Pages

Thursday, 25 August 2016

Tarikan gaji lumayan

Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

 
Sekali pandang, gambar ini bagaikan dirakam di hospital Malaysia kerana jururawatnya berwajah Melayu - kecuali seorang mek salih.

Sebenarnya ini pemandangan biasa di Security Forces Hospital, Riyadh, Arab Saudi yang mengupah jururawat dari 31 negara untuk berkhidmat di hospital berkenaan.

Tawaran gaji lumayan, peluang mengembara di negara orang dan pada masa sama dapat meningkatkan kepakaran sebagai jururawat menjadi tarikan kepada mereka bertugas di Arab Saudi walaupun terpaksa berjauhan dengan orang tersayang.

Minggu ini Nuansa menyelami kisah suka duka tiga jururawat dari Malaysia yang berkhidmat di negara Teluk itu.

 
Antarini Karimun

Semuanya bermula 10 tahun lalu apabila Antarini, 56, yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di Malaysia mendapat tawaran bekerja di Security Forces Hospital, Riyadh.

“Gaji yang ditawarkan agak lumayan iaitu lebih tiga kali ganda berbanding di tanah air.

“Selepas berbincang dengan suami serta mengambil kira kebaikan dan keburukan, akhirnya saya memutuskan ke Arab Saudi. Selain dapat meningkatkan ekonomi keluarga, saya juga berpeluang menambah ilmu dan kepakaran sebagai jururawat bilik bedah,” katanya.

Beliau berkata, secara amnya, penyakit berada di mana saja tidak kira negara manakala rawatan yang disediakan pula tidak jauh berbeza.

“Justeru, tidaklah sesukar mana bertugas di sini kecuali peralatan yang digunakan lebih canggih dan jururawat perlu mahir dalam bahasa Arab dan Inggeris,” katanya.

Menurutnya, gaji jururawat di Arab Saudi berdasarkan gred yang bermula daripada gred satu sebanyak RM14,000 sebulan, gred dua (RM10,000) dan gred tiga (RM8,000).

Katanya, semua jururawat dari Malaysia diberi gred satu atau dua, manakala gred tiga biasanya untuk jururawat dari Filipina, India dan beberapa negara lain.

Bagi yang bernasib baik, katanya, mereka boleh mendapat gred khas yang gajinya mencecah RM25,000 sebulan.

Antarini berkata, persediaan mental dan fizikal perlu dititikberatkan bagi menyesuaikan diri bertugas di negara orang.

“Antara cabaran dihadapi jururawat luar negara di Arab Saudi ialah terlalu rindukan kampung halaman atau kejutan budaya.

“Kami bekerja bersama jururawat dari 31 negara berlainan, jadi budaya serta ideologi masing-masing pasti berbeza,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan di Riyadh, Antarini berkongsi sebuah vila yang selesa bersama tiga jururawat lain dengan bil air dan elektrik percuma.

“Saya boleh menabung dan meminimumkan perbelanjaan kerana rumah sewa (vila) lengkap dengan perabot manakala pengangkutan untuk ke tempat kerja juga percuma.

“Pada waktu cuti atau masa lapang, saya dan rakan senegara akan menghabiskan masa menyediakan masakan Malaysia. Malah, kami beberapa kali berpeluang melakukan ibadah umrah bersama,” katanya.

Mengenai budaya masyarakat Arab, beliau berkata tidak semua mereka bersikap kasar seperti didakwa.

“Perangai dan tingkah laku kasar tidak mengira bangsa dan warna kulit. Ia berdasarkan individu, bukan keturunan. Saya boleh katakan majoriti orang Arab di sini bertimbang rasa,” katanya

 
Shahnaz Mohamed

Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di Arab Saudi, Shahnaz, 34, cukup sayu kerana terlalu merindui dua anaknya yang masih kecil.

Apa tidaknya, ketika itu anak sulungnya baru berusia dua tahun, manakala anak kedua pula setahun. Ibu mana yang mampu berpisah dengan keluarga tersayang, namun dia menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.

Menurut bekas jururawat itu yang pernah bertugas selama lapan tahun di King Abdul Aziz Medical City, Riyadh, walaupun perit, beliau perlu menggagah diri selepas melihat peluang yang terbentang di depan mata.

Beliau mengakui tawaran gaji lumayan menjadi sebab ramai jururawat dari pelbagai negara mahu mendapat tempat bekerja di Arab Saudi.

“Walaupun jururawat di Arab Saudi dari pelbagai negara, jururawat Malaysia mendapat keutamaan kerana selain boleh berbahasa Inggeris, kami juga mahir dalam tugas kejururawatan,” katanya.

Beliau yang ditempatkan di Klinik Kardiologi (Jantung) Pediatrik berkata, beberapa tugas perlu digalas bukan saja membantu pesakit, malah melancarkan tugas doktor.

“Selain menjalankan ekokardiogram iaitu prosedur mengimbas jantung bayi bagi mengesan punca penyakit, saya juga ditugaskan memberi ubat pelali kepada pesakit.

“Disebabkan pesakit adalah bayi dan kanak-kanak, penjagaan mereka perlu lebih rapi. Setiap lima minit, jururawat perlu memantau pesakit,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman menguruskan pesakit yang majoriti berbangsa Arab, Shahnaz berkata, batasan komunikasi antara cabaran yang perlu dihadapi.

“Rata-rata orang Arab Saudi boleh bertutur bahasa Inggeris tapi ada sesetengah daripada mereka terutama dari pedalaman hanya boleh berbahasa Arab.

“Selepas beberapa tahun di sana, saya mula mahir berbahasa Arab kerana dibantu doktor dan jururawat lain yang boleh berbahasa Arab,” katanya.

Berpeluang menyelami dan mempelajari perbezaan budaya dan karakter dari pelbagai negara menjadikan Shahnaz lebih menghargai asal usulnya.

“Hanya saya seorang warga Malaysia bertugas di unit berkenaan. Rakan sekerja lain dari Australia, Arab Saudi, Filipina dan United Kingdom.

“Saya berkesempatan mempelajari budaya orang menyebabkan saya lebih kenal dan faham mengapa karakter dan tingkah laku mereka berbeza dengan kita, namun tidak pula saya terikut budaya mereka,” katanya.

Katanya, sesetengah orang Arab mungkin kasar, namun sifat itu segera berubah apabila beliau memberi penerangan dengan sopan dan lemah lembut.

“Biasanya orang Arab dari pedalaman lebih kasar tapi golongan terpelajar dan sudah terbiasa dengan budaya orang luar lebih sopan.

“Ada ibu bapa enggan memberi ubat kepada anak mereka selepas disuruh jururawat tapi saya enggan berbalah, sebaliknya merujuk kepada doktor. Kebanyakan doktor orang Arab, jadi lebih mudah untuk mereka faham,” katanya.

Shahnaz turut mengakui teknologi perubatan di Arab Saudi lebih canggih berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kenangan paling manis dalam hidupnya ketika bertugas di Arab Saudi ialah dapat mengerjakan umrah selama beberapa kali.

“Sangat mudah untuk pergi mengerjakan umrah kerana jarak Riyadh dengan Tanah Suci Makkah dan Madinah tidak terlalu jauh.

“Dalam setahun saya dapat mengunjungi Tanah Suci beberapa kali dan belanjanya jauh lebih rendah berbanding melalui tanah air,” katanya.

 
Nordinahwati Udin

Walaupun cuma tiga tahun, bagi Nordinahwati, 38, pengalaman bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi sukar dilupakan.

Bertugas di Unit Rawatan Jantung di Saad Specialist Hospital di Al Khobar, Dammam dari tahun 2006 hingga 2009, beliau mempunyai kisah sendiri sebelum ke negara itu.

“Secara jujurnya sewaktu permohonan saya untuk bekerja di Arab Saudi diluluskan, saya cukup teruja kerana sudah lama menyimpan hasrat ke sana.

“Sebelum itu memang saya berhasrat bertugas di sana tapi ibu tak izinkan menyebabkan saya terpaksa akur.

“Tetapi pada 2006, apabila ibu beri kebenaran, saya tidak lepaskan peluang itu. Saya tidak nafikan rindu kepada keluarga terutama ibu, namun tidaklah sampai ‘home sick’ kerana bertugas di hospital itu memang seronok.

Niat untuk menambah pengalaman di negara orang, Nordinahwati yang kini masih bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Lembah Klang berkata, gaji ditawarkan turut menjadi daya penariknya ke Arab Saudi.

“Gaji yang ditawarkan berbeza mengikut unit dan pengalaman. Ketika di sana saya ditawarkan gaji RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Selain menghantar sebahagian gaji kepada keluarga, saya dapat berbelanja dan membeli-belah kerana perbelanjaan harian kebanyakannya ditanggung pihak hospital.

“Tempat tinggal walaupun di luar hospital diberikan percuma termasuk pengangkutan,” katanya.

Nordinahwati bagaimanapun membuat keputusan pulang ke Malaysia selepas ibunya sakit, namun pengalaman di negara orang banyak merubah dirinya.

“Selepas bekerja di negara orang saya jadi lebih rasional dan matang kerana melihat dan belajar perbezaaan budaya menjadikan kita menerima kepelbagaian manusia.

“Kita lihat orang Arab kasar tapi pada mereka itu biasa kerana ia budaya mereka. Jadi apabila dapat memahaminya, tugas kita jadi mudah.

“Sebab itu saya lebih banyak mendengar daripada menyuarakan pendapat secara lantang. Apabila memahami kenapa seseorang bersikap begitu, lebih mudah kita bertolak ansur dan membuka minda.

“Kalau jururawat Malaysia ingin mengumpul pengalaman terutama mereka yang masih muda, jangan ragu-ragu ke Arab Saudi tapi pastikan bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:44 PM


Sumber: HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment