KUALA LUMPUR - Hepatitis, penyakit radang hati yang lazimnya berpunca daripada jangkitan kuman, mempunyai sejarah yang mengerikan dalam kehidupan manusia.

Tidak kiralah sama ada hepatitis A, B, C, D atzu E, semuanya merupakan penyakit yang amat berhaya dan telah meragut lebih banyak nyawa, berbanding gabungan penyakit malaria, denggi dan HIV/AIDS pada dekad lepas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata terdapat kira-kira 12 hingga 15 juta kes akut hepatitis A di seluruh dunia, yang mengakibatkan 3,000 kematian setiap tahun.

Di samping itu, lebih kurang dua bilion orang menghidap hepatitis B di seluruh dunia dan daripada jumlah ini, kira-kira 360 juta menderita jangkitan kronik, manakala 600,000 lagi meninggal dunia akibatnya.

Dalam pada itu, kira-kira 130 hingga 170 juta orang didapati menghidap hepatitis C dan lebih 350,000 maut akibat penyakit hati berkaitan virus di seluruh dunia setiap tahun.
  
LEBIH MUDAH MEREBAK BERBANDING HIV

Lebih menggerunkan, virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) lebih mudah merebak berbanding HIV.

"HBV boleh merebak hingga 100 peratus lebih mudah daripada HIV, manakala HCV pula boleh berjangkit kira-kira 50 kali lebih mudah," kata jurucakap syarikat pengeluar produk kesihatan Roche Malaysia Sdn Bhd.

"Kedua-dua virus ini lebih kuat daripada HIV dan mampu bertahan hingga tujuh jam sekiranya terdedah kepada persekitaran. HIV lebih lemah dan akan lenyap apabila terdedah dalam tempoh singkat," katanya.

Namun demikian, seperti HIV, dua virus ini mudah tersebar melalui darah.

"Ia juga boleh tersebar melalui suntikan dadah rekreasi, proses melukis tatu, rawatan akupuntur, hubungan seks tanpa perlindungan, luka pada tubuh, dialisis buah pinggang dan merebak daripada ibu kepada anak sewaktu bersalin," katanya.

Perkara yang membimbangkan ialah jumlah penghidap dua penyakit ini lebih tinggi berbanding penghidap penyakit hepatitis jenis lain di negara ini, kata Prof Dr Rosmawati Mohamed, Perunding Hepatologi (Pakar Hati) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), di sini.
      
UBAT DAN RAWATAN
  
Beliau berkata penyakit yang boleh berkekalan sepanjang hayat seseorang ini tidak dapat dikesan bagi sesetengah pesakit kerana kebanyakan mereka tidak mengalami masalah besar, sehinggalah mereka meningkat tua.

"Ada yang dihinggapi penyakit ini ketika berusia lima tahun lagi, tapi hanya disedarinya 20 tahun kemudian.
"Bagaimanapun, mereka bernasib baik sekarang. Penyakit ini, yang dianggap tidak boleh diubati sebelum ini, kini boleh diubati dan sejak sembilan tahun lepas, sejenis ubat sudah ditemui untuk pesakit hepatitis C.

"Satu kajian telah dijalankan terhadap tujuh ribu pesakit hepatitis C dan mereka dirawat dengan ubat berkenaan selama enam tahun.

"Setelah dirawat, virus berkenaan dikesan tidak wujud lagi dalam tubuh mereka dan kehadirannya terus tidak dapat dikesan dalam tempoh lima tahun selepas itu.

"Sejenis ubat baharu juga ditemui sebulan lepas bagi pesakit hepatitis C, yang mampu meningkatkan kadar penyembuhan mereka," katanya.

Ini merupakan penemuan penting bagi pesakit hepatitis C, walaupun ubat bagi hepatitis jenis lain belum ditemui.

Namun demikian, semua jenis hepatitis boleh dikawal melalui rawatan berkala yang disediakan di semua hospital di seluruh negara.

Dr Rosmawati bagaimamapun berkata sebelum itu, pemeriksaan awal perlu dilakukan dan perundingan dengan doktor patut diadakan untuk memastikan penyakit berkenaan dapat dikesan dan penghidapnya diberi rawatan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya mereka mempunyai sebarang gejala penyakit ini.

“Jangan bimbang, rawatan boleh didapati di semua hospital besar dan jumlah doktor pakar adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit," kata Dr Rosmawati.

GEJALA
  
Dr Rosmawati berkata secara umum, terdapat empat gejala biasa bagi penyakit hepatitis iaitu penyakit kuning, hilang selera makan, letih dan sakit otot.

"Penyakit kuning merupakan gejala paling biasa bagi hepatitis dan ia terjadi akibat pengumpulan sejenis bahan kimia dikenali sebagai bilirubin dalam tisu tubuh. Selalunya, hati memproses kimia ini sebagai bahan buangan, tapi apabila hati rosak, ia tidak mampu melakukan tugas biasanya dan bahan kimia berkenaan akan terkumpul di dalam darah, lalu mula meresapi ke dalam tisu tubuh.

"Apabila sejumlah tertentu bahan kimia ini terkumpul, kulit, air kencing dan sekeliling bahagian mata yang selalunya berwarna putih, akan berwarna kuning," katanya.

Selain itu, Dr Rosmawati, yang juga pengerusi Kempen Hari Hepatitis Sedunia Malaysia 2012, berkata pesakit akan kehilangan selera makan dan kadangkala keadaan ini hanya berlaku bagi tempoh amat singkat, sebelum diganti dengan rasa loya dan muntah.

Pesakit juga akan berasa lesu akibat kerosakan hati dan mengalami sakit otot serta sendi selama beberapa hari atau minggu, katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak memandang ringan tentang gejala itu kerana 25 peratus orang dewasa yang dijangkiti HBV kronik sejak kecil, akan mengalami barah hati dan bagi mereka yang dihinggapi HCV, hingga 70 peratus daripada mereka yang mengalami jangkitan kronik, akan menderita barah hati, manakala 20 peratus mengalami sirosis dan hingga lima peratus menemui ajal kerananya.

KURANG KESEDARAN
      
Kekurangan kesedaran dalam kalangan orang ramai yang begitu membimbangkan sekarang, boleh menyebabkan penyakit ini mencapai tahap wabak.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dalam tempoh lima tahun sebelum tahun lepas, kewujudan penyakit hepatitis di negara ini, khususnya jenis B dan C, dianggarkan melibatkan tiga hingga enam orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Sebanyak 640 pesakit hepatitis B dan 724 pesakit hepatitis C direkodkan pada 2010, manakala jumlah ini bertambah hampir sekali ganda tahun lepas, dengan 1,250 orang menghidapi hepatitis B dan 1,047 orang mengalami hepatitis C.

Liow berkata jumlah ini dikesan meningkat hampir dua kali ganda apabila kementerian berkenaan melaksanakan program pemeriksaan percuma pada 2010 dan jumlah ini dijangka terus meningkat sekiranya lebih ramai orang yang mempunyai gejala penyakit berkenaan, menjalani saringan kesihatan.

Liow berkata penyakit ini terlepas daripada pengamatan kementerian berkenaan sejak sekian lama dan tidak dihiraukan, walaupun ia terikat dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

HARI HEPATITIS MALAYSIA 2012
  
Menyedari kurangnya kesedaran orang ramai tentang penyakit ini, terutama berkaitan hepatitis B dan C, Dr Rosmawati dan rakan-rakan beliau mengambil langkah memulakan kempen kesedaran pada 2010, bersempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia yang dianjurkan WHO pada 28 Julai setiap tahun.

"Objektif utama kempen ini ialah untuk mengubati keadaan yang ada," katanya.

Beliau berkata di samping meningkatkan kesedaran orang ramai tentang hepatitis, kempen ini, yang bertemakan 'Ia lebih dekat daripada yang anda sangka', juga memberi fokus terhadap diagnosis awal, pencegahan dan rawatan hepatitis C.

"Untuk tahun ini, kempen selama tiga hari diadakan di kompleks beli-belah One Utama dengan penyertaan 20 hospital dari seluruh negara untuk memberi pemeriksaan hepatitis secara percuma," katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang terlepas peluang itu, UMMC menawarkan pemeriksaan hepatitis percuma sepanjang tahun, khususnya untuk mereka yang tergolong dalam kelompok berisiko tinggi. - Bernama

SUMBER: SINAR HARIAN