Pages

Wednesday, 14 May 2014

Jururawat kerjaya yang murni

 DUA jururawat memberi layanan mesra kepada salah seorang pesakit di Hospital Pakar KPJ Seremban.
 
SEREMBAN 12 Mei - Apabila dikaitkan dengan nama Florence Nightingale, umum terus melihat satu tarikh iaitu 12 Mei setiap tahun yang merupakan tarikh lahir seorang pengasas kejururawatan moden.

Individu ini dikatakan banyak melakukan pembaharuan kepada kejururawatan dan penjagaan kesihatan, malah secara drastik me­ngurangkan kadar kematian dalam kalangan tentera semasa Perang Krimea sekali gus pencetus hasil kerja keras, dedikasi dan latihan jururawat yang lain.

Perang Krimea, juga dikenali di Rusia sebagai Perang Timur (1853-1856) yang terjadi antara Empayar Rusia melawan sekutu yang terdiri dari Perancis, United Kingdom, Kerajaan Sardinia dan Empayar Uthmaniyyah.

Namun begitu, tarikh Hari Jururawat Sedunia ini telah beberapa kali berubah kerana tidak ada ketetapan yang dibuat sehinggalah pada bulan Januari 1974, satu badan telah membuat keputusan supaya sambutan itu diputuskan pada 12 Mei setiap tahun kerana ia adalah tarikh kelahiran Florence.

 Pengurus Unit Materniti Pakar KPJ Seremban, Nurhidayah Mat Said (empat dari kanan) memberikan taklimat tugasan harian kepada jururawat di wad Materniti Hospital Pakar KPJ Seremban.
 
Di negara ini, sambutan Hari Jururawat juga diadakan dan tentulah kerjaya jururawat itu cukup murni dan amat terpuji, apatah lagi individu yang terlibat tidak pernah beranggapan pesakit sebagai satu beban sebaliknya ia dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Jururawat senior Hospital Pakar KPJ Seremban, N. Bavani, 35, berkata, pekerjaan ini membuatkan dirinya lebih bermakna kerana dapat menyumbang bakti membantu insan yang sakit mahupun ditimpa musibah dalam kesihatan.

“Orang yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan tentulah mereka sedang sakit dan menjadi tanggungjawab kita mela­yan mereka dengan baik. Jika ada masalah, kita akan atasi dengan lembut.

“Bila kita seronok menjaga pesakit, mengambil tahu hal kesihatan mereka dan mesra, maka inilah yang akan dinilai oleh pesakit terhadap kerja yang telah kita lakukan. Apa yang penting pesakit merasa lega apabila bersama kami," katanya kepada Utusan Malaysia sempena Hari Jururawat di Hospital Pakar KPJ Seremban, di sini hari ini.

Dia yang telah 11 tahun dalam kerjaya ini berkata, detik paling menggembirakannya apabila pesakit melafazkan ucapan terima kasih dan itu adalah tanda kami jururawat dihargai.

Rakannya, Lim Tian Yin, 24 memberitahu, sejarah kejururawatan dunia jelas menunjukkan betapa kerjaya ini amat dihargai semua pihak.

“Saya puas apabila dapat membantu pesakit di hospital dan tiada istilah penat, tertekan atau hilang sabar dalam kerjaya ini. Bagi saya, senyuman adalah perkara utama yang dapat meringankan beban pesakit," ujar­nya yang telah tiga tahun menjadi jururawat.

Kata Tian Yin, dia sentiasa meletakkan dirinya dalam situasi pesakit dan apabila itu berlaku, ia akan menyedarkan diri kita betapa pesakit amat perlu dibantu.

“Bila pesakit terlantar, saya akan bantu. Begitu juga dengan pemberian ubat, semuanya perlu dibuat berhati-hati," katanya.

Sementara itu dua jururawat lelaki, Arishah Nur Iskandar Abu Bakar, 26, dan Muhammad Nizam Abd. Razak, 23 berkata, mereka juga boleh melakukan tugas yang dahulunya dimonopoli kaum wa­nita ini.

Kata Arishah Nur Iskandar, ja­ngan memandang rendah keupayaan lelaki dalam pekerjaan sebagai jururawat itu kerana sumbangan lelaki juga besar di wad-wad hospital.

“Saya lebih komited untuk berbakti kepada pesakit, malah dalam keadaan tertentu, jururawat lelaki amat diperlukan untuk mengangkat pesakit dan sebagainya," katanya yang telah berkhidmat selama lima tahun dalam kerjaya ini.

Tambahnya, jururawat pada hari ini juga bukan seperti dahulu kerana detik ini ia lebih memfokuskan kepada pengkhususan tertentu dan contohnya dia kini menjadi jururawat dalam wad yang ada kaitan dengan jantung dan kawannya, Muhammad Nizam dalam wad dialisis.

“Kita perlu menambah ilmu dan bermatlamat. Sebab itulah, jangan pandang rendah kerjaya jururawat ini, apatah lagi lelaki yang berkarier begini," katanya.

Jelas Muhammad Nizam, dia ju­ga menerima kritikan daripada rakan apabila mereka bertanya kerjayanya pada waktu ini.

“Mereka ketawakan saya kerana beranggapan itu kerjaya khusus untuk wanita. Tetapi hari ini saya berbangga, kerana kerjaya inilah yang membuatkan saya lebih dekat de­ngan pesakit dan membantu mereka yang memerlukannya. Ia kerjaya yang murni," ujarnya.

Di akhir perbualan ini, Bavani, Tian Yin, Arishah Nur Iskandar dan Muhammad Nizam ada ungkapan ini, 'Selamat Hari Jururawat kepada semua'.

sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment