Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 29 October 2019

Mahkamah tolak permohonan tujuh perokok cabar larangan merokok di premis makan


Tarikh kemaskini: 29/10/2019


KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Tujuh perokok hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk mencabar larangan merokok di semua premis makan yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Jan 2019.

Mereka ialah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 dan Yuri Azhar Abdollah, 39 selaku pemohon.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya yang menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan tujuh individu itu terhadap KKM selaku responden, berpendapat bahawa kesemua pemohon telah terkhilaf apabila menyatakan hak untuk mereka merokok akan terhakis sama sekali dengan adanya peraturan larangan merokok berkenaan.

Hakim Mariana berkata responden telah mengambil kira faktor kepentingan awam apabila menetapkan jarak tiga meter bagi membolehkan perokok untuk merokok di premis makan.

"Pemohon-pemohon atau perokok masih boleh merokok di luar pada jarak tiga meter daripada tempat makan dan menjadi tanggungjawab perokok bagi memastikan puntong rokok dibuang di tempat yang disediakan. Oleh itu, untuk kesemua pemohon menyatakan bahawa hak mereka telah terhakis dan dicemari dengan larangan merokok di premis makan adalah tidak berasas," katanya.

Hakim itu menegaskan bahawa ketidakpuasan pemohon-pemohon yang mewakili perokok ialah mereka ingin melepaskan hajat atau keinginan merokok di premis-premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.

"Perbuatan merokok di premis makan menjadikan udara persekitaran tidak bersih dan asap rokok juga menggangu orang yang tidak merokok di premis makan. Pemohon-pemohon tidak dihalang untuk menikmati makanan hingga larut malam selagi mana mereka merokok pada jarak tiga meter dari premis makanan," katanya.

Mengenai isu bahawa pemohon tidak diberi hak untuk berunding dengan responden sebelum larangan rokok dikuat kuasa, Hakim Mariana berkata rundingan awam yang dilaksanakan dengan sesuatu agensi atau pihak-pihak dibuat atas budi bicara responden dan ia bukan suatu hak kepada pemohon-pemohon.

"Oleh yang demikian, ia terpulang kepada responden untuk mengadakan rundingan awam atau tidak bersesuaian dengan perkara yang hendak diputuskan,” katanya.

Hakim Mariana berkata menurut responden, usaha untuk melaksanakan larangan merokok di premis makan telah bermula sejak 2004 sehingga 2019 iaitu mengambil masa selama 15 tahun dan beberapa siri perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkenaan telah dilaksanakan pada 2009, 2015 dan 2018.

"Responden dalam afidavitnya menyatakan orang awam dipelawa untuk memberi maklum balas kepada pihak responden berhubung pelaksanaan larangan merokok di premis makan dan tempoh maklum balas daripada orang awam ini telah diberi sehingga 18 Mei 2018.

"Bagaimapun, tiada mana-mana pemohon menyatakan maklum balas atau bantahan mereka mengenai pelaksanaan larangan merokok sejak tahun 2015 atau sejak ia mula dicadangkan 15 tahun yang lepas," kata hakim itu yang turut memaklumkan bahawa tawaran responden untuk orang ramai memberi maklum balas sehingga 18 Mei 2018 melalui laman web KKM adalah memadai dan yang pasti tiada sebarang aduan atau bantahan daripada kesemua pemohon berhubung larangan merokok itu sejak ia dicadangkan.

Hakim Mariana berkata selepas mempertimbangkan permohonan pemohon-pemohon dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat pihak responden telah bertindak dalam bidang kuasanya dan keputusan larangan merokok di premis makan tidak bertentangan dengan Artikel 5 dan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Ia juga tidak dicemari dengan ketidaksahan, tidak rasional atau salah prosedur yang membolehkan mahkamah ini memberikan suatu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden untuk menguatkuasakan larangan merokok di premis-premis makan yang dicadangkan dikuat kuasa pada 1 Jan 2019.

"Mahkamah dengan ini menolak permohonan semakan kehakiman pemohon-pemohon dan tiada perintah untuk kos," katanya.

Dalam permohonan yang difailkan pada 18 Feb tahun ini, kesemua pemohon yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok, antara lain, mendakwa bahawa larangan merokok tersebut bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah dan aktiviti terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

Mereka mendakwa rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepi dan didiskriminasi daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan melalui larangan merokok dan ia bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili kesemua pemohon berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.

Selain Mohamed Haniff, kesemua pemohon turut diwakili peguam Datuk M. Reza Hassan manakala KKM diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Turut hadir dalam prosiding itu, beberapa badan bukan kerajaan termasuk Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Aktiviti Kawalan tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) Roslizawati Md Ali.

-- BERNAMA

Efinair lancar jet persendirian perubatan pertama pada Januari 2020


Tarikh kemaskini: 24/10/2019

KUALA LUMPUR, 24 Okt -- Efinair MyJet International Sdn Bhd (Efinair) akan melancarkan jet persendirian perubatan pertama bagi pelancongan perubatan dan komuniti penjagaan kesihatan Malaysia pada Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Efinair Muhammad Fadzil Abdullah berkata matlamatnya adalah untuk menyediakan akses segera kepada pelbagai jet yang mempunyai kakitangan terdiri daripada jururawat dan paramedik berkelayakan tinggi yang boleh memberikan penjagaan menyelamatkan nyawa semasa dalam penerbangan.

"Saya yakin pelancaran jet persendirian perubatan ini di Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara yang sangat baik untuk memenuhi peningkatan jumlah pesakit asing di negara ini.

"Pesakit asing yang mendapatkan penjagaan perubatan dan rawatan kesihatan di Malaysia, berpotensi membelanjakan berjuta-juta bagi onkologi, rawatan kanser dan jantung, pintasan arteri koronari, rawatan sel stem, pemeriksaan kesihatan, pintasan gastrik, gigi palsu implan, facelift, rhinoplasty dan lain-lain, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memandangkan pesakit asing juga dapat membelanjakan berjuta-juta bagi perjalanan dan bersiar-siar untuk lawatan perubatan ini, beliau berkata potensi pertumbuhan tahunan sebanyak 40 peratus dalam tahun-tahun mendatang adalah diramalkan, kerana lebih ramai pesakit asing akan mendapatkan rawatan di luar negara pada masa akan datang di Malaysia.

Muhammad Fadzil berkata oleh kerana Malaysia menduduki ranking pertama dalam International Living Annual Global Retirement Index 2019 kategori Dunia, ini akan menarik pesakit asing seperti dari Timur Tengah, Brunei, Indonesia, China dan Filipina untuk mendapatkan rawatan di negara ini,

Ini akan memastikan Malaysia dikenali sebagai destinasi pelancongan perubatan dan pada dasarnya akan memudahkan pertumbuhan ekonomi negara, katanya.

Pada 11 Okt, semasa pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia akan menganjurkan Malaysia Year of Healthcare Travel 2020 untuk memantapkan kedudukan utama negara sebagai destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

Lim berkata pelancongan perubatan adalah sektor yang berkembang pesat di Malaysia, berkembang 17 peratus setiap tahun dari 2015 hingga 2018 dan menjana pendapatan hasil sebanyak RM1.5 bilion daripada 1.2 juta pelancong penjagaan kesihatan, tahun lepas.

"Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan di ASEAN untuk rawatan onkologi, kardiologi dan kesuburan," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday 22 October 2019

Parlimen: Penjawat awam sedia ada kekal terima faedah, kemudahan skim pencen

Tarikh kemaskini: 22/10/2019

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa mereka yang sah dalam perkhidmatan dan mendapat taraf berpencen sebelum ini akan terus kekal menerima faedah serta kemudahan skim pencen.

Beliau berkata faedah persaraan yang dinikmati penjawat awam adalah dilindungi seperti ditetapkan di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan iaitu Perlindungan Hak-hak Pencen dan dikawal selia melalui Akta Pencen 1980 (Akta 227) serta Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).

“Pemberian faedah persaraan kepada pesara kerajaan merupakan penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan serta jasa penjawat awam sepanjang perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai status terkini cadangan melaksanakan Skim Lantikan Kontrak yang ditambah baik bagi menggantikan Skim Lantikan Tetap dan Berpencen dalam perkhidmatan awam.

Walaupun kerajaan menghadapi cabaran untuk membiayai faedah persaraan berikutan jumlah pesara yang meningkat, Dr Mahathir berkata kerajaan mengambil langkah mengkaji beberapa mekanisme baharu bagi memastikan bebanan kerajaan dapat dikurangkan dan penjawat awam tidak rugi selepas pencen.

Dr Mahathir berkata kerajaan sememangnya berhasrat untuk melanjutkan Skim Lantikan Tetap dan Berpencen, bagaimanapun kutipan cukai yang diperoleh negara tidak mencukupi bagi membiayai kos persaraan yang semakin tinggi.

Pada masa sama, kerajaan juga menyedari tentang masalah pengangguran yang meningkat dalam kalangan siswazah yang telah menamatkan pengajian di universiti di negara ini berikutan dengan langkah kerajaan melanjutkan usia persaraan kepada 60 tahun sebelum ini, katanya.

“Memang benar disebabkan usia persaraan dilanjutkan ia bermakna kekosongan berkurangan dan kita tidak dapat mengambil pekerja baharu dalam kerajaan, dengan sendirinya kita lihat pengangguran bertambah.

“Tetapi kita ingin lihat penganggur ini bekerja sama ada di sektor swasta atau membuka perusahaan untuk membiayai kehidupan mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak mampu menawarkan pekerjaan kepada semua orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam walaupun ia merupakan satu dasar yang telah ditetapkan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Beliau menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh Ismail yang bertanyakan tentang langkah kerajaan untuk memastikan kadar pengangguran berkurangan selain kaedah untuk memastikan nasib 50,000 pekerja kontrak dalam sektor perkhidmatan awam dapat diserapkan secara tetap.

-- BERNAMA

Lulusan ILKKM boleh kerja swasta jika tiada tawaran kerajaan selepas 12 bulan

Tarikh kemaskini: 22/10/2019


IPOH, 22 Okt -- Lulusan Institut Latihan Kesihatan Kementerian Kesihatan (ILKKM) yang tidak menerima sebarang tawaran kerja daripada kerajaan dalam tempoh 12 bulan selepas tamat pengajian boleh berkhidmat dengan pihak swasta.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata berdasarkan peraturan sedia ada, seseorang lulusan ILKKM itu perlu kembali berkhidmat dengan kerajaan jika menerima tawaran kerja.

"Kalau dalam masa 12 bulan mereka tidak menerima tawaran kerja termasuk secara kontrak, maka mereka dibebaskan daripada peraturan itu (untuk berkhidmat dengan kerajaan).

"Sebelum 12 bulan pun, mereka dah boleh mohon tempat lain, tapi jika mereka bekerja dan dapat tawaran daripada kerajaan maka mereka kena berkhidmat dengan kerajaan bagi tempoh empat tahun," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Konvokesyen 2019 Institut Latihan Kementerian Kesihatan di ILKKM Sultan Azlan Shah di sini Isnin.

Mengenai lantikan secara kontrak lulusan ILKKM, tanpa menyatakan jumlah terlibat, Dr Lee berkata lepasan tahun 2017 telah berjaya ditawarkan pekerjaan.

"Untuk lepasan tahun 2018 dan 2019, kita akan cuba serap secara kontrak pada tahun depan. Ini bukan sahaja untuk pembantu perubatan, tetapi lain-lain termasuk jururawat dan pembantu farmasi," katanya.

-- BERNAMA

Monday 21 October 2019

Jururawat tawan puncak Gunung Datuk

MyMetroMutakhir


HM Digital

Rembau: Bagi merealisasikan impian bergambar dengan pakaian seragam di puncak Gunung Datuk, di sini, dua kakitangan dari Hospital Kota Tinggi (HKT), Johor sanggup membawa pakaian berkenaan dan menukarnya sebaik sampai di puncak gunung.

Dua jururawat itu, Normaznah Gidos, 34, dan Syafiqah Kamarudin, 35, bersama 13 lagi rakan daripada Kelab XPDC dan Rekreasi HKT membuat pendakian di Gunung Datuk yang berketinggian 855 meter dari aras laut.

Ketua ekspedisi, Syafiqah Kamarudin berkata, dia sudah lama merancang untuk mendaki Gunung Datuk dan bergambar dengan memakai pakaian seragam jururawat di puncak gunung.

“Saya selalu melihat gambar pendaki gunung memakai pakaian biasa tetapi tidak dengan pakaian seragam kami yang serba putih.

“Bagi saya ini sebagai satu cara saya menghargai pakaian seragam dengan membawanya sehingga ke puncak gunung.

“Saya berpuas hati kerana hasrat untuk bergambar bersama pakaian seragam di puncak gunung berjaya kerana ia jarang kita lihat dan pastinya saya berbangga dengan kerjaya ini,” katanya.

Rakannya, Normaznah Gidos, 34, berkata, dia turut membawa pakaian seragam kerja kerana turut tertarik dengan idea itu.

“Memang seronok apabila dapat bergambar dengan pakaian seragam yang biasa kita pakai di hospital waktu bertugas. Bagi saya ia satu kepuasan dan rasa bangga dengan kerjaya kami.

“Ramai rakan sekerja yang menyesal kerana tidak membawa pakaian seragam kerana tidak terfikir berbuat demikian dan ada yang berharap mahu datang lagi ke sini dengan membawa pakaian rasmi kami di tempat kerja,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 6:13 AM - HARIAN METRO

Cikgu robot



BEIJING: Masalah kekurangan guru tadika yang semakin meruncing di China menyebabkan negara itu beralih kepada robot untuk mengambil alih tugas mengajar.

Robot guru tadika pertama dikenali sebagai Bingo itu direka khas untuk mengajar pelbagai subjek termasuk Sains, Bahasa Inggeris serta mengajar bermain golf, lapor Daily Mail.

Ia direka oleh bapa dua anak berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang sains komputer dari Universiti Tsinghua Beijing, Ming Haibo yang menceburi bidang perniagaan dengan mencipta robot untuk mengajar kanak-kanak di rumah menerusi syarikatnya, Ai Bingo

Ming berkata, dia percaya robot mempunyai banyak kelebihan dalam membantu kanak-kanak mengulangkaji pelajaran dan menyemak kerja sekolah mereka.

Sehingga kini, robot Bingo sudah dibeli oleh kira-kira 1,500 pra-sekolah di bandar utama seperti Beijing, Tianjin, Zhenzhou dan Wuhan.

Menurut satu laporan China News sebelum ini, seramai 15 juta kanak-kanak dijangka mendaftar untuk kemasukan ke pra-sekolah setiap tahun menjelang 2021, dan ia sukar untuk ditangani oleh sistem pendidikan di sana.

China juga dijangka akan berdepan masalah kekurangan kira-kira tiga juta guru dan 110,000 pra-sekolah untuk tempoh dua tahun.

PEREKA Bingo bakal hasilkan versi terbaharu robot berkenaan. FOTO Daily Mail

-- Harian Metro

Sunday 20 October 2019

Terima kasih misi!

13 Mac 2019

Gambar seorang jururawat membantu mangsa rebah yang tular di media sosial. - Facebook Rudy Syareme Sheriffudin

TINDAKAN pantas seorang jururawat membantu seorang lelaki yang secara tiba-tiba rebah ketika menunggang motosikal dipuji netizen.

Tular sekeping gambar di media sosial memaparkan seorang lelaki terbaring di atas jalan raya dan dibantu jururawat.

Gambar itu dimuat naik di Facebook Rudy Syareme Sheriffudin.

Menerusi statusnya,"Cik jururawat berjaya membantu dan menyelamat nyawa seorang lelaki yang menunggang motosikal tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri dalam kejadian di persimpangan Lebuh Sungai Pinang, Pulau Pinang jam 8.30 malam tadi," katanya.

Kata Rudy, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba di persimpangan jalan dan mendorong orang ramai membantu mangsa serta mengawal aliran trafik sementara menungggu ketibaan ambulans.

"Bayangkan lelaki itu tiba-tiba rebah, menggeletar satu badan dengan mata putih terbeliak ke atas dan tidak sedarkan diri... panik!

"Namun tindakan pantas jururawat membantu, memberi bantuan kecemasan awal sangat dipuji. Mangsa tidak dikenal pasti identiti itu telah sedar dan dikejarkan ke hospital.

"Terima kasih kepada cik jururawat kerana membantu," katanya.

Sementara itu, netizen, Nor Wanie menyokong tindakan jururawat itu malah menggalakkan orang ramai yang memiliki pengetahuan asas bantuan kecemasan boleh hulurkan bantuan sekiranya berdepan dengan kecemasan.

Kata Kasih Zalikha, mengamalkan semangat bekerjasama dan sukarela adalah sikap terpuji apabila membantu tanpa mengira perbezaan bangsa.

-- SINAR HARIAN

Robot jururawat

NAIMAH MUHAMMAD Sumber & Gambar: Washington Post, Newsflare, Metro & Yellrobot | | 21 Februari 2019

Kehadiran Nan, Nee dan Nim telah membantu meringankan tugas dan operasi sebuah pusat perubatan di Bangkok

SEBUAH hospital di thailand memecah tradisi apabila membawa tiga robot jururawat bekerja.

SEKALI imbas, bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat. Sekumpulan jururawat yang berupa robot sedang berlegar-legar di pekarangan Hospital Besar Mongkutwattana, Bangkok, Thailand.

Pihak hospital mengambil keputusan menggunakan teknologi robotik selepas berhadapan dengan ramai pesakit baharu dan sudah tidak mampu lagi mengupah kakitangan yang cukup pada penghujung tahun lepas.

Daripada mengupah tenaga manusia, pihak hospital nampaknya lebih selesa membeli tiga jururawat robot bagi menangani masalah mereka itu.

Menurut jurucakap hospital terbabit, Dr Riantong, ketiga-tiga jururawat robot itu diberi nama Nan, Nee dan Nim.

“Mereka ini merupakan inovasi teknologi baharu dari Shenzhen, China dan ia sejenis teknologi mudah alih atau kenderaan berarah automatik,” katanya.

Ikut arahan

Riantong berkata, penampilan robot-robot ini saling tidak tumpah seperti jururawat sebenar apabila memakai pakaian lengkap seragam jururawat berwarna kuning.

Tugas utama robot ini membawa kertas kerja dan ubat-ubatan kepada doktor. Bagaimanapun, ujar beliau, ia bukan bertujuan mengambil alih sepenuhnya tugas kakitangan di hospital itu.

“Robot ini akan bergerak sebanyak tujuh atau lapan stesen di hospital menerusi laluan magnetik yang ditampal pada lantai. Ia turut dilengkapi dengan sensor di mana robot ini akan berhenti jika seseorang atau objek menghalang jalan,” katanya seperti dipetik dalam sebuah artikel antarabangsa.

Selain itu, Nan, Nee dan Nim mampu menaiki lif dengan sendirinya dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Thailand dan Cina.

Juruteknik akan menyelenggara robot ini melalui skrin sentuh terdapat pada robot.

Kurang kesilapan

Riantong menambah, penggunaan robot ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan dilakukan oleh manusia.

Malah membantu meningkatkan kecekapan dan prestasi bekerja di hospital.

Turut memberi penjelasan ialah Pakar Sains Neuro, Dr Naennaa. Beliau berkata, pihaknya merancang memperluaskan lagi penggunaan robot ini di bahagian farmasi supaya ia dapat menyusun dan mengambil ubat-ubatan.

Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Dasar Awam Britain, penggunaan robot dalam hospital sebenarnya dapat menjimatkan kos sebanyak 10 peratus iaitu sebanyak 12 bilion pound sterling (RM63 bilion setahun). Ia memberi kelebihan penyediaan masa sebanyak 30 peratus kepada doktor dan jururawat dalam mendapatkan latihan dan melakukan penjagaan.

-- SINAR HARIAN

Sejauhmana kolesterol berbahaya

NAIMAH MUHAMMAD | | 17 Julai 2019


SOALAN 

DOKTOR, saya baru membuat pemeriksaan kesihatan. Terkejutnya saya apabila doktor memberitahu paras kolesterol saya sangat tinggi. Bolehkah doktor terangkan apakah sebabnya? Apakah panduan untuk saya menurunkan paras kolesterol saya?


- BIMBANG KESIHATAN DIRI, 
ASMARIZAL FADLI, 32, 
RANTAU ABANG, TERENGGANU.

Kolestrol yang tinggi boleh menyebabkan arteri

JAWAPAN:

KOLESTEROL ialah bahan semula jadi yang dihasilkan oleh tubuh. Ia mempunyai pelbagai 'tugas' seperti penghasilan hormon, fungsi otak, saraf, penghasilan vitamin D, keanjalan kulit dan fungsi-fungsi sel yang lain.

Kolesterol tidak berbahaya jika tidak berlaku keradangan kronik. Keradangan merupakan punca utama masalah arteriosklerosis yang mana saluran darah menjadi keras dan tidak lagi elastik.

Berdasarkan kajian terkini, keradangan merupakan ‘akar kepada pelbagai penyakit’ termasuklah penyakit jantung koronari.

Tuan, kita selalu ditakutkan dengan makanan berminyak atau berlemak dan makanan kolesterol tinggi sebagai punca kepada peningkatan paras kolesterol dan penyakit jantung.

Pun begitu, makanan yang menyebabkan risiko penyakit kardiovaskular adalah disebabkan peningkatan keradangan dalam tubuh seperti lemak trans, gula pasir dan karbohidrat proses.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan menyokong fakta bahawa makanan berkolesterol dan berlemak bukan punca kepada kolesterol tinggi dan risiko penyakit kardiovaskular.

Makanan yang menyebabkan peningkatan keradangan itu disebabkan lemak trans, gula pasir dan karbohidrat proses.

Malahan kajian juga menunjukkan pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun, minyak kelapa, minyak ikan, minyak habbatus sauda, avocado, minyak kelapa sawit meningkatkan paras HDL (kolesterol baik). Ia menurunkan paras LDL (kolesterol tidak baik) dan mengurangkan radang dalam tubuh.

Selain itu, terdapat beberapa faktor seperti genetik, kurang aktiviti fizikal, stres yang tidak terkawal dan hormon tiroid yang rendah memberikan kesan kepada paras kolesterol.

Cara mudah menurunkan paras kolesterol adalah dengan mengambil sayur-sayuran hijau. Bayam, kangkung dan sawi setiap hari membantu menurunkan kolesterol dan keradangan dalam tubuh.

Buah-buahan juga boleh membantu mencegah pengoksidaan kolesterol LDL. Buah-buahan juga bersifat antikeradangan kerana khasiatnya yang lengkap dengan vitamin, mineral, antioksidan dan serat tinggi.

Tuan perlu memastikan makanan yang diambil seimbang dan mengelak makanan yang tinggi gula, lemak trans dan makanan karbohidrat halus seperti tepung gandum termasuklah makanan proses secara berlebihan.

Jangan lupa untuk bergerak secara aktif dan bersenam selalu di samping mengawal stres dan mendapatkan tidur yang secukupnya.

-- SINAR HARIAN

Sunday 13 October 2019

Jururawat rugi RM10,300 kerana terpedaya 'cinta siber'

Tarikh kemaskini: 10/10/2019

Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN, 10 Okt -- Impian seorang jururawat untuk memiliki kereta utiliti sukan (SUV) Honda HRV bukan hanya tidak tercapai, malah dia mengalami kerugian RM10,300 selepas terpedaya dengan sindiket cinta siber.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata ia bermula dengan wanita berusia 33 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki dikatakan berpangkat 'Kapten' di laman sosial pada akhir bulan lepas.

Beliau berkata wanita yang berkhidmat di Raub dekat sini mendakwa “Kapten” yang mengaku tinggal di Poland itu pada mulanya dikatakan telah menghantar ‘hadiah’ berupa wang tunai USD35,000 untuk membeli kereta berkenaan.

Menurutnya semalam wanita itu dihubungi syarikat penghantaran, kononnya dia terpaksa membayar RM2,300 sebagai caj penghantaran, dan RM8,000 kononnya sebagai denda kerana bungkusan yang dihantar dikatakan mengandungi wang tunai.

"Suspek wanita itu juga telah memberikan nombor akaun kononnya bagi urusan transaksi wang dan jururawat itu terus memindahkan wangnya seperti yang diminta," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata jururawat itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan hal berkenaan kepada rakan-rakannya, dan dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang guru wanita membuat laporan di IPD Lipis dekat sini semalam, mendakwa diperdayakan jirannya untuk menyertai pelaburan bitcoin yang tidak wujud sehingga kerugian RM18,000.

Mohd Wazir berkata guru itu mendakwa dijanjikan menerima pulangan lumayan selepas menyertai pelaburan itu pada 29 Sept 2018 namun sehingga kini dia tidak pernah menerima sebarang keuntungan.

-- BERNAMA

Tuesday 8 October 2019

Jururawat dan aurat

Wartawan Sinar Harian




PROFESION kejururawatan adalah satu pekerjaan yang mulia; sama ada di klinik, hospital mahupun di rumah-rumah. Adalah sukar bagi seorang doktor melakukan tugas tanpa bantuan seorang jururawat. Setiap prosedur atau rawatan yang dilakukan ke atas pesakit memerlukan bantuan jururawat.

Baru-baru ini, berita mengenai seorang jururawat beragama Islam yang dibuang kerja serta dikenakan amaran kompaun sebanyak RM5,000 kerana enggan patuh pada kod pakaian jururawat telah mengejutkan banyak pihak.

Insiden ini tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara, di mana Islam adalah agama rasmi. Penjelasan pengurus kewangan dan pentadbiran sebuah hospital bahawa Naziah Sauni Samat ditamatkan perkhidmatan sebagai

jururawat disebabkan tidak hadir bekerja selama dua hari tanpa sebab bukanlah alasan yang jujur dan kukuh untuk menghalalkan tindakan tersebut.

Hospital swasta tersebut mengatakan bahawa sejak tahun 1989 peraturan hospital dan etika pemakaian seragam untuk semua kakitangan adalah memakai kemeja berlengan pendek. Menurut mereka lagi, jururawat beragama Islam lain yang bertugas tidak mempunyai masalah memakai kemeja berlengan pendek dan ini adalah isu disiplin, bukannya isu agama.

Syabas kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, yang menjamin untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai isu ini. Menurut beliau, semua hospital di bawah Kementerian Kesihatan mewajibkan jururawat beragama Islam menutup aurat dan arahan ini turut diguna pakai untuk hospital swasta.

Alasan peraturan pemakaian seragam berlengan pendek untuk mengelakkan jangkitan kuman pada pesakit serta memudahkan kerja juga tidak dapat diterima kerana hospital-hospital kerajaan tidak pula mempunyai masalah jangkitan kuman walaupun jururawat mereka bertudung dan berlengan panjang.

Malah, jururawat di rantaian hospital swasta KPJ dan beberapa hospital swasta lain juga membenarkan pemakaian lengan panjang dan tudung.

Adakah benar baju berlengan pendek mengurangkan kadar jangkitan? Walaupun pemakaian lengan panjang acap kali dikaitkan dengan jangkitan kuman, tiada bukti saintifik yang mengesahkan bahawa pemakaian baju lengan pendek pula dapat mengurangkan jangkitan kuman.

Malahan, menurut satu kajian di University of Colorado Hospital di Aurora, Amerika Syarikat, yang diterbitkan oleh Journal of Hospital Medicine pada tahun 2011, pemakaian baju berlengan pendek tidak sedikit pun membantu menghalang jangkitan kuman kerana pakaian mereka masih tetap tercemar dengan kuman.

Sebenarnya, pemakaian lengan panjang langsung tidak menjadi masalah selagi jururawat tersebut pandai menjaga kebersihan diri. Mungkin sesetengah prosedur memerlukan tahap steril yang tinggi, contohnya mencuci luka atau prosedur yang boleh membawa jangkitan kuman kepada pesakit; maka keadaan ini mengharuskan mereka menyingsing lengan baju hingga ke siku tetapi selepas selesai prosedur tersebut, lengan baju bolehlah dibuka kembali.

Isu jururawat dan aurat ini bukan perkara baru. Sinar Harian pada 18 Jun 2013 melaporkan, kerajaan negeri Pahang akan menyiasat dakwaan kononnya mereka yang ditemu duga untuk jawatan jururawat di sebuah hospital di Kuantan terpaksa menanggalkan tudung sekiranya mahu diterima bekerja.

Pakaian menutup aurat merupakan hak peribadi seorang yang beragama Islam termasuk yang bekerja sebagai jururawat. Telah banyak negara bukan Islam yang membenarkan jururawat dan doktor wanita beragama Islam menutup aurat sejak sekian lama tanpa sebarang masalah.

Jabatan Kesihatan United Kingdom, pada tahun 2010, telah memberikan kebenaran kepada doktor dan jururawat wanita beragama Islam untuk memakai tudung dan baju berlengan panjang. Manakala Hospital Ontario di Kanada, pada tahun 2013, telah mengeluarkan iklan memaparkan seorang wanita Islam berhijab dalam satu kempen mendapatkan doktor dan jururawat dengan tagline, We don't care what’s on your head, we care what’s in it.

Hakikatnya, diskriminasi sebegini sememangnya masih berlaku di Malaysia dan tidak terhad di hospital sahaja. Semoga semua yang ingin menutup aurat mengikut syariat, bukannya memakai tudung tetapi berbaju lengan pendek, mendapat jalan keluar dari permasalahan mereka.

Tiada masalah yang tiada jalan keluar. Bumi ALLAH luas. Jika majikan berdegil, pilihlah hospital atau klinik yang membenarkan pemakaian patuh syariah atau pilihlah pekerjaan yang lain kerana apa pun alasan kita, hanya reda ALLAH yang kita cari.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


SUMBER: SINAR HARIAN (8 Disember 2015)

Sunday 6 October 2019

Jururawat Misteri Penyelamat Di RNR Tapah


Saya nak kongsi cerita saya sebab saya nak sangat jumpa nurse yang dah tolong kami sekeluarga...
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Pos saya ni sesuai untuk kaum ibu..tapi klu kaum bapa yang ada pengalaman pun boleh kongsi...Tak mau cerita sedih tau nanti TT reyau..Siapa kat sini ada pengalaman bersalin yang istimewa sikit..

Saya nak kongsi cerita saya sebab saya teringin sangat nak berjumpa dengan seseorang..Bukan nak buat apa,nak ucap terima kasih saja..nak peluk pun ada juga.. Begini kisahnya. pada tahun 2015 saya mengandungkan anak yang bongsu. Seronok sangat bila scan doktor bagi tau 99.9% gegirl sebab saya dah ada dua lelaki. Jadi saya rancang nak balik bersalin di Kulim Kedah, rumah mak..jadi pada 04.11.2015 suami pun hantar saya balik kampung kebetulan saya mmg dah dapat MC sebulan dari doktor, klu ikit arahan kena rest in bed..Bila balik hari tu sampai di RNR Tapah selatan, kami berhenti makan dan sembahyang. 

Lepas tu suami kata nampak macam jem ja jalan...Tapi kami truskan jugak..mmg jem sungguh. Dari pukul 3 sampai pukul 7 mlm kereta mmg slow sngt atas jalan. Saya tgk ada penumpang bas yg turun dari bus, langkah divider dan pergi kencing..Anak2 saya pun nak kencing, husben suruh kencing dlm botol sja sbb tak tahan. Kami mmg tak nampak langsung exit ke utara..pelik jugak. Jadi kami singgah ke stesen minyak dan tanya jln nak balik ke utara. Orang kat stesen minyak cakap kena patah balik..Allah saya dah rasa lain macam dah. Bila patah balik kami sampai semula ke RNR Tapah Selatan..

Saya suruh husben tanya seorang lelaki ni sbb tgk plat keta dia penang..Lelaki tu cakap kami mmg kena tidoq sini dah sebab semua exit ke utra di tutup sbb ada lori gas leaking di Gopeng...Allah..tak tau nak cakap apa dah..tetiba wife lelaki tu dtg pada saya dan tnya klu2 saya ni dah cukup hari..Saya kata belum, baru 37 minggu tapi ada juga rasa sakit sikit2. Lepas tu dia minta nk pegang perut dan bagi tau kata dia ni misi ( midwife )..Saya kata pegang la misi...Lepas tu dia bagi tau, ehh kak ni dah ada contraction bila2 masa boleh bersalin..Alamak suami saya dah gelabah dah..dengan jln still lagi jem. Dia kata takpa2 kak tunggu sini saya call ambulance..Dia pun tolong call ambulance. 

Dalam 20 minit ambulance sampai dia terus papah saya naik mabulan dan sempat dia pesan pada driver jgn bawa laju sgt sbb husben saya dan anak2 follow dari belakang. Saya tak sempat nak ucap terima kasih pun pada misi tu...dari hospital Tapah saya dihantar ke hospital Teluk Intan dan lebih kurang pukul 12 sampai , pukul 1.20 pagi saya selamat lahirkan anak perempuan saya. Saya bleeding lepas bersalin dan terpaksa terima satu beg darah sebab hb tingal 7 saja..makanya dari nak 02 tadi jadila 08...glamer pulak sbb doktor2 asyik dok sebut kes RNR Tapah...Saya rasa macam hari tu Allah hantar malaikat tolong saya...klu tak ada misi tu tak tau macam mana la saya hari tu, silap2 terberanak dkt RNR Tapah tu..klu la ada jodoh nak sangat saya jumpa misi tu..nak sangat ucap terima kasih banyak2...
Pn. Nor idrus
________________________________

P/S: Seperti yang di inbox kpd admin.....
Kpd Jururawat yang tersebut kalau terbaca catatan ini boleh PM admin ya...
Kpd kawan2 semua tolong share sehingga nurse yang disebut akak ni tampil. Besar harapan akak ni untuk berjumpa dengan si nurse berhati mulia ni.

Dulu Jururawat Kini Usahawan

Dulu merawat kini usahawan

Oleh Abie Abdullah
wanita@hmetro.com.my


Ibu yang paling kuat ‘menghalang’ apabila wanita muda ini menyatakan hasratnya untuk berhenti kerja sebagai jururawat dan memberi fokus kepada dunia perniagaan. Ibu terlalu bimbang dia kehilangan kerjaya yang sudah hampir enam tahun dilakukannya. Bahkan seboleh-bolehnya si ibu tidak mahu dia meninggalkan jawatan sebagai kakitangan kerajaan.

Dia sendiri pun berbelah bahagi, apatah lagi tempoh bertugas itu sudah membuatkannya ‘sayang’ untuk meninggalkan pesakit dan rakan sejawat di hospital kerajaan. Bagaimanapun, keputusan perlu dilakukan kerana minatnya terhadap dunia perniagaan sangat mendalam selain hasrat untuk mengubah nasib keluarga.

Nor Azila Mohamad Azmi, 30, mengakui ketika masih bergelar jururawat, masa seng­gangnya banyak diluangkan dengan mencari peluang bisnes sehingga ia terbabit dalam sebuah perniagaan MLM. Masanya terpaksa dibahagikan antara karier dengan bisnes.

“Saya tidak mempunyai ramai kawan ketika bertugas di hospital kerana masa saya sangat terhad. Tiada masa untuk lepak bersama rakan walaupun mereka sering mengajak keluar sama-sama, karaoke atau sebagainya,” katanya.

Namun ketika bisnes semakin berkembang, Nor Azila terpaksa melepaskan jawatan ‘merawat’ pesakit demi mengejar impiannya.

“Saya belajar banyak mengenai bisnes dan kehidupan. Pernah saya memanjat tingkat satu hingga lapan di jabatan kerajaan untuk mengedar risalah. Walhal ketika itu saya sedang hamil enam atau tujuh bulan.

“Saya juga pernah buat ‘kerja gila’ berkampung empat hari di kawasan pedalaman Sabah di Tambunan, meredah Sungai Kalimantan selama empat jam demi menemui prospek MLM dan sebagainya.

“Ditolak mentah-mentah adalah perkara biasa bagi orang bisnes dan itu yang membuatkan saya semakin kental untuk lebih berjaya.

“Saya sedar keadaan ekonomi masyarakat Melayu yang jauh ketinggalan dan itu yang menambahkan lagi semangat saya untuk memajukan diri serta orang ramai dalam mempertingkatkan tahap ekonomi masing-masing.

“Saya terpaksa membuat pinjaman untuk memulakan bisnes MLM itu, tetapi saya tidak menyesal kerana itu adalah pelaburan untuk ilmu,” kata Nor Azila yang bertemu suaminya ketika terbabit dalam perniagaan multilevel itu.

Menurutnya, dia beruntung dipertemukan dengan Hairul Anuar Zainuddin, 31, kerana ‘kepala’ mereka sehaluan dalam bidang sama. Mereka sepakat untuk mempunyai produk sendiri.

“Suami adalah tulang belakang saya dalam bisnes. Tanpa sokongan, doa dan restu dia, mungkin saya tidak sampai ke tahap hari ini,” kata ibu kepada dua cahaya mata, Nur Zara Sophea, 4, dan Nur Adellia Uzma, 2.

Menurut Azila yang boleh dihubungi menerusi laman web www.secretcorrea.com, beliau bersyukur kerana jerih payah selama lebih setahun membina jaringan bisnes dan meyakinkan ejen serta stokis dengan Secret Correa membuahkan hasil.

Selepas bertahun dalam MLM, mereka berdua kini berbangga dengan kewujudan syarikat SC Global Resources Sdn Bhd. Hairul Anuar yang dulu bekerja sebagai pegawai kerajaan kini bergelar pengarah operasi di syarikat mereka yang ditubuhkan Oktober 2014.

SC Global Resources bermula dengan produk pertama, losyen kurus sejuk, Secret Correa. Ia losyen sejuk pertama di Malaysia untuk membantu memecahkan lemak.

Menurut usahawan muda ini, idea menubuhkan syarikat sendiri tercetus ketika lawatannya ke Seoul, Korea dua tahun lalu. Nor Azila yang juga dikenali dalam kalangan ejen dan pengikut sosial medianya sebagai CPA (Cik Puan Azila), ketika itu dia melihat kebanyakan orang Korea terutama wanita berbadan langsing.

“Saya teringat orang Malaysia yang tidak begitu. Lalu tercetus idea membantu wanita negara ini untuk kelihatan cantik dan kurus dengan mudah. Biasanya losyen kurus ini panas dan pijar, kadang-kadang boleh merengsakan kulit.

“Produk kami dihasilkan daripada formula teknologi Korea dan dikilangkan di Malaysia dan Kementerian Kesihatan,” katanya yang menjual 7,000 hingga 10,000 botol Secret Correa sebulan.

Wanita kelahiran Pantai Remis, Perak ini bersyukur dengan pencapaian syarikatnya yang baru berusia setahun. Ia bukan saja satu kejayaan baginya, malah dapat membantu ejen menambah pendapatan selain merealisasikan impian wanita untuk tampil langsing.

“Di dalam bisnes, saya belajar cara menambah nilai hidup orang lain. Selain membantu pengguna, saya juga memberi peluang perniagaan kepada ejen untuk berniaga. Malah, saya bangga, ada antara mereka yang pada mulanya sekadar mencuba kini berjaya mempertingkatkan taraf hidup. Alhamdulillah!,” katanya.

Kejayaan ini juga mengubah pandangan ibu bapanya terhadap dunia perniagaan.

“Memang ibu menghalang pada awalnya, tetapi saya membuktikan perniagaan mampu mengubah nasib keluarga kami. Saya bukan daripada keturunan keluarga bisnes, bahkan dua lagi kakak saya juga jururawat, tetapi saya mahu pecah­kan tradisi itu.

“Bukan kerjaya jururawat tidak bagus, ia suatu karier yang mulia, tetapi saya mahukan lebih daripada itu. Saya mahu membantu ekonomi keluarga dan masyarakat. Sekarang, saya turut membantu orang lain untuk sama-sama menambah pendapatan de­ngan berniaga.

“Daripada duit berniaga ini juga, saya dapat membantu ramai orang dan akan menghantar ibu dan ayah ke Makkah menunaikan umrah. Bukan mahu menunjuk-nunjuk, tetapi ini adalah satu pencapaian,” katanya memberi tahu SC Global Resources kini dalam proses mengeluarkan produk keduanya iaitu Pine Bark Collagen.

Cabaran ekonomi 2016

Nor Azila menyedari bukan sahaja negara, malah seluruh dunia berdepan cabaran ekonomi. Cabaran ini membuatkan jiwanya terkesan kerana impaknya begitu besar kepada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, gabungan pendapatan suami dan isteri belum tentu dapat menampung keperluan keluarga terutama bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah.

“Tambahan pula keadaan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang seolah tiada henti ini, ramai yang turut merasa kesannya. Saya juga pernah hidup susah, tetapi pengalaman saya di dalam bisnes ini menyedarkan saya cara paling mudah untuk keluar daripada kekangan ekonomi.

“Bagi saya, bisnes adalah jalan terbaik untuk mereka menambahkan pendapatan dan saya bersedia untuk membantu sesiapa yang ingin belajar. Saya juga menyediakan bengkel latihan untuk ejen baru bagi yang benar-benar serius dan komited dalam bisnes.

“Hampir 90 peratus ejen saya adalah golongan pekerja dan mereka sebelum ini pun tidak pernah berniaga. Yang penting mereka ada ilmu dan mentor yang sentiasa memberi bimbingan sehingga berjaya. Apabila bisnes berjaya, bukan kita saja yang gembira, ibu bapa pun tumpang bahagia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 5:00 AM - HARIAN METRO

Jururawat Malaysia Di Arab Saudi

Tarikan Gaji Lumayan

Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Sekali pandang, gambar ini bagaikan dirakam di hospital Malaysia kerana jururawatnya berwajah Melayu - kecuali seorang mek salih.

Sebenarnya ini pemandangan biasa di Security Forces Hospital, Riyadh, Arab Saudi yang mengupah jururawat dari 31 negara untuk berkhidmat di hospital berkenaan.

Tawaran gaji lumayan, peluang mengembara di negara orang dan pada masa sama dapat meningkatkan kepakaran sebagai jururawat menjadi tarikan kepada mereka bertugas di Arab Saudi walaupun terpaksa berjauhan dengan orang tersayang.

Minggu ini Nuansa menyelami kisah suka duka tiga jururawat dari Malaysia yang berkhidmat di negara Teluk itu.

Antarini Karimun

Semuanya bermula 10 tahun lalu apabila Antarini, 56, yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di Malaysia mendapat tawaran bekerja di Security Forces Hospital, Riyadh.

“Gaji yang ditawarkan agak lumayan iaitu lebih tiga kali ganda berbanding di tanah air.

“Selepas berbincang dengan suami serta mengambil kira kebaikan dan keburukan, akhirnya saya memutuskan ke Arab Saudi. Selain dapat meningkatkan ekonomi keluarga, saya juga berpeluang menambah ilmu dan kepakaran sebagai jururawat bilik bedah,” katanya.

Beliau berkata, secara amnya, penyakit berada di mana saja tidak kira negara manakala rawatan yang disediakan pula tidak jauh berbeza.

“Justeru, tidaklah sesukar mana bertugas di sini kecuali peralatan yang digunakan lebih canggih dan jururawat perlu mahir dalam bahasa Arab dan Inggeris,” katanya.

Menurutnya, gaji jururawat di Arab Saudi berdasarkan gred yang bermula daripada gred satu sebanyak RM14,000 sebulan, gred dua (RM10,000) dan gred tiga (RM8,000).

Katanya, semua jururawat dari Malaysia diberi gred satu atau dua, manakala gred tiga biasanya untuk jururawat dari Filipina, India dan beberapa negara lain.

Bagi yang bernasib baik, katanya, mereka boleh mendapat gred khas yang gajinya mencecah RM25,000 sebulan.

Antarini berkata, persediaan mental dan fizikal perlu dititikberatkan bagi menyesuaikan diri bertugas di negara orang.

“Antara cabaran dihadapi jururawat luar negara di Arab Saudi ialah terlalu rindukan kampung halaman atau kejutan budaya.

“Kami bekerja bersama jururawat dari 31 negara berlainan, jadi budaya serta ideologi masing-masing pasti berbeza,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan di Riyadh, Antarini berkongsi sebuah vila yang selesa bersama tiga jururawat lain dengan bil air dan elektrik percuma.

“Saya boleh menabung dan meminimumkan perbelanjaan kerana rumah sewa (vila) lengkap dengan perabot manakala pengangkutan untuk ke tempat kerja juga percuma.

“Pada waktu cuti atau masa lapang, saya dan rakan senegara akan menghabiskan masa menyediakan masakan Malaysia. Malah, kami beberapa kali berpeluang melakukan ibadah umrah bersama,” katanya.

Mengenai budaya masyarakat Arab, beliau berkata tidak semua mereka bersikap kasar seperti didakwa.

“Perangai dan tingkah laku kasar tidak mengira bangsa dan warna kulit. Ia berdasarkan individu, bukan keturunan. Saya boleh katakan majoriti orang Arab di sini bertimbang rasa,” katanya

Shahnaz Mohamed

Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di Arab Saudi, Shahnaz, 34, cukup sayu kerana terlalu merindui dua anaknya yang masih kecil.

Apa tidaknya, ketika itu anak sulungnya baru berusia dua tahun, manakala anak kedua pula setahun. Ibu mana yang mampu berpisah dengan keluarga tersayang, namun dia menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.

Menurut bekas jururawat itu yang pernah bertugas selama lapan tahun di King Abdul Aziz Medical City, Riyadh, walaupun perit, beliau perlu menggagah diri selepas melihat peluang yang terbentang di depan mata.

Beliau mengakui tawaran gaji lumayan menjadi sebab ramai jururawat dari pelbagai negara mahu mendapat tempat bekerja di Arab Saudi.

“Walaupun jururawat di Arab Saudi dari pelbagai negara, jururawat Malaysia mendapat keutamaan kerana selain boleh berbahasa Inggeris, kami juga mahir dalam tugas kejururawatan,” katanya.

Beliau yang ditempatkan di Klinik Kardiologi (Jantung) Pediatrik berkata, beberapa tugas perlu digalas bukan saja membantu pesakit, malah melancarkan tugas doktor.

“Selain menjalankan ekokardiogram iaitu prosedur mengimbas jantung bayi bagi mengesan punca penyakit, saya juga ditugaskan memberi ubat pelali kepada pesakit.

“Disebabkan pesakit adalah bayi dan kanak-kanak, penjagaan mereka perlu lebih rapi. Setiap lima minit, jururawat perlu memantau pesakit,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman menguruskan pesakit yang majoriti berbangsa Arab, Shahnaz berkata, batasan komunikasi antara cabaran yang perlu dihadapi.

“Rata-rata orang Arab Saudi boleh bertutur bahasa Inggeris tapi ada sesetengah daripada mereka terutama dari pedalaman hanya boleh berbahasa Arab.

“Selepas beberapa tahun di sana, saya mula mahir berbahasa Arab kerana dibantu doktor dan jururawat lain yang boleh berbahasa Arab,” katanya.

Berpeluang menyelami dan mempelajari perbezaan budaya dan karakter dari pelbagai negara menjadikan Shahnaz lebih menghargai asal usulnya.

“Hanya saya seorang warga Malaysia bertugas di unit berkenaan. Rakan sekerja lain dari Australia, Arab Saudi, Filipina dan United Kingdom.

“Saya berkesempatan mempelajari budaya orang menyebabkan saya lebih kenal dan faham mengapa karakter dan tingkah laku mereka berbeza dengan kita, namun tidak pula saya terikut budaya mereka,” katanya.

Katanya, sesetengah orang Arab mungkin kasar, namun sifat itu segera berubah apabila beliau memberi penerangan dengan sopan dan lemah lembut.

“Biasanya orang Arab dari pedalaman lebih kasar tapi golongan terpelajar dan sudah terbiasa dengan budaya orang luar lebih sopan.

“Ada ibu bapa enggan memberi ubat kepada anak mereka selepas disuruh jururawat tapi saya enggan berbalah, sebaliknya merujuk kepada doktor. Kebanyakan doktor orang Arab, jadi lebih mudah untuk mereka faham,” katanya.

Shahnaz turut mengakui teknologi perubatan di Arab Saudi lebih canggih berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kenangan paling manis dalam hidupnya ketika bertugas di Arab Saudi ialah dapat mengerjakan umrah selama beberapa kali.

“Sangat mudah untuk pergi mengerjakan umrah kerana jarak Riyadh dengan Tanah Suci Makkah dan Madinah tidak terlalu jauh.

“Dalam setahun saya dapat mengunjungi Tanah Suci beberapa kali dan belanjanya jauh lebih rendah berbanding melalui tanah air,” katanya.

Nordinahwati Udin

Walaupun cuma tiga tahun, bagi Nordinahwati, 38, pengalaman bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi sukar dilupakan.

Bertugas di Unit Rawatan Jantung di Saad Specialist Hospital di Al Khobar, Dammam dari tahun 2006 hingga 2009, beliau mempunyai kisah sendiri sebelum ke negara itu.

“Secara jujurnya sewaktu permohonan saya untuk bekerja di Arab Saudi diluluskan, saya cukup teruja kerana sudah lama menyimpan hasrat ke sana.

“Sebelum itu memang saya berhasrat bertugas di sana tapi ibu tak izinkan menyebabkan saya terpaksa akur.

“Tetapi pada 2006, apabila ibu beri kebenaran, saya tidak lepaskan peluang itu. Saya tidak nafikan rindu kepada keluarga terutama ibu, namun tidaklah sampai ‘home sick’ kerana bertugas di hospital itu memang seronok.

Niat untuk menambah pengalaman di negara orang, Nordinahwati yang kini masih bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Lembah Klang berkata, gaji ditawarkan turut menjadi daya penariknya ke Arab Saudi.

“Gaji yang ditawarkan berbeza mengikut unit dan pengalaman. Ketika di sana saya ditawarkan gaji RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Selain menghantar sebahagian gaji kepada keluarga, saya dapat berbelanja dan membeli-belah kerana perbelanjaan harian kebanyakannya ditanggung pihak hospital.

“Tempat tinggal walaupun di luar hospital diberikan percuma termasuk pengangkutan,” katanya.

Nordinahwati bagaimanapun membuat keputusan pulang ke Malaysia selepas ibunya sakit, namun pengalaman di negara orang banyak merubah dirinya.

“Selepas bekerja di negara orang saya jadi lebih rasional dan matang kerana melihat dan belajar perbezaaan budaya menjadikan kita menerima kepelbagaian manusia.

“Kita lihat orang Arab kasar tapi pada mereka itu biasa kerana ia budaya mereka. Jadi apabila dapat memahaminya, tugas kita jadi mudah.

“Sebab itu saya lebih banyak mendengar daripada menyuarakan pendapat secara lantang. Apabila memahami kenapa seseorang bersikap begitu, lebih mudah kita bertolak ansur dan membuka minda.

“Kalau jururawat Malaysia ingin mengumpul pengalaman terutama mereka yang masih muda, jangan ragu-ragu ke Arab Saudi tapi pastikan bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:44 PM - HARIAN METRO

Thursday 3 October 2019

Pelaksanaan Fungsi Permohonan Pertukaran Di Dalam Aplikasi Hrmis Bagi Pegawai Skim Jururawat Dan Jururawat Masyarakat KKM

TajukPelaksanaan Fungsi Permohonan Pertukaran Di Dalam Aplikasi Hrmis Bagi Pegawai Skim Jururawat Dan Jururawat Masyarakat Di Bawah Kementerian Kesihatan Malaysia
No. PekelilingKKM 500-1/14/2 (2)
PeneranganSILA RUJUK LAMPIRAN
Kategori PekelilingSurat Edaran
Tahun2019
Tarikh 11-01-2019

Gambar: Astro Awani

Wednesday 2 October 2019

Selaraskan elaun COLA di seluruh negara - Ceupacs

Datuk Azih Muda

KUALA TERENGGANU, 25 Sept -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan menyemak kembali elaun Bantuan Kos Sara Hidup (COLA) bagi penjawat awam bagi membantu golongan itu mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata elaun COLA juga perlu diselaraskan kerana ketika ini kadar yang diberi adalah berbeza mengikut lokasi.

"Bagaimanapun, jika elaun COLA ini diselaraskan, penjawat awam yang berada di bandar raya besar tidak akan menikmatinya kerana ketika ini kadar COLA tertinggi adalah di bandar raya besar.

"Jadi, Cuepacs berharap kerajaan akan memperkenalkan Elaun Kesusahan Bandaraya untuk terus membantu penjawat awam di beberapa bandar raya besar di negara ini yang mempunyai kos sara hidup terlalu tinggi seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Cuepacs negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Mengambil contoh senario Johor Bahru, Azih berkata kesan daripada pertumbuhan di Singapura turut memberi impak kepada kehidupan penduduk di sekitar bandar raya itu.

"Contohnya harga pasar tani di sana antara yang paling mahal di seluruh negara. Rakyat Singapura belanja guna duit dia, mungkin tak rasa mahal...jadi kami berharap kerajaan akan memperkenalkan Elaun Kesusahan Bandaraya itu untuk penjawat awam di bandar raya tertentu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan dapat menyegerakan pelantikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang sudah lama dibiarkan tidak terisi bagi melancarkan lagi urusan tadbir kerajaan.

"Kita berharap calon untuk mengisi jawatan ini mestilah datangnya dari Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang berpengalaman luas, berintegriti dan mempunyai produktiviti yang tinggi,” katanya.

Tarikh kemaskini: 25/09/2019
-- BERNAMA

Cuepacs harap kerajaan beri bonus sebulan gaji kepada penjawat awam

Datuk Azih Muda

GEORGE TOWN, 22 Sept -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap khabar gembira akan mengiringi penjawat awam dengan pengumuman bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada kumpulan pekerja ini di seluruh negara dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada bulan depan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata tahun 2020 merupakan tahun yang unik dan istimewa dan sudah tentunya pihaknya mengharapkan kejutan istimewa berlaku dalam Belanjawan 2020 yang djadual dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Oktober depan.

"Tentang bonus ini.… saya yakin dengan kebijaksanaan yang berhormat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri kewangan supaya bonus ini mesti ada dan dalam keadaan apa sekalipun.

“Kita mesti mengiktiraf sumbangan penjawat awam dalam usaha mereka memastikan negara terus stabil, aman dan makmur, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan CEUPACS Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata biarpun kerajaan kini sudah bertukar namun agensi serta kementerian dan para pekerjanya masih sama dan terus berkhidmat tanpa ada sebarang prejudis.

Menerusi Belanjawan 2020 itu juga Azih berkata kerajaan perlu meneliti gaji serta Sistem Saraan Malaysia yang tidak disemak selama 17 tahun lalu.

Beliau berkata, 2020 satu tahun yang amat istimewa sebab itu Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri keempat, memilih 2020 sebagai satu tarikh untuk meletakkan negara kita sebagai negara maju.

“Walaupun perdana menteri telah menganjakkan masa untuk meletakkan Malaysia sebagai negara maju pada 2020 ke 2025, harapan kami supaya gaji permulaan tahun 2020 itu mesti berada di atas garis kemiskinan.”

Dalam pada itu CEUPACS turut merayu pada kerajaan agar penjawat awam terus berada di zon selamat dan turut meminta agar kerajaan mengekalkan kewujudan 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) dan 33 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang sebelum ini dikatakan akan ditutup.

Tarikh kemaskini: 22/09/2019
-- BERNAMA

Tuesday 1 October 2019

10 fakta tentang jururawat

Madiha Abdullah, Astro Awani

Istilah nurse berasal daripada perkataan nourice yang bermaksud the one who nourish (yang memberikan khasiat). - Gambar fail

MEREKA sering menjadi mangsa kemarahan dan rasa tidak senang pesakit, walhal merekalah individu yang bersengkang mata demi menjaga pesakit di hospital.

Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka sering dipandang ringan walaupun peranan mereka cukup penting.

Mari kita lihat serba sedikit fakta tentang jururawat.

1. Istilah nurse berasal daripada perkataan nourice yang bermaksud the one who nourish (yang memberikan khasiat)

2. Aksesori kepala atau nurse cap diinspirasikan daripada aksesori biarawati yang dikenakan untuk menjaga rambut agar tidak berselerak.

3. Sekolah kejururawatan pertama di dunia adalah di India, dan ditubuhkan pada 250 sebelum masihi.

4. Lucretia Lester merupakan antara jururawat paling disegani di dunia. Dia bukan sahaja seorang jururawat tetapi juga seorang bidan dan telah membantu kelahiran 1,300 bayi.

Daripada jumlah itu, hanya dua kelahiran sahaja tidak berjaya.

5. Florence Nightingale, salah seorang ikon kejururawatan moden, sebenarnya hanya bertugas sebagai jururawat selama tiga tahun.

6. Tarikh 12 Mei yang dipilih sebagai Hari Jururawat juga adalah tarikh kelahiran Nightingale.

7. Nightingale paling dikenali kerana khidmatnya merawat anggota tentera yang cedera semasa Perang Krimea dari tahun 1853 hingga 1856.

8. Antara masalah kesihatan yang kerap dialami oleh jururawat adalah sakit tulang belakang (back injury).

9. Satu pertiga daripada jururawat dalam Angkatan Tentera Amerika adalah lelaki.

10. Kira-kira 41% daripada jumlah jururawat lelaki bertugas sebagai nurse anesthetists, yang bertanggungjawab dalam pengurusan anesthesia.

Ia dianggap sebagai cabang kejururawatan dengan pendapatan paling tinggi.

- Astro Awani (12 May 2016)