penuntut tahun akhir, saya perlu prihatin dengan setiap masalah yang dihadapi oleh pesakit dan tak sangka pula, pertolongan saya itu rupa-rupanya mendapat perhatian pihak pengurusan Universiti Aimst,” katanya lagi.

Ketika berucap dalam majlis itu, Ravichandran berkata, tindakan diambil oleh Siti Najihah perlu dicontohi oleh pelajar-pelajar yang lain.

“Inilah cara terbaik yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia, membantu mereka yang berada dalam pelbagai keadaan, termasuk kemalangan jalan raya.

“Hanya mereka yang prihatin sahaja mampu membuat kebajikan seumpama ini, sebaliknya mereka yang tidak ada sikap prihatin hanya bersikap lepas pandang begitu sahaja,” katanya.

Sumber--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment