Pages

Sunday, 15 October 2017

Persidangan bantu tingkat mutu kerja jururawat

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
9 OKTOBER 2017

Antara yang menyertai persidangan berkenaan.

SUNGAI PETANI - Dalam usaha meningkatkan mutu kerja profesion jururawat, seramai 50 peserta terdiri jururawat dan kakitangan  dari klinik swasta di wilayah utara dipilih menyertai Persidangan Kejururawatan dan Latihan 2017.

Program itu diadakan di Hospital Pakar Amanjaya Sungai Petani, baru-baru ini, melibatkan peserta dari tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis anjuran Fakulti Profesi Kesihatan Bersekutu dengan kerjasama Hospital Pakar Amanjaya serta Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST Universiti) dari Merbok di sini.

Pengerusi persidangan itu, Dr Tan Poh Teng berkata, profesion kejururawatan merupakan antara penyumbang besar dalam bidang perubatan, khususnya merawat dan memantau keadaan pesakit di klinik mahupun hospital.

“Melalui persidangan yang juga melibatkan penyertaan petugas di Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM), ia akan memberi pengetahuan kepada peserta bagi meningkatkan mutu kerja masing-masing.

“Persidangan kejururawatan juga menjadi platform mendedahkan perkembangan bidang perubatan dari sudut teknologi dan kemajuan ubat-ubat dalam merawat penyakit,” katanya.

Sementara, Pengarah Urusan Hospital Pakar Amanjaya, Dr Tan Chiang Hooi berkata, pihaknya berbangga dapat menganjurkan satu persidangan yang menyediakan peluang untuk peserta meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme kerjaya jururawat.

“Dalam pada itu, masing-masing dapat berkongsi pandangan dan pengalaman untuk manfaat bersama,” katanya.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment