Pages

Wednesday, 14 May 2014

Jururawat perlu ada empati

Suriate Mohammad (kiri) dan Vickneswary Mayandy (kanan) menjalankan tugas sebagai jururawat dengan penuh dedikasi.
 
Bekerja tidak tentu masa yang ada kalanya dalam keadaan tekanan terutama ketika melayan kerenah pesakit dan pada masa sama perlu memenuhi segala arahan doktor, membuatkan kerjaya sebagai jururawat tidak kurang mencabarnya.

Justeru setahun sekali sumbangan mereka dihargai melalui sambutan Hari Jururawat pada 12 Mei setiap tahun.

Tugas mereka bukan terhad kepada menjaga pesakit semata-mata, malah melalui kemahiran, pengalaman dan nilai empati yang ada dalam diri, peranan seorang jururwat juga kadang kala bagaikan seorang guru dan kaunselor kepada pesakit. 

Ada masa tertentu, mereka terpaksa bermain dengan emosi sendiri, gembira, sedih, cemas dan sebagainya, kerana sebahagian daripada tugas mereka berhadapan dengan 'nyawa' manusia. 

Ada ketikanya juga mereka melakukan kerja-kerja yang tidak semua orang mahu melakukan waima kepada ibu bapa sendiri, seperti membersih najis, nanah dan darah pesakit. 

Sebab itu, tidak semua orang mampu bergelar jururawat kerana kerjaya ini menuntut seribu macam pengorbanan dan cabaran. 

Ia juga bukan lagi kerjaya yang dipandang sebelah mata kerana sumbangan mereka kepada kelangsungan hidup pesakit sangat besar nilainya.

Bagi Jururawat Diabetik, Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Suriate Mohammad, 33, yang berkhidmat di Bahagian Perubatan dan Pembedahan mengakui, menyandang kerjaya jururawat sejak enam tahun lalu menuntut pengorbanan yang besar.

“Jururawat bukan sahaja bertugas untuk menjaga pesakit, malah kami juga ibarat tulang belakang doktor bagi membantu memudahkan urusan terutama dalam aspek penjagaan pesakit, menyediakan laporan pesakit, ubat-ubatan dan sebagainya.

“Berkhidmat di Bahagian Perubatan dan Pembedahan sejak enam tahun lalu, pesakit yang dimasukkan ke sini biasanya kategori mereka yang mempunyai masalah penyakit kritikal seperti diabetes, penyakit jantung, jangkitan kuman pada paru-paru dan baru menjalani pembedahan.

“Mereka yang dimasukan ke sini datang daripada latar belakang dan jenis penyakit yang berbeza. Bagi menghadapi situasi ini memerlukan kami sentiasa bersedia dan mempunyai ilmu untuk menguruskan mereka dengan baik," jelasnya yang memilih kerjaya jururawat atas dorongan ibu tercinta.

Ditanya tentang pengalaman, anak kelahiran Melaka ini berkata, pelbagai pengalaman pahit manis dan sesetengahnya meruntun jiwa dilalui sepanjang bertugas di bahagian tersebut. 

“Antara yang masih melekat sampai sekarang, pengalaman menjaga seorang pesakit yang melalui pembedahan pada bahagian muka selepas mengalami kemalangan ngeri.

“Tugasan tersebut sedikit mencabar kerana luka tersebut perlu dijaga dengan rapi bagi mengelakkan daripada jangkitan kuman.

“Dalam pada masa yang sama, pesakit tersebut bukan sahaja perlu dirawat fizikalnya, tetapi saya juga perlu menjaga emosinya ketika berhubung.

“Kebiasaan pesakit dalam keadaan sedemikian akan mengalami perubahan dari segi emosi dalam tempoh tertentu. Mereka mudah tersinggung dan cepat marah apabila apabila emosi tidak stabil.

“Waktu inilah, tanggungjawab kami bukan hanya membantu menyembuhkan luka secara luaran, pada masa yang sama juga berperanan menyuntik sokongan moral dan nasihat bagi memulihkan kembali semangat dan jiwa mereka," ujarnya.

Suriate menambah, cabaran yang dihadapi ketika bertugas bukan sahaja memerlukan kekentalan dan kesabaran untuk menguruskan pesakit, malah pengalaman itu dapat meningkatkan ilmu dan kecekalan diri dalam profesional ini.

“Menjaga pesakit yang agak berusia memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kebiasaan emosi golongan yang berusia agak susah dikenal pasti.

“Dalam situasi ini kami bukan sahaja memberi mereka makanan dan ubatan, malahan tugasan menukar lampin, bermain dengan nanah dan darah sudah menjadi sebati dalam diri jururawat.

“Bagi golongan yang berusia kami perlu lebih peka dengan emosi mereka bagi memudahkan pengurusan dan proses merawat menjadi lebih lancar," katanya.

Ujar Suriate, yang sedang menyambung pengajian separuh masa dalam jurusan kejururawatan di sebuah kolej swasta, kepuasannya menabur khidmat kepada masyarakat melalui profesion kejururawatan adalah suatu pengalaman yang tidak ada nilainya.

“Wujud satu perasaan mendalam apabila jasa dan pengorbanan dihargai pesakit. Ada beberapa pesakit yang pernah dirawat masih berhubung sehingga sekarang dan menjadi rakan baik. 

“Ada antara pesakit yang menganggap kami seperti ahli keluarga mereka berikutan keakraban dan kemesraan yang dirasai semasa mereka mendapatkan rawatan di sini," katanya. - Siti Aishah Yusoff

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment