Pages

Tuesday, 29 October 2019

Efinair lancar jet persendirian perubatan pertama pada Januari 2020


Tarikh kemaskini: 24/10/2019

KUALA LUMPUR, 24 Okt -- Efinair MyJet International Sdn Bhd (Efinair) akan melancarkan jet persendirian perubatan pertama bagi pelancongan perubatan dan komuniti penjagaan kesihatan Malaysia pada Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Efinair Muhammad Fadzil Abdullah berkata matlamatnya adalah untuk menyediakan akses segera kepada pelbagai jet yang mempunyai kakitangan terdiri daripada jururawat dan paramedik berkelayakan tinggi yang boleh memberikan penjagaan menyelamatkan nyawa semasa dalam penerbangan.

"Saya yakin pelancaran jet persendirian perubatan ini di Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara yang sangat baik untuk memenuhi peningkatan jumlah pesakit asing di negara ini.

"Pesakit asing yang mendapatkan penjagaan perubatan dan rawatan kesihatan di Malaysia, berpotensi membelanjakan berjuta-juta bagi onkologi, rawatan kanser dan jantung, pintasan arteri koronari, rawatan sel stem, pemeriksaan kesihatan, pintasan gastrik, gigi palsu implan, facelift, rhinoplasty dan lain-lain, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memandangkan pesakit asing juga dapat membelanjakan berjuta-juta bagi perjalanan dan bersiar-siar untuk lawatan perubatan ini, beliau berkata potensi pertumbuhan tahunan sebanyak 40 peratus dalam tahun-tahun mendatang adalah diramalkan, kerana lebih ramai pesakit asing akan mendapatkan rawatan di luar negara pada masa akan datang di Malaysia.

Muhammad Fadzil berkata oleh kerana Malaysia menduduki ranking pertama dalam International Living Annual Global Retirement Index 2019 kategori Dunia, ini akan menarik pesakit asing seperti dari Timur Tengah, Brunei, Indonesia, China dan Filipina untuk mendapatkan rawatan di negara ini,

Ini akan memastikan Malaysia dikenali sebagai destinasi pelancongan perubatan dan pada dasarnya akan memudahkan pertumbuhan ekonomi negara, katanya.

Pada 11 Okt, semasa pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia akan menganjurkan Malaysia Year of Healthcare Travel 2020 untuk memantapkan kedudukan utama negara sebagai destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

Lim berkata pelancongan perubatan adalah sektor yang berkembang pesat di Malaysia, berkembang 17 peratus setiap tahun dari 2015 hingga 2018 dan menjana pendapatan hasil sebanyak RM1.5 bilion daripada 1.2 juta pelancong penjagaan kesihatan, tahun lepas.

"Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan di ASEAN untuk rawatan onkologi, kardiologi dan kesuburan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment