Pages

Saturday, 16 May 2020

Hargai perjuangan wira negara melalui lukisan



16/05/2020 11:50 AM

Oleh Siti Fauziah Hasan dan Anis Nabilla Md Wazilah

KUALA LUMPUR, 16 Mei  -- Sejak dunia dilanda pandemik COVID-19, pelbagai medium digunakan untuk meluahkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan hadapan yang 'bermandi peluh' mengekang penularan ‘pembunuh dalam diam’ tidak mengenal umur, jantina dan kelas sosial itu.

Paling menonjol, medium ‘anime’ dan karikatur yang melonjakkan nama 'Artotoise’. Selain menggunakan figura Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mereka turut menjadikan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebagai ikon utama dalam karya mereka.

Malah, selain karikatur Dr Noor Hisham, ramai juga biasa melihat ilustrasi comel dan menarik Artotoise berkaitan situasi semasa penularan COVID-19 di negara ini yang turut dikongsikan melalui laman sosial Majlis Keselamatan Negara dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Mendapat ribuan perkongsian dan tanda suka setiap kali karya mereka dimuat naik di laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram, Artotoise yang dinaungi tiga individu, Mohd Ikhsan Kamarudin, 36, Mohd Ikhwan Kamarudin, 30, dan Nur Sarah Adilin Mohd Darus, 35, pada awalnya tidak menyangka karya mereka mendapat perhatian masyarakat.

“Memang kami banyak menghasilkan karya yang memaparkan tokoh negara, terutama sekali dalam menentang wabak COVID-19, Dr Noor Hisham adalah figura yang sangat disegani, jadi kami cuba untuk tonjolkan pengorbanan dilakukan beliau.

"Kami juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan COVID-19 dengan cara yang paling mudah,” demikian kata Mohd Ikhsan kepada Bernama ketika ditanya konsep utama dalam karya mereka.

Menurut beliau, penceritaan dalam bentuk komik atau karikatur akan mudah difahami bukan sahaja golongan dewasa malah orang muda juga.

“Jika melalui maklumat yang panjang, mungkin orang malas nak baca jadi dengan karya ini yang tidak terlalu serius, orang akan 'enjoy' dan memudahkan mereka memahami mesej yang ingin disampaikan kepada setiap golongan masyarakat," katanya dan menambah karya mereka dibuat melalui platform digital.

Hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit bagi menghasilkan sesuatu karya, pemegang Diploma Mekanikal Kolej Kemahiran Tinggi MARA itu berkata, mereka menjadikan kartunis Lat dan Zunar sebagai inspirasi dan bahan rujukan bagaimanapun, masih mengekalkan identiti sendiri dalam hasil lakaran.

Dalam pada itu, Mohd Ikhsan berkata nama Artotoise tercetus melalui nama kura-kura dan ditukar dalam bahasa Inggeris sebagai Tortoise, ini kerana kura-kura mempunyai ceritanya tersendiri dan sering digambarkan perlahan tetapi tetap berjaya.

Seorang lagi pelukis Ima Amalina Abd Khalip, 32, yang melakarkan potret Dr Noor Hisham sehingga tular di media sosial berkata lukisan menggunakan pensil arang itu dihasilkan sebagai tanda terima kasih atas sumbangan orang kuat KKM itu.

"Saya tertarik untuk melukis gambar Dr Noor Hisham kerana peribadi baiknya, tambahan beliau satu sekolah dengan saya iaitu alumni Kolej Islam Sultan Alam Shah (dulu dikenali sebagai Kolej Islam Klang),” kata pembantu penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata beliau menyimpan hasrat untuk menyerahkan lukisan berkenaan kepada doktor yang dinamakan antara terbaik di dunia oleh China Global TV Network (CGTN) itu suatu hari nanti.

Menyingkap penglibatannya dalam seni lukis, Ima Amalina berkata beliau mula mengetengahkan hasil karyanya di laman sosial Instagram @iamimaamalina selepas menjalani pembedahan otak pada 2013.

Menurutnya, di awal pembabitan beliau hanya mempunyai kira-kira 10 pengikut di Instagram bagaimanapun ia mula bertambah apabila beliau mula melukis potret artis-artis terkenal antaranya Neelofa, Lisa Surihani dan Nora Danish.

“Biasanya, lukisan yang dihasilkan bergantung kepada gambar rujukan dan saiz yang ingin saya lukis, lebih besar lukisan mungkin ambil masa berhari-hari, tetapi untuk saiz A4 atau A3 saya boleh siapkan dalam masa sehari,” katanya yang minat melukis sejak berusia lima tahun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment